Isnin, 19 November 2018 | 11:00am
SEJARAH tanah air jelas merakamkan bahawa sistem kerajaan Melayu dengan wilayah kenegaraan yang dikenali sebagai Tanah Melayu dalam rantau kepulauan Melayu (Nusantara) telah berabad-abad lamanya membentuk ketuanan Melayu. - Foto hiasan

Sejarah buktikan kebenaran konsep ketuanan Melayu

SELEPAS Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan jatuhnya kuasa politik kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO, muncul pelbagai perspektif baharu terhadap ‘nation building’.

Salah satu perspektif yang kontroversi dan sensitif dibangkitkan ialah politik negara ini tidak perlu lagi diasaskan kepada konsep ketuanan Melayu. Alasannya ialah ketuanan Melayu yang ditunjangi UMNO tidak dapat memberikan kesamarataan atau keadilan sosial kepada semua kaum.

Suara seperti ini didendangkan oleh golongan yang anti kepada dominasi politik Melayu di negara ini. Ini bukan sahaja datang daripada musuh tradisi UMNO, terutama dari kalangan parti politik bukan Melayu, malah daripada golongan Melayu yang memang tidak memahami pengertian sebenar konsep ketuanan Melayu.

Justeru, bagi golongan terbabit, dengan terhapusnya kuasa UMNO, ia menjadi titik tolak berkuburnya ketuanan Melayu dalam persada politik tanah air.

Ada pelbagai lenggok dan ragam penentangan mereka terhadap konsep ketuanan Melayu. Ada yang menentangnya dengan lenggok politik dan ada pula yang menentangnya atas nama hak asasi manusia.

Mereka berusaha menanam benih kefahaman yang salah seolah-olah ketuanan Melayu itu satu konsep yang membawa penindasan, kezaliman dan diskriminasi. Penulis tidak berhasrat membahas benar atau tidaknya tuduhan golongan yang antiketuanan Melayu itu. Mauduk yang ingin penulis tumpukan ialah pengertiaan sebenar konsep ketuanan Melayu itu.

Konsep ketuanan Melayu ialah konsep yang murni dan berpijak di bumi nyata. Ia berdasarkan warisan budaya dan sejarah negara ini. Ketuanan Melayu itu sudah terbina dari asal kewujudan kerajaan dan tamadun Melayu itu sendiri.

Kesultanan Melayu ialah tapak atau landasannya. Justeru, bila kita menyebut ketuanan Melayu dalam konteks hari ini, ia bukan sekali-kali bermaksud fanatik kepada perkataan ‘Melayu’ itu kerana perkataan itu telah mempunyai tapak dan asas kepada pembinaan negara ini.

Sejarah tanah air jelas merakamkan bahawa sistem kerajaan Melayu dengan wilayah kenegaraan yang dikenali sebagai Tanah Melayu dalam rantau kepulauan Melayu (Nusantara) telah berabad-abad lamanya membentuk ketuanan Melayu. Ia sudah pun dikenali oleh beberapa pengembara dan kuasa luar ketika itu seperti China, India, Arab, Parsi, malah kuasa Barat sendiri.

Contohnya, Marco Polo dari Sepanyol menamakan Tanah Melayu sebagai ‘Malajur’, Albuquerque dari Portugis menamakannya sebagai ‘Malayo’, I-Tsing dari China mengenali Tanah Melayu sebagai ‘Melayu’ dan Yuan Shih pula menamakannya sebagai ‘Ma-Li-Yu’. Dalam inskripsi Tanjore (Sankrit) di India pula dikenali ‘Mailiur’.

Hakikat sejarah

Oleh itu, berdasarkan hakikat sejarah, nama Tanah Melayu yang kemudiannya ditukarkan kepada nama Malaysia (pada 1963) tetap berakar umbi daripada nama Melayu, iaitu ‘Malay-sia’ yang jelas bahawa ‘Malay’ itu merujuk kepada tradisi ketuanan Melayu (Kesultanan Melayu).

Ini membawa kepada kedudukan Raja-raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong, hak-hak istimewa kaum Bumiputera, tanah rizab Melayu, bahasa Melayu, kedudukan agama Islam dan beberapa perkara lain berkaitan Melayu itu dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jika ada yang berhujah bahawa orang Melayu juga berasal dari tempat lain seperti dari Sumatera, Riau, Borneo dan dari kepulauan Melayu yang lain, golongan terbabit hendaklah menyedari bahawa mereka yang berhijrah ke Tanah Melayu itu hakikatnya datang dari rantau dan alam budaya yang sama, iaitu alam Melayu (Nusantara) atau dikenali Barat sebagai Malay archipelago atau alam Melayu.

Pada dasarnya, ketuanan Melayu itu bersendikan pada dasar jiwa yang murni, luas skopnya serta terbuka dalam menerima kehadiran bangsa lain. Maknanya, ketuanan Melayu itu telah sekian lamanya tidak bersifat chauvinis dan absolutisme.

Benar apa yang diungkapkan oleh Dr Burhanuddin al-Helmi pada 1950 bahawa kebangsaan Melayu itu luas dalam peri kemanusiaannya, tidak bercampur aduk seperti ‘belut dengan ular’ dan bukan pula untuk dicacamarbakan, seolah-olah tanah ini tidak bertuan.

Hidupkan hak Melayu

Menurutnya, kebangsaan Melayu ialah kebangsaan yang memelihara dan menghidupkan hak Melayu supaya bertaraf duduk sama rendah, tegak sama tinggi dengan bangsa lain. Ia bukan semangat kebangsaan yang boleh disifatkan sebagai tempat mencari untung dan pemerasan yang mengecewakan anak pertiwinya.

Justeru, ketuanan Melayu itu tidak boleh dikaitkan sama sekali dengan masalah kleptokrasi atau apa-apa bentuk penyelewengan yang dilakukan oleh mana-mana pemimpin Melayu.

Sekiranya ada pemimpin parti Melayu yang berjuang atas nama Melayu melakukan penyelewengan dan salah guna kuasa, kebobrokan seperti itu hanya datang dari nafsu serakah mereka yang berkuasa dan bukannya dari maksud dan kehendak konsep ketuanan Melayu itu sendiri.

Konsep sengaja diseleweng

Namun, konsep yang murni ini sengaja diselewengkan oleh mereka yang anti-konsep ketuanan Melayu ini. Hakikatnya, orang Melayu sentiasa dicabar kedudukannya di negaranya sendiri.

Menurut Alias Mohamed dalam bukunya Wasiat Nasionalisme Melayu bahawa dalam 1960-an, orang Melayu telah dicabar menerusi kuasa politik yang diberi kepada orang bukan Melayu. Orang Melayu telah didesak menamatkan hak-hak istimewa mereka walaupun, ketika itu kedudukan sosioekonomi orang Melayu masih lagi mundur.

Selepas Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancarkan pada 1971, desakan menghapuskan Artikel 153 semakin lantang, terutamanya dari parti DAP. Dalam usahanya mengagalkan DEB, parti itu menerbitkan buku yang berjudul ‘Time Bombs in Malaysia’ yang ditulis oleh Lim Kit Siang pada 1978. Buku itu mempersoalkan panjang lebar tentang DEB dan lantang mempersoalkan hak-hak istimewa orang Melayu berkaitan dengan Artikel 152, 153(1) dan 153 (8)(a).

Penulis adalah penganalisis sosiopolitik bebas

2495 dibaca
Berita Harian X