Selasa, 4 Disember 2018 | 11:01am
PERBANKAN Islam kini menjadi pilihan utama dalam melakukan transaksi perbankan. - Foto hiasan

Perbankan syariah perlu telus, bebas

PERBANKAN Islam suatu masa dahulu yang hanya institusi alternatif kepada umat Islam kini berkembang dengan begitu pesat. Perbankan Islam kini menjadi pilihan utama dalam melakukan transaksi perbankan sama ada untuk deposit, pembiayaan mahupun perkhidmatan lain oleh orang Islam dan bukan Islam di negara ini.

Ada pelbagai faktor bagi kejayaan ini namun, faktor yang paling dominan ialah keyakinan pelanggan dan pelabur terhadap produk dan perkhidmatan yang disediakan oleh institusi perbankan Islam yang menyebabkan permintaan terhadapnya semakin tinggi dan menyerlah dari setahun ke setahun.

Sumbangan pakar realisasi penubuhan perbankan Islam

Jika kita susuri sejarah penubuhan perbankan Islam di negara ini, kita dapati bahawa proses untuk merealisasikan institusi perbankan tanpa riba dan mengamalkan prinsip muamalat Islam yang lebih adil dan saksama ini berlaku dengan perancangan dan sumbangan besar golongan pakar, ahli akademik dan pengamal industri.

Bank Islam Malaysia Berhad tertubuh selepas wujudnya Akta Perbankan Islam pada 1983, diikuti bank Islam kedua, Bank Muamalat Malaysia Berhad pada 1999. Kini, sejumlah 16 institusi perbankan Islam sama ada di bawah pemilikan tempatan atau asing beroperasi negara ini.

Tidak dapat dinafikan, sejak penubuhan perbankan Islam sehingga kini pelbagai tanggapan yang serong dan tidak tepat dilontarkan kepada sistem perbankan Islam yang diambil kerangka dan asas operasinya daripada perbankan konvensional.

Harus difahami bahawa walaupun perbankan Islam cuba untuk mengaplikasikan sistem muamalat dan ekonomi Islam secara sepenuhnya, disebabkan kerangka asas yang digunakan termasuklah membabitkan perundangan dan tadbir urus sektor dan institusi lain yang masih dilihat bersifat konvensional, agak sukar institusi perbankan Islam untuk memenuhi objektif sebenar institusi ini ditubuhkan sepenuhnya.

Ukuran konvensional

Perbankan Islam masih terikat kepada beberapa sistem konvensional seperti pengukuran risiko dan keuntungan yang menggunakan ukuran konvensional sepenuhnya.

Perkara ini mempengaruhi urus tadbir dan operasi perbankan Islam yang dilihat tidak memenuhi kehendak Islam sepenuhnya dalam membangunkan ekonomi ummah berasaskan ekonomi Islam yang harus lebih adil, saksama dan membantu golongan kurang mampu.

Walaupun perbankan Islam mempunyai tadbir urus dan perundangan sendiri seperti yang termaktub dalam Akta Perkhidmatan Kewangan Islam atau IFSA 2013 serta Kerangka Tadbir Urus Syariah, perbezaannya tidaklah begitu ketara dengan kerangka dan tadbir urus konvensional.

Cuma terdapat keperluan untuk mempunyai jawatankuasa syariah pada peringkat institusi perbankan Islam terbabit juga peringkat Bank Negara Malaysia yang dikenali sebagai Majlis Penasihat Syariah.

Pengawasan oleh penasihat syariah pada kedua-dua peringkat sangat baik bagi keberkesanan tadbir urus perbankan Islam namun, terdapat suara yang berasakan kebebasan dan ketelusan belum sepenuhnya dapat dicapai memandangkan penasihat syariah terbabit diberi ganjaran dan dibayar elaun dari institusi perbankan Islam berkenaan dan bukannya dari institusi yang bebas dan berasingan.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia

327 dibaca
Berita Harian X