Khamis, 8 November 2018 | 11:00am

Belanjawan tak perjelas agihan negeri

JUMAAT lalu, buat kali pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH) membentangkan Belanjawan 2019. Belanjawan ini dilihat sebagai pemulihan, iaitu usaha kerajaan PH untuk memulihkan semula ekonomi Malaysia daripada kerencatan yang dihadapi kini supaya terus berkembang dan membawa kemakmuran kepada warganya.

Cuma persoalannya di sini ialah apakah makna belanjawan ini kepada warga Perlis dan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan PH di Perlis? Rata-rata dalam tinjauan yang dilakukan di Padang Besar, Arau dan Kangar, warga Perlis kurang jelas sejauh mana belanjawan ini akan membawa kemakmuran kepada Perlis.

Ini disebabkan Belanjawan 2019 tidak secara spesifik menjelaskan perihal agihan kepada negeri, khususnya negeri kecil seperti Perlis. Warga Perlis juga ternanti-nantikan pengumuman yang bakal dilakukan kerajaan Perlis untuk belanjawan negeri 2019.

Cuma terdapat juga kebimbangan rakyat akan kemampuan kewangan dan kestabilan kerajaan Perlis untuk melaksanakan pentadbiran demi kepentingan rakyat. Kebimbangan ini berasas kerana kemelut politik dalam pembentukan kerajaan di Perlis dan Kerajaan Pusat yang dikuasai PH dilihat tidak serasi dengan kerajaan BN Perlis.

Melalui pemerhatian yang dilakukan lebih sebulan di Perlis daripada September ke Oktober 2018, penduduk Perlis rata-rata melihat kerajaan BN sudah retak menunggu belah sahaja. Mereka tidak nampak lagi kemampuan kerajaan BN untuk terus bertahan.

Orang ramai didedahkan bahawa berlaku perundingan di antara pemimpin BN Perlis dengan PH untuk membentuk kerajaan baharu yang mungkin membabitkan kemasukan beramai-ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dan ahli UMNO ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) atau komponen PH yang lain, khususnya Parti Amanah Negara (AMANAH).

Rundingan ini juga dikatakan menemui kegagalan kerana PH dikatakan tidak bersedia menerima semua pemimpin BN atau UMNO di Perlis ke dalam PH. Malah, hasil tinjauan juga mendapati bahawa pemimpin utama PH Perlis juga tidak berminat menerima kemasukan pemimpin BN-UMNO meskipun ada pemimpin yang bersedia menerima penyertaan mereka.

Kemuka pemimpin muda

Yang menariknya, ada minat yang kuat rakyat negeri Perlis kepada PH dan ini memberi nafas baharu kepada PH untuk menguasai Perlis pada masa depan. Namun, rakyat Perlis khususnya di Arau melalui tinjauan jelas menolak kepemimpinan PH yang sedia ada sekarang.

Mereka sebenarnya ingin melihat PH mengemuka ramai pemimpin muda yang mempunyai idea baharu, bersih dan mampu diketengahkan sebagai bakal pemimpin Perlis pada masa depan.

Di Perlis, tidak ramai tokoh yang dikenali oleh warga Perlis kecuali daripada BN seperti Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, Datuk Seri Shahidan Kassim dan sebahagian kecil lagi pemimpin UMNO. Semua ini pemimpin lama, selain tidak nampak pemimpin muda yang diketengahkan oleh UMNO-BN yang berkaliber dan boleh meneraju BN di Perlis pada masa depan.

Namun kini, rakyat Perlis mula melihat tokoh muda yang berkaliber daripada PH seperti Wan Saiful Wan Jan, 43 tahun, Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Setiausaha Perhubungan BERSATU Perlis. Beliau baharu sahaja meletakkan jawatan sebagai Penasihat Menteri Pendidikan bagi menumpukan khidmat di Perlis dan memperkuatkan jentera PH di Perlis.

Wan Saiful jelas mempunyai visi dan misi untuk Perlis dan kawasan tumpuan beliau di Arau, selain pengaruh dan kedudukan beliau sebagai tokoh intelek sebelum menyertai BERSATU.

Beliau dilihat mempunyai idea baru membangunkan Perlis, selain mampu merencanakan kestabilan politik Perlis.

Selain itu, penduduk Perlis khususnya Kangar terus teruja dengan kemampuan berhujah dan berstrategi Noor Amin Ahmad selaku Ahli Parlimen Kangar kini mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Noor Amin kini berumur 36 tahun jelas menunjukkan minat untuk membantu membangunkan Perlis.

Dalam pertemuan penulis dengan beliau di Dewan Rakyat, jelas memperlihatkan daya berfikir jauh beliau dalam melihat hala tuju kerjaya politik dan strategi terbaik PH untuk mengambil alih Perlis daripada BN. Mengikut pandangan beliau, PH jelas ada peluang menguasai Perlis satu masa nanti.

Berbanding BN, rakyat Perlis dilihat mula menaruh kepercayaan kepada pemimpin muda yang diketengahkan oleh PH ini. Cuma warga Perlis dilihat tidak yakin dengan kepemimpinan PH Perlis kini yang diketuai oleh Pengerusi Perhubungan PH dan Pengerusi BERSATU Perlis, iaitu Amier Hassan.

Merencana kemakmuran

Dalam tinjauan, rakyat tidak ramai mengenali beliau serta ada pemimpin PH khususnya dari parti BERSATU yang tidak selesa dengan kepemimpinan beliau dan mahukan rombakan kepemimpinan PH di Perlis agar diketuai pemimpin muda. Jelas sekali rakyat Perlis mahukan imej politik baharu merencanakan kemakmuran warganya pada masa depan.

Kesimpulan yang diperolehi ialah rakyat Perlis mahukan transformasi politik. Mereka telah tidak dapat menerima politik lama yang dibawa oleh UMNO-BN. Kemelut yang berterusan di dalam kepemimpinan kerajaan BN negeri menyebabkan rakyat mula hilang kepercayaan.

Rakyat Perlis kini dilihat mula segar dan memberikan perhatian kepada pemimpin muda di dalam PH untuk mengambil alih kepemimpinan PH dan kemudiannya kerajaan Perlis pada masa depan.

Jelas sekali bahawa perencanaan PH untuk menguasai Perlis pada masa depan ialah dengan memberikan peluang dan kepercayaan kepada pemimpin muda sebagai aset dan ketika rakyat Perlis kini sudah bersedia untuk politik Malaysia baharu yang dibawa PH.

Penulis adalah Profesor politik dan hubungan antarabangsa Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia

425 dibaca
Berita Harian X