Khamis, 18 Oktober 2018 | 11:00am
RAKAMAN video tular di media sosial menunjukkan orang ramai, dipercayai warga asing menyerbu Pejabat Unit Khas Jabatan Imigresen yang didakwa mengagihkan dokumen Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13), di Wisma Dang Bandang, Kota Kinabalu. - Foto ihsan pembaca

Jual dokumen palsu jejas keselamatan

BARU-BARU ini, satu rakaman video tular di media sosial menunjukkan orang ramai, dipercayai warga asing menyerbu Pejabat Unit Khas Jabatan Imigresen yang didakwa mengagihkan dokumen Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13), di Wisma Dang Bandang, Kota Kinabalu.

Rakaman video itu sekali gus mengundang pelbagai persepsi orang ramai, terutama bagaimana sebegitu mudah dokumen penting boleh diperoleh warga asing dan anak pelarian.

IMM13 ialah dokumen yang dikeluarkan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di antara 1972 hingga 1984 bagi memberi perlindungan kepada pelarian politik dan perang di selatan Filipina.

Disebabkan timbul beberapa isu mengenai penyalahgunaannya, UNHCR menghentikan pengeluarannya pada 2013.

Dalam konteks Sabah, dokumen khas itu sepatutnya terus dihentikan pengeluarannya demi memastikan tahap keselamatan di negeri itu lebih terjamin, sementara isu membabitkan kebanjiran pendatang tanpa izin dapat dibendung.

Mujur Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk Musa Sulaiman bertindak pantas menghentikan serta-merta penerimaan permohonan pendaftaran anak pemegang kad IMM13 di Sabah dan Labuan.

Bertambah rumit

Susulan itu juga, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali menegaskan tiada dokumen IMM13 baharu dikeluarkan dan tindakan Jabatan Imigresen hanya untuk membuat semakan, penelitian dan bancian mengenai jumlah sebenar anak pemegang dokumen IMM13.

Mengikut bancian Jabatan Perangkaan, pendatang asing di Sabah ialah seramai 1.15 juta, jumlah yang cukup besar serta membimbangkan dan memerlukan penyelesaian segera untuk menghantar pulang ke negara asal mereka.

Daripada 3.9 juga penduduk Sabah, 2.74 juta ialah penduduk tempatan, manakala selebihnya pendatang.

Sekiranya pengeluaran IMM13 diteruskan juga, isu kebanjiran pendatang tanpa izin di Sabah masih tiada jalan penyelesaian malah keadaan bertambah rencam dan rumit.

Ancam keselamatan

Apa yang dibimbangi ialah pemegang dokumen terbabit bukan saja berada di Sabah, malah sudah berani berhijrah ke negeri lain sehingga ke Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

Meskipun tidak dapat dipastikan sama ada mereka menggunakan dokumen IMM13 asli atau palsu, terdapat kemungkinan ia diperoleh atau dibeli daripada pihak ketiga.

Sebelum ini pun, Imigresen Sabah berjaya menumpaskan sindiket menjual dokumen palsu di Sandakan membabitkan lebih 200 dokumen, termasuk salinan IMM13 dan surat permohonan permit masuk Jabatan Imigresen, tiga MyKad, gambar pasport, surat pengesahan kad pengenalan, surat kelulusan serta surat permohonan kad pengenalan dan borang akuan.

Difahamkan, suspek utama seorang wanita mendalangi sindiket berkenaan sejak lebih 10 tahun lalu dan dipercayai menjadikan rumahnya sebagai pusat kutipan dokumen palsu yang berharga RM1,500 setiap satu.

Mengakui keadaan itu membimbangkan, pakar kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim menegaskan pihak berkuasa perlu lebih tegas menghentikan kelulusan pengeluaran IMM13 kerana ia memberi ancaman keselamatan kepada rakyat Sabah.

Sekiranya pemberian dokumen itu dibuka semula, tindakan menggempur pendatang tanpa izin yang dijalankan hanya sia-sia.

Jual sijil lahir

“Seorang daripada tiga penduduk Sabah ialah pendatang dan jumlah itu akan terus meningkat sekiranya kerajaan berlembut dengan membuka semula pengeluaran IMM13,” katanya.

Selain IMM13, tindakan segelintir ibu bapa menjual sijil kelahiran bayi yang sudah meninggal dunia kepada pendatang tanpa izin turut dikesan menyumbang kepada peningkatan pendatang memiliki dokumen rasmi.

Kebiasaannya, dokumen itu dijual bapa kandung kanak-kanak terbabit tanpa pengetahuan isteri dan ahli keluarganya.

Mengikut satu laporan, seorang wanita berusia 50-an dari sebuah daerah di utara Sabah mendakwa sijil lahir anaknya dijual oleh bekas suaminya kepada warga negara Filipina.

Namun, ia sudah terlewat kerana wanita yang bekerja sebagai petani itu hanya mengetahui sijil lahir anaknya yang meninggal dunia ketika berusia lapan bulan pada 1991, dijual bekas suaminya apabila dihubungi seorang remaja lelaki mendakwa memiliki dokumen itu, baru-baru ini.

Ia terdedah apabila remaja berkenaan menjemputnya datang ke Putrajaya dengan membiayai penerbangan, pengangkutan dan tempat tinggal untuk urusan menandatangani borang daftar lewat membuat MyKad.

“Saya terkejut, apatah lagi remaja terbabit mengetahui nama semua anak saya dan mengaku dokumen berkenaan dibelinya daripada bekas suami,” katanya yang enggan identitinya didedahkan.

Justeru, sebarang pengeluaran dokumen IMM13 hendaklah dihentikan segera sementara kerajaan menyelesaikan dahulu isu kemasukan pendatang tanpa izin dengan mengambil kira ancaman kepada aspek keselamatan di Sabah dan juga di seluruh negara.

Berita Harian X