Rabu, 14 November 2018 | 11:09pm
TUN Dr Mahathir Mohamad hadir mempengerusikan Mesyuarat Tertutup Badan Pimpinan BERSATU Kelantan bersama semua 14 ketua bahagian parti itu di Kota Bharu, Sabtu lalu. - NSTP/Syamsi Suhaimi

BERSATU elok tapis YB lompat parti

JIKA diimbas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hanya memenangi 13 kerusi Parlimen, ketiga tertinggi dalam kalangan empat gabungan parti membentuk Pakatan Harapan (PH).

Dalam pilihan raya yang menyaksikan PH menumbangkan Barisan Nasional (BN) itu, PKR memenangi 47 kerusi Parlimen, iaitu yang dalam kalangan gabungan PH, diikuti DAP (42) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) pula memenangi 11 kerusi, manakala parti sekutu PH iaitu Parti Warisan Sabah (WARISAN) memperoleh lapan kerusi.

Namun, jumlah kerusi BERSATU meningkat kepada 14 kerusi selepas Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyertai parti itu pada 26 Oktober lalu.

Kenyataan Ahli Majlis Tertinggi BERSATU, Datuk A Kadir Jasin, bahawa kira-kira 40 Ahli Parlimen UMNO bakal menyertai gabungan itu mengejutkan banyak pihak sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi dan reaksi pemimpin kanan parti politik kerajaan dan pembangkang, selain penganalisis politik.

Jika benar berlaku, parti diterajui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selaku pengerusi dan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mendominasi PH dari segi jumlah kerusi terbanyak.

Budaya politik baharu

Bagaimanapun, pemimpin UMNO yang ingin menyertai BERSATU akan disaring terlebih dulu bagi memastikan mereka ‘bersih’ yang dengan sendirinya memenuhi syarat tertentu ditetapkan seperti bebas rasuah, salah guna kuasa, tidak mengejar jawatan dan mampu mendukung budaya politik baharu.

Dr Mahathir sendiri mengakui sesiapa yang ingin menyertai BERSATU perlu bebas daripada pemikiran UMNO dan tidak lagi terikat dengan parti itu, terutama budaya mempertahankan pemimpin yang terbukti bersalah dan ‘pencuri’ yang menjadi punca kejatuhan UMNO.

Jumlah pemimpin UMNO dalam kelompok besar menyertai parti itu juga tidak akan membantu mereka menguasai BERSATU kerana parti itu tidak akan dapat dikuasai sesiapa, tetapi akan dikuasai perjuangannya.

BERSATU diterokai dan didaftarkan bekas pemimpin dan ahli UMNO yang kecewa dengan rejim lalu dan ternyata keputusan itu tepat apabila rakyat tidak lagi menyenangi UMNO dan menolaknya dalam PRU-14 lalu.

“Sepatutnya (waktu itu) apabila melihat pemimpin lurus (ikhlas) keluar parti ramai pemimpin dan ahli ikut sama meninggalkan UMNO. Namun, ini tidak berlaku kerana mereka terpengaruh dengan wang. ‘Cash is King’,” kata Dr Mahathir mengenai ‘Komen tentang UMNO dan pesanan untuk BERSATU’ yang disiarkan Facebook BERSATU, baru-baru ini.

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir secara terang-terangan mengumumkan parti itu tidak terlalu terbuka menerima kemasukan wakil rakyat UMNO dengan menamakan beberapa Ahli Parlimen yang akan ditolak permohonan mereka.

Ini termasuk Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak; Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Veteran politik yang juga Ketua Badan BERSATU Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim meletakkan syarat semua nilai negatif perlu ditinggalkan sekiranya mahu menyertai parti kerajaan itu.

Lebih baik menyertai parti itu untuk berkhidmat menggunakan kebolehan masing-masing bagi menyemarakkan perjuangan dan ideologi parti bukan mengejar jawatan.

1085 dibaca
Berita Harian X