Selasa, 30 Oktober 2018 | 11:00am

Pusat diharap kekal bajet makmur rakyat

MAJORITI rakyat mendakwa kehidupan mereka semakin terhimpit dan terdesak berikutan ekonomi semasa yang tidak menentu sehingga menyaksikan peningkatan kos sara hidup yang meningkat mendadak.

Golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) umumnnya adalah kumpulan yang sering menyuarakan kebimbangan mereka kerana terkesan dengan situasi ekonomi negara yang tidak memberangsangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Bajet 2019 yang dijadual dibentangkan Jumaat ini bakal menyaksikan harapan dan penantian mereka dipenuhi. Justeru, pengumuman kerajaan nanti diharapkan sedikit sebanyak mampu memberikan kelegaan, sekali gus mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik.

Tidak hairanlah topik kos sara hidup, isu perumahan dan kehidupan bandar serta perkhidmatan penjagaan kesihatan adalah antara aspek yang cukup dinantikan kali ini dengan menaruh harapan cukup besar agar kerajaan baharu memberikan pertimbangan kerana semua itu mampu mengatur perbelanjaan mengurus isi rumah mereka menjadi lebih teratur dan selesa.

Sudah pasti cadangan kerajaan untuk memperkenalkan beberapa cukai baharu bertujuan menjana pendapatan tambahan negara bagi menampung hutang negara yang tinggi menjadi kebimbangan golongan B40 dan M40 ini kerana dikhuatiri mampu menjejaskan lagi kehidupan mereka.

Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muzaffar Syah Mallow berpendapat, kerajaan seharusnya perlu mengelak daripada memperkenalkan sebarang jenis cukai baharu kerana tindakan itu pasti sukar membendung masalah peningkatan kos sara hidup rak-yat.

Pulih kehidupan terdesak

Katanya, dengan pendapatan purata bulanan di bawah RM3,860 adalah tidak adil sekiranya golongan terbabit terus terkena tempias akibat daripada pengenalan beberapa cukai baharu berkenaan.

“Namun, ini terkecuali jika cukai tambahan dikenakan terhadap barangan yang tidak mendatangkan manfaat atau faedah kepada rakyat seperti rokok kerana kerajaan pasti akan dapat menampung semula pendapatan yang hilang akibat pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST),” katanya.

Bantuan dalam bentuk subsidi petrol misalnya adalah antara elemen yang diharapkan dapat membantu memulihkan kehidupan terdesak golongan B40, selain perkara yang sama turut diharapkan bagi kumpulan M40 yang berpendapatan purata bulanan antara RM3,860 hingga RM8,319.

Sehubungan itu, janji kerajaan untuk memberikan subsidi berkenaan kepada golongan sasar diharapkan dapat ditunaikan menerusi pengumuman Bajet, Jumaat ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, baru-baru ini juga membayangkan ini kemungkinan kerajaan akan menggunakan kad khas sebagai mekanisme dalam menyalurkan subsidi petrol secara bersasar sebagai usaha membantu golongan B40.

Meskipun setakat ini belum ada lagi sebarang keputusan berhubung mekanisme pemberian subsidi petrol secara bersasar, tentunya kaedah pelaksanaan akan lebih mudah dan lancar.

Jaminan ini sekali gus amat ditunggu-tunggu rakyat memandangkan kaedah itu sedikit sebanyak mampu membantu meringankan beban dan kos sara hidup mereka, selain memastikan pemberian subsidi ini dinikmati oleh kelompok yang tepat.

Biarpun negara menyaksikan perubahan tampuk pemerintahan, namun ramai berharap supaya inisiatif atau program yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2019 kelak berteraskan prinsip memakmurkan segenap lapisan rakyat dan mempercepatkan pemulihan ekonomi.

Naik taraf kesihatan

Bagi penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Madeline Berma pula melihat bantuan tunai masih menjadi penyelesaian terbaik bagi membantu golongan berpendapatan rendah memperkasakan ekonomi mereka.

Sehubungan itu, katanya, pemberian tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) perlu diteruskan tetapi mestilah dengan penambah baikan terutama isu ketirisan. Justeru syarat lebih ketat harus diperkenalkan, selain disalurkan terus kepada penerima sasar, termasuk wanita ibu tunggal B40 untuk sama-sama mengecapi hasil kemakmuran negara.

Biarpun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini pernah mengingatkan rakyat bahawa BR1M akan dikurangkan secara beransur-ansur tetapi menegaskan bahawa golongan daif, tidak bekerja dan tidak dapat bekerja akan dibantu dengan lebih bermakna.

Ini bererti bantuan seumpamanya akan tetap diberikan kepada golongan yang benar-benar miskin dan kurang upaya, tetapi dalam bentuk lebih baik berbanding BR1M yang pernah ditawarkan kerajaan terdahulu.

Aspek perkhidmatan penjagaan kesihatan juga adalah antara keperluan asas yang sentiasa dinantikan rakyat untuk dinikmati dengan cara yang lebih baik.

Sehubungan itu cadangan Kementerian Kesihatan untuk menyediakan Skim Insurans Kesihatan Sosial kepada rakyat berpendapatan rendah atau B40 ini adalah satu lagi inisiatif yang dinantikan menjelangnya Bajet 2019.

Mereka bukan saja berhak menikmati rawatan kesihatan bermutu termasuk di hospital swasta tetapi perlu ada inisiatif untuk menaik taraf kemudahan kesihatan sedia ada di hospital dan klinik kerajaan termasuk mengurangkan masa menunggu.

Kita amat mengharapkan setiap perbelanjaan yang dirancang kerajaan bukan saja mampu meningkatkan kemakmuran negara tetapi lebih penting, pengagihan pendapatan berlaku secara adil dan inklusif terutama kepada golongan sasar tanpa sebarang pembaziran.

Berita Harian X