Isnin, 12 November 2018 | 11:00am
KETUA Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar. - NSTP/Abd Rahim Rahmat

Mempraktikkan ikrar 'Saya Yang Menjalankan Amanah'

KETUA Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar, baru-baru ini mengingatkan pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan seluruh penjawat awam agar sentiasa berpegang teguh dengan prinsip ketaatan kepada Raja dan negara, prinsip pemisahan kuasa dan harus berpandukan peraturan yang sudah digubal.

Komitmen bagi terus memacu dan membangunkan negara mesti dilaksanakan dengan penuh sifat taat, beramanah dan berintegriti.

Skim PTD sememangnya sentiasa disinonimkan dengan kepemimpinan dalam perkhidmatan awam Malaysia. Menoleh kembali sejarah skim PTD, ia bermula pada 1921 apabila Britain memperkenalkan Malayan Civil Service (MCS) yang menggabungkan Straits Settlement Civil Service (SSCS) dan Federated Malay States Civil Service (FMS).

PTD satu daripada skim perkhidmatan paling utama dalam perkhidmatan awam bagi melaksanakan pentadbiran serta menjadi pemimpin dalam kebanyakan organisasi perkhidmatan awam, sama ada pada peringkat Pusat, negeri mahupun kerajaan tempatan.

Oleh itu, memiliki pegawai PTD dengan personaliti berkualiti amat penting kerana mereka menjadi nadi serta tulang belakang kepada perkhidmatan awam. PTD juga menjadi jentera pentadbiran atau kuasa eksekutif dalam melaksanakan dasar dan keputusan kerajaan bagi mencapai objektif dan matlamat negara.

Menjalankan amanah

Peringatan Ketua Setiausaha Negara itu selari dengan mantra baharu perkhidmatan awam, iaitu ‘Saya Yang Menjalankan Amanah’.

Mantra ini disuarakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Ogos lalu. Frasa ini dipekelilingkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Borhan Dolah melalui surat edaran 20 September 2018.

Kata kunci frasa ini ialah sifat ‘amanah’, merujuk kepada jati diri serta sifat dan personaliti terpuji yang seharusnya dimiliki setiap penjawat awam. Pengertian perkataan ‘amanah’ ini luas.

Dalam konteks frasa baharu ini, ia menekankan konsep kebolehpercayaan, kejujuran dan kepercayaan. Ini satu bentuk jati diri dan bukan sekadar lelakon.

Malah dalam ajaran Islam, sifat amanah satu daripada sifat yang wajib bagi Rasul dan Nabi. Oleh itu, dalam usaha kerajaan membumikan sifat ini dalam alir darah dan denyut nadi perkhidmatan awam, seharusnya ia tidak dipisahkan daripada tiga lagi sifat lain, siddiq, tabligh dan fatanah.

Dalam konteks perkhidmatan awam, sifat siddiq membawa petanda benar dalam tutur kata dan tindakan. Sifat tabligh merujuk kepada kesungguhan dan iltizam dalam menyampaikan perkhidmatan kepada yang berhak, manakala fatanah pula merujuk kemampuan keilmuan, kemahiran dan mutu perkhidmatan dalam tugas yang diamanahkan.

Tonggak Dua Belas

Sebenarnya, semua bicara nilai, etika dan budaya kerja dalam perkhidmatan awam berjaya dirumuskan dengan tepat dan jelas dalam 12 peringatan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid pada 1992 yang dikenali sebagai Tonggak Dua Belas.

Kefahaman terhadap perkara ini sangat penting kerana ia menentukan arah dan memberi makna kepada pemikiran, tindakan dan perilaku anggota sektor awam dan mendorong mereka berkhidmat dengan ikhlas dan berkesan seperti dimaksudkan dalam frasa itu.

Amanah sebagai khalifah Allah, penanggung amanah urusan Seri Paduka dan pelaksana dasar dan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat adalah asas kepada penjawat awam, terutama pegawai PTD dalam mempraktikkan kehendak ‘Saya Yang Menjalankan Amanah’ ini.

Bagaimanapun, sebarang bicara, wacana dan diskusi mengenai mantra baharu urusan surat kerajaan ini tidak seharusnya dijadikan tujuan akhir.

Ia sebaliknya hanya satu daripada saranan bagi benar-benar membentuk satu budaya yang diamalkan dalam setiap urusan kerajaan dan diri seluruh penjawat awam, istimewanya pegawai PTD yang menjadi tonggak dalam perkhidmatan awam.

Penulis adalah Felo Penyelidik Kanan, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)

646 dibaca
Berita Harian X