Khamis, 3 Januari 2019 | 11:00am
PENGERUSI BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi serta perwakilan hadir pada Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU kali kedua di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Agenda Bumiputera perlu pelindung utuh

MAMPUKAH Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memandu agenda Bumiputera dalam kerajaan?

Sebaik saja Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU kali kedua melabuhkan tirainya Ahad lalu, persoalan di atas ini acap kali dibangkitkan ramai pemimpin politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu. Tidak kurang juga kalangan rakyat.

Sukar untuk diramalkan memandangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih baru meng-ambil alih kerajaan. Tempoh tujuh bulan memegang tampuk pemerintahan terlalu awal untuk menjangka apakah agenda itu boleh mencapai matlamatnya kelak.

Barisan Nasional (BN), dulu dikenali Parti Perikatan mengambil masa lebih 60 tahun untuk memandu agenda itu. Namun, selepas enam dekad berlalu, agenda diterjemah menerusi dasar kerajaan, masih banyak yang perlu diperbaiki, terus dikritik, tidak kurang yang mengatakan ia tidak mencapai matlamat seperti diharapkan.

Bumiputera yang kini mewakili 70 peratus daripada keseluruhan penduduk, masih tidak memegang majoriti ekuiti ekonomi negara. Ramai masih makan gaji berbanding menjadi orang penting dalam syarikat. Lebih buruk, bilangan rakyat termiskin dan terpinggir juga ramai dalam kalangan Melayu dan Bumiputera.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman yang membuat justifikasi terhadap konsep ketuanan Melayu, menafsirkan bangsa itu sebagai yang paling ramai menagih dadah dan terbabit dengan kegiatan rasuah dan penyelewengan. Seolah-olah semuanya Melayu punya angkara.

Atas dasar itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menyampaikan ucapan penggulungannya pada hari terakhir Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU di Putrajaya mengingatkan pemimpinnya bahawa BERSATU kini bertanggungjawab terhadap masa depan orang Melayu dan Bumiputera.

“Kita parti Pribumi Melayu. Bukan sahaja nama, tetapi bentuk parti ini juga untuk orang Melayu, yang kita lihat ketika ini sudah kehilangan pelindung mereka.

“Sebab itu, jangan dituduh bahawa kita sudah lupa tentang bangsa kita. Ya, kita akui hak orang lain. Kita bukan penyamun, penyangak merampas harta mereka, tetapi kita juga tidak suka melihat hak kita dirampas sesiapa,” tegas Dr Mahathir.

Selepas UMNO tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei lalu, yang menyaksikan mereka gagal membentuk Kerajaan Persekutuan, memaksa tugas memperkasa agenda Bumiputera dalam kerajaan berpindah kepada BERSATU. Suka atau tidak, BERSATU yang mengekalkan sebahagian besar ideologi UMNO, mesti mengambil amanah sedemikian.

Cabaran

Cumanya, BERSATU kini berdepan cabarannya sendiri. Mereka tidak mempunyai kedudukan dominan dalam kerajaan, yang dibentuk menerusi empat parti utama - BERSATU, PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH). BERSATU hanya memiliki 16 kerusi Parlimen, menjadikan ia parti ketiga terbesar selepas PKR, yang memiliki 50 kerusi dan DAP, 42 kerusi.

Berbeza dengan UMNO di bawah BN dulu, yang memegang parti majoriti kerajaan. Kedudukan itu diperkukuh dengan dukungan kuat dari parti gabungan Bumiputera seperti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) serta parti lain di Bumi Kenyalang dan Sabah. Ia menjadikan agenda Bumiputera lebih mudah diketengahkan.

Kini, Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), hanya berstatus parti bersekutu dalam PH.

Sementara PBB, yang menerajui kerajaan Sarawak menerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), berstatus berkecuali dari sebarang gabungan parti peringkat persekutuan, namun menyokong kerajaan pusat.

Biarpun dalam PKR ada begitu ramai pemimpin Melayu yang memiliki keupayaan dan berpengalaman, hakikatnya, parti itu mengetengahkan ideologi untuk semua kaum, sama seperti DAP. Untuk memandu agenda Bumiputera sebagai dasar perjuangan parti, mungkin bukan matlamat utamanya.

Justeru, persoalan kini, siapa yang bertangungjawab kepada agenda Bumiputera? Agenda yang bukan saja melindungi Melayu dan masyarakat pribumi di Sabah dan Sarawak, tetapi juga Islam sebagai agama rasmi serta institusi beraja.

Bukan masa dabik dada

Ini bukan masanya bagi kedua-dua parti - UMNO dan BERSATU, mendabik dada menunjukkan siapa lebih Melayu. Siapa lebih dipilih Melayu dan siapa lebih kuat membawa agenda Melayu.

Amanah perjuangan untuk bangsa ini bukan percaturan politik dan kuasa. Bukan juga perbandingan siapa lebih suci dan berintegriti. Tetapi ia tanggungjawab memastikan bangsa dan agama dilindungi serta dipelihara. Tibalah masanya, penyusunan agenda Bumiputera mesti didukungi parti teras Melayu - BERSATU dan UMNO. PAS boleh untuk bersama.

Apa pun kerangka dasar yang akan diperkenal kerajaan selepas ini, di bawah Pelan Kemakmuran Bersama seperti dinyatakan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyid-din Yassin sebelum ini, mesti membabitkan peranan pemimpin BERSATU, UMNO dan PAS.

Dalam kerangka Malaysia baharu, perbezaan dan kedudukan parti baik dalam kerajaan mahupun pembangkang bukan menjadi hal. UMNO yang ‘berperang’ puluhan tahun dengan PAS pun boleh bersatu di bawah agenda Melayu dan Islam. Apalah sangat untuk BERSATU, UMNO dan PAS mengikat kerjasama memandu agenda Bumiputera.

Jika matlamat ini tercapai, ia pasti merintis kepada jalan penyatuan Melayu sebenar. Penyatuan yang diharapkan ramai pihak.

Atas kerjasama itu juga, ketiga-tiga parti perlu membuktikan iltizamnya, bahawa agenda itu bukan, waima sedikit pun untuk meminggirkan mana-mana kaum. Sebaliknya, membina Malaysia yang lebih makmur dan sejahtera.

201 dibaca
Berita Harian X