Isnin, 10 Disember 2018 | 11:00am
HIMPUNAN Ummah 812 menonjolkan imej berdisiplin dan beradab dengan kerjasama pihak berkuasa. - Foto Aswadi Alias

Himpunan Ummah 812 tanda aras perhimpunan mega

PALUAN gendang oleh Sekretariat Pembela Ummah (UMMAH) bersama-sama beberapa rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain untuk menghimpunkan umat Islam bagi menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) disahut dengan ribuan baju putih yang datang dari segenap pelosok negara membanjiri Dataran Merdeka kelmarin.

Tarikh 8 Disember 2018 boleh dianggap sebagai perhimpunan terbesar umat Islam pasca Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, khususnya membabitkan orang Melayu untuk menyebarkan satu mesej jelas bahawa jangan ada pihak yang cuba menggugat kepentingan agama Islam dan hak Melayu atau Bumiputera yang sudah tertulis kemas dalam Perlembagaan Persekutuan dan mengkhianati kontrak sosial yang sudah dipersetujui sekian lamanya.

Himpunan Ummah 812 bagi penulis berjaya meletakkan satu penanda aras perhimpunan mega yang terbaik melihat kepada teraturnya pergerakan dan perjalanan perhimpunan, disiplin dan adab tinggi peserta serta kerjasama baik oleh pihak berkuasa.

Tiada unsur provokasi

Sejak dari awal lagi penganjur perhimpunan itu memberi komitmen bahawa ia perhimpunan aman dan tidak membawa unsur provokasi dan ancaman keselamatan.

Lampu hijau yang diberikan oleh Polis Diraja Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk perhimpunan berkenaan wajar dipuji kerana ia satu manifestasi kepercayaan dan keyakinan tinggi pihak berkuasa kepada penganjur dan pesertanya bahawa ia sememangnya perhimpunan aman, bukan berselindung untuk mencipta rusuhan dan kacau-bilau yang mencemar imej negara.

Perhimpunan itu menjadi medan umat Islam memanjatkan kesyukuran bahawa ICERD tidak diratifikasi oleh kerajaan dan menjadi wadah menyatupadukan umat Islam di negara ini merentas fikrah parti politik, jantina, umur mahupun latar belakang sosial untuk duduk bersama-sama.

Melalui pemerhatian penulis juga, perhimpunan berkenaan berjaya menonjolkan imej agama Islam yang baik kepada khalayak yang memerhati.

Peserta jaga kebersihan

Walaupun pada peringkat awal terdapat sesetengah pihak melontarkan kritikan kewajaran perhimpunan ini diteruskan sedangkan kerajaan sudah membuat keputusan tidak meratifikasi ICERD, ia ternyata tidak berjaya membantutkan semangat untuk membentuk lautan peserta di tengahtengah ibu negara.

Tular di media sosial bagaimana lokasi yang digunakan oleh peserta berhimpun bersih daripada sampah-sarap dan gambar sukarelawan yang mengumpulkan sampah yang terbuang.

Pasukan polis juga tidak berkejaran ke hulu ke hilir menangkap peserta dan penganjur mematuhi arahan yang ditetapkan.

Peserta mula bergerak ke Dataran Merdeka selepas solat Zohor dan kira-kira jam 5 petang, himpunan bersurai dan peserta meninggalkan lokasi dengan kepuasan tersendiri.

Justeru, sebarang bentuk himpunan mega selepas ini atas apa tujuan sekalipun yang ingin dianjurkan di ibu kota, saranan penulis ialah penganjur dan pesertanya perlu menjadikan Himpuan 812 sebagai contoh.

Penulis adalah Pegawai Tadbir Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

617 dibaca
Berita Harian X