Ahad, 9 September 2018 | 11:00am

Bangkit selepas 61 tahun diulit mimpi indah

PADA 1 September lalu, dikatakan 10,000 orang Melayu hadir dalam satu majlis dinamakan ‘Himpunan Melayu Bangkit’ di Pasir Salak, Perak. Ia anjuran Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) atau United Malays National Organisation (UMNO).

Program dianjurkan apabila UMNO yang menjadi tunjang pemerintahan negara di bawah gabungan Perikatan yang kemudian dijenamakan sebagai Barisan Nasional (BN), kecundang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), selepas 61 tahun memerintah.

Tujuan asasnya adalah mengajak umat Melayu mempertahankan hak istimewa, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan agama Islam yang dikatakan diganggu gugat atau dirobek oleh pemerintahan baharu Pakatan Harapan (PH) selepas hari bersejarah 9 Mei lalu.

Ucapan oleh pemimpin UMNO dalam majlis itu lebih tertumpu kepada politik semasa dan hak orang Melayu, institusi Raja-Raja dan agama Islam yang kemudian disambut laungan ‘Melayu bangkit’ oleh hadirin.

Akhir acara, satu deklarasi dibacakan yang antara lain pengisytiharan bahawa orang Melayu akan mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, amaran supaya berhenti daripada mempersoalkan kedudukan orang Melayu, selain mempertahankan dan memelihara kedaulatan Raja-Raja.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, dalam sidang akhbarnya berkata penting untuk rakyat bangkit menyuarakan kegusaran berhubung perkembangan politik, khususnya yang menyentuh kedudukan Islam sebagai agama rasmi, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera, kedudukan Raja-Raja Melayu serta bahasa kebangsaan.

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), definsi bagi maksud bangkit adalah pelbagai. Antaranya bangkit dalam konteks kesedaran dan bergerak untuk mencapai kemajuan.

Maknanya, UMNO mahu bangkit semula selepas jatuh pada PRU-14. Bukan sahaja kalah di banyak kerusi, malah banyak parti komponen yang bersamanya dalam Perikatan dan BN mula menjauhkan diri dan seperti tidak mahu lagi dikaitkan dengan UMNO.

Ini dilakukan ketika PH mengajak rakyat tanpa mengira kaum dan agama bersama-sama menyokong gagasan Malaysia baharu untuk kepentingan semua.

PH di bawah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga meminta rakyat secara keseluruhan melupakan UMNO dan BN yang didakwanya sudah terpesong jauh selepas PRU-13 pada 2013.

Persoalannya, adakah UMNO hanya mahu membela dan memperjuangkan Melayu dan Islam semata-mata. Bagaimana dengan kaum dan penganut agama lain. Masih relevenkah perjuangan parti politik ala-ala perkauman?

Jika itu yang UMNO perjuangkan, maka ia sama seperti MCA dan MIC, masing-masing untuk kaum Cina dan India. Sedangkan, beberapa parti, terutama di Sabah dan Sarawak juga menarik diri daripada BN kerana tidak mahu lagi dikaitkan dengan UMNO dan BN.

Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong semalam pun, MCA menggunakan logo sendiri kononnya tidak mahu dibayangi BN dalam usaha menarik pengundi Cina. Namun, keputusan menunjukkan MCA tidak diterima untuk mewakili kaum Cina kerana mereka telah ada pilihan lain, sama ada DAP atau PKR.

UMNO juga tewas bertanding PRK Sungai Kandis kepada PKR sebelum ini, mungkin suatu petunjuk bahawa sokongan pengundi kepada parti yang dikatakan parti keramat orang Melayu itu semakin susut.

Di Seri Setia pula walaupun PAS bertanding dan disokong oleh UMNO dan komponen lain dalam BN, pengundi terus memberi kemenangan kepada PH. Maknanya, selepas PRU-14, majoriti pengundi masih mahukan PH.

Kepada BN, khususnya UMNO perlu mencari kaedah lain untuk menarik sokongan. Mereka perlu ada daya tarikan baharu untuk mendapat sokongan bukan sahaja undi Melayu, malah kaum lain jika mahu kembali.

UMNO kini baru bangkit, tetapi perlu melalui jalan berliku kerana selama 61 tahun UMNO lena diulit mimpi indah dan hanya bangun daripada tidur selepas tewas mengejut dek kealpaan yang memakan diri.

37 dibaca
Berita Harian X