Selasa, 1 Januari 2019 | 12:59pm
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin. - Foto BERNAMA

Pentaksiran pacu transformasi sistem pendidikan

MULAI 2019, pentaksiran murid Tahap 1 akan lebih berteraskan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang menyebabkan ramai tertanya-tanya bagaimana murid ditaksir sekiranya tiada lagi peperiksaan dan adakah guru bersedia untuk ‘format baharu’ pentaksiran berkenaan.

Penerangan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin mengenai pentaksiran murid Tahap 1, sedikit sebanyak memberi pemahaman kepada ibu bapa dan masyarakat mengenai pemansuhan peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun bagi tahap berkenaan.

PBD satu daripada empat komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dengan tiga lagi ialah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Pusat, iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk Tahun 6 dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Pentaksiran menyeluruh

Sebenarnya, PBS bukanlah amalan baharu dalam sistem pendidikan negara kerana telah diperkenalkan sejak 2011 lagi bagi mentaksir murid secara menyeluruh dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

Pemansuhan peperiksaan Tahap 1 sepatutnya dibuat lebih awal supaya guru dapat memberi lebih tumpuan mengajar dari aspek membina kemahiran karakter dan sahsiah serta membebaskan murid daripada tekanan belajar untuk peperiksaan.

Saya pernah menulis mengenai pentingnya pentaksiran holistik dalam menerapkan nilai yang menjadi teras kepada pembangunan insan sejahtera yang dapat menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara selaras aspirasi FPK.

Pada tahun lalu, kementerian mengorak langkah mendidik masyarakat mengenai pentingnya membangunkan insan seimbang ini apabila keputusan UPSR tidak diumumkan seperti lazim dengan mencanang peratus kelulusan murid dalam peperiksaan.

Sebagai ganti, Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) 2017 diumumkan, dengan guru menyerahkan laporan lengkap keempat-empat komponen PBS kepada murid dan waris yang hadir ke sekolah.

Selepas itu, Ketua Pengarah Pelajaran memaklumkan tiada lagi pengumuman Gred Purata Sekolah (GPS) atau perbandingan pencapaian mengikut negeri atau daerah, tetapi mahukan pelaporan lebih seimbang merangkumi semua komponen PBS.

Laporan itu juga memberi penekanan terhadap penguasaan kemahiran murid dan keupayaan mereka dalam memberikan respons kepada soalan yang memerlukan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Ini satu lagi lonjakan dalam proses transformasi pendidikan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 ke arah merealisasikan aspirasi negara untuk membangunkan insan yang seimbang ilmu dan akhlaknya.

Pembentukan nilai, sahsiah

Selaras amalan terbaik pendidikan di negara maju, sudah tibalah masanya untuk kita fokus kepada pembentukan nilai dan sahsiah, terutama dalam kalangan anak kecil yang masih pada peringkat rebung lagi.

Di negara terbabit, murid dididik untuk mengutamakan kebersihan, disiplin dan kesopanan. Fokus juga kepada kemahiran komunikasi dan penerapan nilai melalui pelbagai aktiviti secara didik hibur seperti lakonan, tarian, pembentangan dan projek kecil secara berkumpulan.

Sejak mula memperkenalkan PBS pada 2011, Lembaga Peperiksaan Malaysia menggariskan pelbagai format pentaksiran berterusan untuk PBD. Ia termasuk aktiviti bercerita, soal jawab secara lisan, nyanyian, deklamasi sajak, lakonan serta pelbagai aktiviti menyeronokkan sehingga murid tidak sedar bahawa mereka sedang ditaksir.

Aktiviti ini boleh direkodkan secara bergambar dan dikompilasi dalam satu buku skrap untuk menunjukkan learning journey atau proses pembelajaran murid terbabit.

Isu bilangan murid yang ramai dalam sesebuah kelas tidak timbul kerana pihak sekolah boleh menggunakan kreativiti untuk memberi intervensi khusus, sesuai dengan situasi di sekolah masing-masing.

Mereka boleh menggunakan sepenuhnya sumber yang ada dan kepakaran serta sumbangan tenaga ibu bapa, komuniti dan sektor swasta mengikut garis panduan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan.

Sewajarnya, kita sekarang kembali memberi penekanan kepada keseimbangan yang dinyatakan dalam FPK - pendekatan holistik dengan fokus kepada pembangunan intelek, emosi, rohani dan jasmani.

Pembangunan intelek

Enam Aspirasi Murid dalam PPPM 2013-2025 serta Aspirasi Pelajar dalam PPPM Pendidikan Tinggi 2015-2025 juga fokus kepada keseimbangan ilmu dan akhlak.

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah, memang jelas aspek nilai dalam Elemen Merentas Kurikulum dinyatakan secara eksplisit dalam Rancangan Pengajaran Harian dan sepatutnya diterapkan dalam setiap aktiviti di dalam dan luar kelas.

Sebagaimana yang sering diperkatakan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, sistem pendidikan kita perlu menerapkan kasih sayang, hormat menghormati dan kegembiraan atau love, mutual respect and happiness.

Ini antara nilai teras yang perlu diterapkan kembali dalam sistem pendidikan kita. Kita mahukan semua institusi pendidikan, tidak kira dari pra-sekolah, institusi latihan hinggalah universiti, mewujudkan suasana pembelajaran selamat, gembira dan penuh suasana kekeluargaan berteraskan kasih sayang.

Laksanakan sahaja apa yang telah dinyatakan dengan jelas dalam FPK yang dirangka pada 1988. Setelah 30 tahun, marilah kita kembali semula kepada pernyataan ini, demi membentuk negara maju berteraskan acuan kita sendiri.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Berita Harian X