Rabu, 12 Disember 2018 | 11:00am
- Foto Hiasan

Fahami konsep diskriminasi perlindungan

PERLEMBAGAAN Persekutuan memperuntukkan semua orang sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan sama rata dan adil. Diskriminasi terhadap warganegara tidak boleh diamalkan semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, warna kulit atau tempat lahir atau jantina. Ini konsep sama rata yang ingin dicapai oleh kebanyakan negara berdaulat dan merdeka.

Namun, konsep sama rata ini semakin tidak diterima kebanyakan negara yang baru merdeka disebabkan masalah sosial, ekonomi, politik serta kewujudan masyarakat majmuk.

Justeru, pada abad ke-20 berlaku perkembangan undang-undang yang cuba mengetepikan konsep sama rata yang dipanggil ‘diskriminasi perlindungan’.

Jika merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, hak sama rata diperuntukkan dalam Perkara 8 (1) iaitu kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyatanya oleh Perlembagaan, telah menjadikan peruntukan hak sama rata ini tidak lagi mutlak.

Hak kumpulan lain

Perkara 153 satu contoh nyata yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memelihara kedudukan istimewa orang Melayu.

Dalam menganalisis kedudukan orang Melayu menerusi Perlembagaan Persekutuan, perlu dilihat konsep diskriminasi perlindungan yang menguatkan lagi kaitan di antara Perlembagaan dan hubungan etnik di Malaysia.

Sebelum dijelaskan konsep diskriminasi perlindungan, perlu difahami takrifan diskriminasi aitu suatu pelakuan membezakan dalam suatu hal kerana warna kulit, keturunan dan sebagainya.

Bagi sesebuah negara yang bersifat majmuk, memang sesuatu yang biasa Perlembagaan negara itu memperuntukkan konsep diskriminasi perlindungan sebagai salah satu peruntukan yang penting dan diiktiraf.

Melalui diskriminasi perlindungan ini, undang-undang memberi perlindungan dan hak yang istimewa kepada golongan atau etnik di dalam sesebuah negara dan dalam masa yang sama tidak menafikan peluang terhadap kumpulan atau etnik lain.

Peruntukan ini disediakan untuk membantu sesuatu etnik dalam beberapa aspek kehidupan seperti perkhidmatan awam, ekonomi dan pendidikan. Etnik yang ketinggalan dalam arus pembangunan negara mesti dibantu dan ditingkatkan taraf hidup mereka supaya menyaingi etnik yang lebih terkehadapan.

Golongan minoriti didiskriminasi

India satu contoh yang jelas diskriminasi perlindungan diamalkan disebabkan negara itu mempunyai penduduk yang bersifat majmuk dan terdiri daripada beberapa puak, kaum dan kumpulan yang berbeza dari segi bahasa, kebudayaan dan agama.

Ini menimbulkan masalah kerana sebilangan besar mereka mundur dan ketinggalan serta termasuk dalam golongan minoriti. Oleh itu, Perlembagaan India memperuntukkan perlindungan kepada golongan minoriti ini.

Di Malaysia, konsep ini berlaku dalam beberapa perkara di bawah peruntukan Perlembagaan. Ini jelas di bawah peruntukan Perkara 153 yang memberi perlindungan kepada etnik Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Jika dilihat kepada sejarah, kehadiran Inggeris di negeri Melayu adalah hasil daripada perjanjian di antara Inggeris dan Raja-Raja Melayu. Kedaulatan Raja-Raja Melayu tidak pernah dipertikaikan. Hal ini boleh kita lihat dalam beberapa perjanjian di antara Raja negeri terbabit yang melengkapkan perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Pada Februari 1952, General Templer iaitu Pesuruhjaya Tinggi British telah menerima arahan dari Setiausaha Negara British untuk negeri-negeri jajahan yang mengandungi dasar Kerajaan British terhadap Persekutuan Tanah Melayu. Di antara kandungannya ialah arahan mendapatkan “satu bangsa Malaya yang bersatu...tetapi sebelum ia dapat dicapai, orang Melayu mestilah diberi galakan dan bantuan dalam kegiatan ekonomi supaya ketidakseimbangan ekonomi diperbetulkan”.

Sebagai balasan berhubung dengan perkara kerakyatan bersama, Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Kedua yang mengkaji draf Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 menimbangkan soal kedudukan istimewa orang Melayu dan mencadangkan pengesahan semula.

Pengesahan semula ini terkandung dalam Perkara 19 Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang menerangkan tanggungjawab Pesuruhjaya Tinggi untuk melindungi hak, kuasa dan taraf Raja-Raja Melayu dan juga kedudukan istimewa orang Melayu bersama dengan kepentingan yang sah kaum lain. Peruntukan ini adalah asal kepada Perkara 153.

Dalam perdebatan Dewan Perundangan, Mesyuarat ke-13 dan ke-14 sesi Kedua Dewan Perundangan Kedua Persekutuan Tanah Melayu 1956 dijelaskan oleh Menteri Kewangan pada masa itu “golongan Melayu terhimpit dari segi ekonomi dalam Persekutuan Tanah Melayu yang kaya tidak akan memberi erti Persekutuan Tanah Melayu yang aman. Golongan Melayu yang terhimpit dari segi ekonomi tidak akan mencapai darjah kerjasama yang diharapkan dengan golongan bukan Melayu yang lebih kaya.

Oleh itu, untuk kepentingan jangka panjang kita semua membantu sebarang langkah yang membolehkan saudara Melayu kita untuk memperbaiki taraf ekonomi mereka ... pendirian dan sikap demikian adalah didorongkan bukan sahaja dari perasaan belas kasihan tetapi juga dari fikiran yang waras”.

Betulkan kepincangan

Secara ringkasnya, diskriminasi perlindungan dibuat dengan tujuan membetulkan semula ketidakseimbangan politik di sesebuah negara yang rakyatnya bersifat majmuk dan baru merdeka.

Contohnya di Malaysia, keutamaan memasuki perkhidmatan awam diberikan kepada orang Melayu agar mereka boleh menguasai politik negara kerana pegawai kerajaan memainkan peranan penting melaksanakan dasar pemerintah. Begitu juga dengan perkhidmatan tentera dan polis yang dikuasai majoriti orang Melayu untuk tujuan sama.

Diskriminasi perlindungan juga berlaku disebabkan oleh kompromi di antara kaum atau kumpulan tertentu semasa perlembagaan digubal. Sesuatu yang diberi kepada kumpulan lain bererti kumpulan memberi itu berhak kepada beberapa keistimewaan yang lain.

Misalnya dalam Perlembagaan Persekutuan, taraf kewarganegaraan yang diberi kepada kaum pendatang harus diganti dengan pemberian beberapa keistimewaan kepada kaum Bumiputera atau apa yang dikenali sebagai kontrak sosial.

Yang pastinya, hak sama rata tidak lagi menjadi hak yang mutlak. Kehadiran doktrin ini menyebabkan hak asasi ini terpaksa dilembutkan dan diberikan hak bersyarat. Perkara ini sesuatu yang tidak dapat dinafikan di negara yang mempunyai masyarakat majmuk dan kedudukan sosial yang tidak seimbang.

Penulis adalah Pusat Citra Universiti Kebangsaan Malaysia

296 dibaca
Berita Harian X