Isnin, 5 November 2018 | 11:00am
KONSEP pembelajaran sepanjang hayat selari aspirasi negara untuk membangunkan masyarakat berilmu ke arah negara maju.

Usia bukan halangan ke menara gading

Golongan berkerjaya, terutama dalam sektor industri perlu merebut peluang menyambung pengajian ke program yang memberi nilai tambah kepada ilmu dipelajari. Keperluan meningkatkan sijil akademik dalam bidang tertentu yang memerlukan kepakaran spesifik menuntut penjelajahan ilmu kemahiran tinggi ini tanpa henti.

Kita biasa mengikuti kisah graduan menyambung pengajian tidak kira, sama ada secara program pengajian jarak jauh atau pembelajaran separuh masa di universiti yang akhirnya, berjaya sampai di pentas konvokesyen universiti sehingga menggenggam segulung ijazah ketika meniti usia emas.

Pasti waktu pengajian yang fleksibel, kelas hujung minggu atau selepas kerja dan kecanggihan teknologi pada masa kini membolehkan pelajar mengikuti pengajian secara maya dan peluang ini membolehkan sesiapa sahaja berpeluang untuk terus belajar sepanjang hayat.

Pembelajaran sepanjang hayat ialah agenda utama negara dalam memastikan masyarakat mendapat peluang pendidikan merentasi peringkat umur, latar belakang pendidikan dan lokasi pembelajaran.

Kerajaan melihat pembelajaran sepanjang hayat sebagai inisiatif utama seperti digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) dan Pelan Induk Pembudayaan Pembelajaran Sepanjang Hayat 2011-2020.

Definisi pembelajaran sepanjang hayat berdasarkan Pelan Induk Pembudayaan PSH 2011-2020 ialah ‘Pembelajaran yang membabitkan mereka yang berusia di antara 15 hingga 64 tahun ke atas kecuali pelajar profesional’. Dalam konteks ini, pelajar profesional ialah mereka yang belajar secara sepenuh masa di sekolah, kolej atau universiti dengan tujuan memperoleh kelayakan akademik atau kemahiran.

Takrifan umur ini juga berdasarkan umur produktif penduduk Malaysia, iaitu 15 hingga 64 tahun dan mereka yang berusia 64 tahun ke atas yang masih berupaya memberi sumbangan kepada pembangunan ekonomi negara.

Pembelajaran sepanjang hayat ditakrifkan juga sebagai pembangunan potensi manusia melalui proses sokongan secara berterusan yang merangsang dan memperkasa individu untuk memperoleh segala pengetahuan, nilai, kemahiran dan pemahaman yang diperlukan sepanjang hidup mereka dan menggunakannya dengan yakin, kreatif dan menarik.

Warga kerja industri

UMP Advanced sudah mengorak langkah dalam usaha pembudayaan dan pemerkasaan pembelajaran sepanjang hayat yang diterjemahkan dalam pelbagai produk penawaran program dijalankan secara separuh masa atau eksekutif untuk warga kerja industri.

Usaha ini dilihat berdasarkan strategi Triple Track Approach oleh UMP Advanced iaitu merangkumi pelaksanaan program profesional/eksekutif, program perdana dan pembangunan sosioekonomi.

Program profesional atau eksekutif ialah program yang menyasarkan golongan industri pada hujung minggu dan dijalankan secara modular. Ia direka khas mengikut keperluan industri berdasarkan beberapa bidang yang mendapat permintaan tinggi seperti petroleum dan gas, pembuatan, perladangan, logistik dan elektrikal. Objektif utama pelaksanaan program itu ialah memberi pengiktirafan akademik kepada kumpulan sasaran yang mempunyai pengalaman kerja yang luas dalam lapangan masing-masing.

Bagi pelaksanaan program perdana pula, ia ditawarkan pada peringkat ijazah sarjana muda yang dijalankan secara hujung minggu.

Buat masa ini, program dijalankan di Kampus Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Sepang.

Penawaran secara fleksibel itu memberi peluang dan ruang bagi kumpulan sasar untuk meningkatkan tahap pendidikan lebih tinggi dan sesuai dengan ruang masa bagi yang sedang bekerja.

Latihan kemahiran

Melalui strategi ketiga, program sosioekonomi yang dijalankan pula terbahagi kepada dua, iaitu program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan, dan Latihan Kemahiran Akademik. Melalui penawaran program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan ini, UMP Advanced berjaya melatih dan mengeluarkan usahawan melalui program yang dijalankan dan bersesuaian dengan taraf sosioekenomi penduduk sekitar UMP.

Program yang ditawarkan itu juga selaras hasrat menjadikan seseorang pelajar atau golongan bekerja sebagai pekerja mahir yang sering dituntut oleh pihak kerajaan dan bagi mempersiap warga kerja industri ke arah meningkatkan kemahiran mereka dalam mendepani cabaran dan ledakan Revolusi Perindustrian ke-4.

Peluang itu perlu direbut oleh warga kerja industri bagi menikmati peningkatan sosioekonomi selepas tamat pengajian. Dengan erti kata lain, pembelajaran sepanjang hayat ialah peluasan akses bagi peningkatan pengetahuan dan kemahiran.

UMP Advanced sentiasa peka terhadap definisi dan konsep pembelajaran sepanjang hayat yang selari dengan aspirasi semasa negara untuk membangunkan masyarakat berilmu yang memacu negara bagi mencapai matlamatnya menjadi negara maju.

151 dibaca
Berita Harian X