Khamis, 22 November 2018 | 11:00am
- Gambar hiasan

Perkukuh impak kewangan Islam

Pada Forum Kewangan Islam Global 2018, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz menyarankan agar satu rangka kerja bagi menilai impak sistem kewangan Islam ke atas ekonomi. Ia seharusnya menjadi agenda seterusnya bagi sistem kewangan ini dalam membentuk hala tuju pembangunan.

Zeti menegaskan impak utama kewangan Islam terhadap ekonomi kurang jelas. Justeru, beliau mencadangkan agar sistem kewangan Islam pada masa akan datang perlu mempunyai ciri nilai tambah dan perlu berasaskan nilai.

Apa yang diutarakan beliau mencerminkan pandangan jauh terhadap peranan yang sepatutnya dimainkan oleh sistem kewangan ini kepada ekonomi dan masyarakat. Lebih-lebih lagi dalam suasana persaingan perniagaan sekarang.

Dalam perkembangan berkaitan, BNM memulakan langkah ke arah itu. Sebagai contoh pada Mac lalu, BNM mengeluarkan kertas strategi Pengantaraan Berasaskan Nilai (Value-based intermediation atau VBI). VBI ditakrifkan sebagai fungsi perantaraan yang dimainkan oleh sektor kewangan bertujuan menghasilkan matlamat kewangan yang digariskan syariah.

Patuh syariah

Matlamat ini boleh dihasilkan menerusi pelbagai pendekatan kewangan yang menjana impak positif dan mampan kepada ekonomi, komuniti dan alam sekitar, serta pada sama ia konsisten dengan pulangan mampan dan kepentingan jangka panjang pemegang saham.

Berdasarkan definisi VBI ini, jelas kepada kita ia ada kaitan dengan usaha untuk mencapai matlamat kewangan digariskan syariah.

Sekiranya sistem kewangan Islam ini memenuhi apa yang diinginkan syariah, secara tidak langsung ia juga memenuhi apa yang disarankan Zeti, iaitu memberi nilai tambah kepada ekonomi dan pada masa sama memberi nilai kepada kesejahteraan masyarakat.

Sistem kewangan Islam ialah pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Islam. Melalui sistem kewangan Islam, umat Islam sama ada pengusaha, pelabur mahupun pengguna biasa dapat menggunakan perkhidmatan disediakan oleh sistem kewangan ini untuk memenuhi keperluan masing-masing.

Secara sepintas lalu, kalau kita lihat kepada sumbangan sistem kewangan Islam kepada masyarakat pelabur, pengusaha dan pengguna biasa, kita boleh merumus secara kasar bahawa industri ini mewujudkan satu sistem kewangan baharu yang membantu umat Islam mengelak daripada terbabit dengan riba, unsur tunjang sistem kewangan konvensional.

Pembangunan saksama

Memang benar sistem kewangan Islam satu sistem bebas riba. Namun, kita perlu tahu apa falsafah dan matlamat sebenar di sebalik penubuhan sistem kewangan dan perbankan Islam oleh ahli ekonomi Islam beberapa dekad dahulu.

Apa yang pasti, selain mewujudkan sistem kewangan yang bebas riba, penubuhan bank Islam pada asalnya untuk menjadi satu platform pemangkin kepada proses pembangunan.

Pembangunan yang dimaksudkan pemikir ekonomi Islam ialah pembangunan yang berasaskan kepada prinsip moral etika dan kebajikan. Prinsip pembangunan yang bermoral pula merujuk kepada pembangunan sosioekonomi yang adil, saksama yang turut didukung oleh semangat persaudaraan dan tolong-menolong sesama Islam.

Persoalannya, adakah sistem perbankan sekarang berjaya merealisasikan matlamat asas penubuhan institusi kewangan Islam seperti diimpikan oleh pelopor serta ahli ekonomi Islam terdahulu?

Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu melihat kedudukan sistem kewangan Islam dalam konteks disiplin ekonomi Islam. Pada hakikatnya, sistem kewangan Islam hanya manifesto sistem ekonomi Islam. Ahli ekonomi mengilhamkannya sebagai wasilah untuk merealisasikan matlamat sistem ekonomi Islam.

Jadi secara tidak langsung sistem kewangan Islam sebagai satu subset kepada sistem ekonomi Islam. Oleh itu, matlamat dan falsafah sistem kewangan Islam seharusnya selari dengan matlamat dan falsafah induknya. Dengan kata lain, falsafah dan matlamat kewujudan sistem kewangan Islam perlu sama dengan falsafah dan matlamat sistem ekonomi Islam.

Kebanyakan ahli ekonomi Islam seperti Khurshid Ahmad, MS Chaudhry, MA Khan, Maududi dan M Umer Chapra sebagai contoh menggariskan bahawa objektif utama yang melatari falsafah ekonomi Islam ialah untuk mencapai al-falah, iaitu kejayaan yang sebenar di dunia dan akhirat.

Caranya ialah menerusi pendekatan tauhid, iaitu dengan menjadikan al-Quran dan al-sunnah sebagai panduan dalam mengurus sumber yang ada di muka bumi ini. Prinsip yang dianjurkan oleh Islam dalam pengurusan sumber ini seperti keadilan (adalah), takwa, persaudaraan (ukhuwah), khilafah, ihsan dan sebagainya.

Ringkasnya jika semua pihak termasuk sektor kewangan bersikap adil, bertakwa, mempunyai ihsan dan mengamalkan nilai persaudaraan Islam yang kukuh semasa berekonomi atau melakukan sebarang muamalat atau urusan seharian, maka masalah ekonomi seperti kemiskinan, ketaksamaan agihan kekayaan, penindasan dan sebagainya tidak akan wujud. Realitinya ini tidak berlaku.

Kemiskinan umat Islam ketara

Dewasa ini masalah kemiskinan dalam kalangan umat Islam baik di negara ini, mahupun di mana-mana tempat di dunia amat ketara sekali. Begitu juga dengan isu ketaksamaan agihan kekayaan, penindasan dan lain-lain.

Berbalik kepada persoalan sama ada sistem kewangan Islam sekarang berjaya merealisasikan matlamat asas penubuhannya, jawapannya bergantung kepada sejauh mana sistem kewangan Islam, selain berjaya mewujudkan sistem kewangan yang bebas riba, berjaya juga menterjemahkan prinsip keadilan, takwa, persaudaraan, prinsip khilafah, kesatuan dalam operasi harian mereka.

Hakikatnya, satu yang agak ideal atau utopia jika kita ingin melihat sistem kewangan Islam beroperasi secara total berdasarkan teori sistem ekonomi Islam seperti digariskan oleh ahli ekonomi Islam.

Walaupun secara relatifnya masih baharu, jika dibandingkan dengan sistem kewangan konvensional, namun dengan adanya sistem kewangan Islam, diharap ia boleh menjadi pemangkin dan alat bagi mencapai matlamat ekonomi Islam yang digariskan oleh cendekiawan Muslim.

Penulis adalah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)>

163 dibaca
Berita Harian X