Sabtu, 1 September 2018 | 11:00am
FOTO hiasan

Bumiputera perlu tonjol kebolehan tingkat daya saing ekonomi

HARI ini, sekali lagi satu kongres membincangkan soal nasib Bumiputera akan diadakan. Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 itu akan dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan menyampaikan ucaptama serta berdialog dengan peserta.

Sudah semesti penggunaan istilah kongres untuk perhimpunan sehari itu menarik perhatian sebilangan besar orang Melayu kerana ia mengimbau kenangan bersejarah kongres Melayu sebelum ini yang banyak membentuk dasar untuk meningkatkan tahap sosioekonomi Bumiputera.

Soal paling banyak bermain dalam fikiran ramai ialah apakah hala tuju kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam usaha terbaru untuk mengubah nasib orang Melayu. Rata-rata mahu menyaksikan perubahan daripada apa yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.

Bagi sebahagian yang ditemuramah oleh penulis, rancangan kerajaan Najib nampak cantik di atas kertas, tetapi kerap pelaksanaannya menggagalkan niat yang ingin dicapai.

Misalnya, kata seorang kontraktor Melayu yang tidak mahu namanya disiarkan, inisiatif carve-out and compete bagi meningkatkan peningkatan Bumiputera dalam projek mega, amat menghampakan dari segi pelaksanaannya.

“Sering syarat yang ditetapkan oleh agensi pelaksana kontrak mega ini terlalu rumit untuk dipenuhi kebanyakan kontraktor Bumiputera. Apakah sengaja mereka berbuat demikian untuk hanya memanfaatkan segelintir kontraktor pilihan?”

Nilai kebolehan

Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mokhtar Samad yang mengakui banyak mendengar rungutan sedemikian, menyokong dasar mewujudkan persaingan terkawal dalam kalangan peniaga Bumiputera untuk merebut setiap kontrak kerajaan.

“Kami menyokong dasar tender terbuka terkawal dalam kalangan pengusaha Bumiputera untuk sebahagian kontrak yang ditawarkan. Apa yang kami tidak mahu lihat ialah penipuan berlaku dalam pemberian tender itu.

“Saya yakin dengan Dr Mahathir kerana beliau sebelum ini memang dikenali sebagai seseorang yang mementingkan kebolehan daripada kenalan dalam menawarkan kontrak.

Ini yang kita harapkan dari kerajaan baharu agar kita dinilaikan dari segi kebolehan masing-masing, bukan lagi kerana kenal pemimpin tertentu,” katanya.

Keupayaan kontraktor Bumiputera yang memang banyak menunjukkan peningkatan dan kebolehan mereka menyiapkan kontrak pada kos, mutu dan jangka ditetapkan sudah diakui, namun Mokhtar berpendapat mereka masih memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar.

“Pengauditan harus dilakukan ketika pelaksanaan kontrak. Sekiranya ada yang menghadapi masalah, mereka perlu dibimbing agar dapat menyiapkannya. Kita tidak mahu hubungan kita dengan kerajaan seperti tukul dan paku.

“Apabila sesuatu tak kena, diketuknya kita sehingga bengkok. Apa yang kita mahu ialah seperti nut and bolt, hubungan yang saling mengukuhkan,” katanya lagi.

Bertemakan ‘Mendepani Cabaran Bumiputera dalam Malaysia Baharu,’ kongres itu memberi penekanan kepada enam bidang fokus utama merangkumi Nilai, Moral dan Etika, Pendidikan dan Modal Insan, Penciptaan dan Pemilikan Kekayaan, Perniagaan dan Keusahawanan serta Tindakan Afirmatif dan Pembentukan Strategi/Hala Tuju.

Peranan UiTM

Apabila membincangkan usaha meningkatkan tahap sosioekonomi Bumiputera, nama Universiti Teknologi MARA (UiTM) tak lekang di bibir.

Universiti berkenaan yang ditubuhkan sebagai Institut Teknologi MARA (ITM) pada 1967, memang sudah banyak menyumbang kepada usaha melipatgandakan jumlah graduan Bumiputera yang terlatih dan berkelayakan.

Namun bagi Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Hasan Said, beliau masih belum mahu berpuas hati, sebaliknya mengakui masih wujud persepsi ‘tak boleh buat kerja’, terutama dalam kalangan majikan swasta dan syarikat multinasional (MNC) terhadap graduan Melayu secara amnya.

“Pada pandangan saya, ia bukan mengenai soal penguasaan bahasa Inggeris yang lemah, tetapi berhubung sikap. Kita mendapati masih ada dalam kalangan graduan Bumiputera tidak mampu bersaing di alam pekerjaan, terutama dalam persekitaran MNC.

“Mereka terlalu cepat mengalah apabila berdepan cabaran. Ini yang kita berusaha untuk mengubah di UiTM. Kita yakin apabila ramai graduan Bumiputera berani menonjolkan bakat, MNC sekali pun tidak mahu terlepas peluang untuk mendapatkan khidmat mereka,” katanya.

UiTM yang pengambilan pelajarnya dikhususkan untuk Bumiputera, sudah membuahkan hasil dalam usahanya untuk meningkatkan kebolehpasaran graduannya.

Pada masa ini, 84 peratus daripada graduan institut pengajian tinggi itu mampu mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian, termasuk kira-kira 10 peratus yang mewujudkan kerja sendiri.

UiTM mahu meningkatkan lagi pencapaian itu pada kadar dua peratus tambahan setiap tahun, dengan melahirkan graduan dalam bidang yang bersesuaian dengan keperluan semasa industri.

Walaupun harus diakui pencapaian kaum Bumiputera dalam pendidikan dan pekerjaan sudah banyak ditingkatkan sejak 1970, terutama menerusi Dasar Ekonomi Baharu, masih ada sudut kritikal ekonomi yang harus diberi tumpuan.

Pemilikan kekayaan

Seperti didedahkan baru-baru ini oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, pendapatan purata isi rumah Bumiputera masih rendah berbanding bukan Bumiputera, iaitu RM6,267 berbanding RM8,213 pada data 2016. Dari segi pemilikan kekayaan (wealth ownership), jurang perbezaannya agak lebih ketara.

Dedah Azmin lagi, transaksi pemilikan kediaman dalam pasaran primer oleh Bumiputera berbanding bukan Bumiputera pada tempoh sama adalah 38.8 peratus (RM5.63 bilion), berbanding 56.7 peratus (RM8.23 bilion).

“Bagi pemilikan komersial, peratus transaksi Bumiputera hanya 9.8 peratus (RM21 juta) berbanding bukan Bumiputera, iaitu 46 peratus (RM1.01 bilion),” katanya.

Ini belum dilihat dari segi aset kewangan. Menurut data pada 2009, tahap pemilikan kekayaan (aset kewangan dan hartanah) Bumiputera paling rendah berbanding kaum lain.

Pada 2009, purata pendapatan isi rumah masyarakat Cina ialah 1.38 kali ganda pendapatan Bumiputera. Dari segi pemilikan kekayaan, jurang ini meluas kepada 1.9 kali ganda, manakala dari segi aset kewangan, masyarakat Cina memiliki 2,135 kali ganda lebih aset daripada Bumiputera.

Ini bermakna, median aset kewangan seorang Bumiputera hanya RM1, berbanding RM2,135 bagi seorang Cina, menurut Dr Muhammed Abdul Khalid dalam bukunya The Colour of Inequality yang diterbitkan pada 2014.

Jurang ini harus ditangani segara kerana dari segi jangka panjang, pemilikan kekayaan lebih bermakna berbanding tahap pendapatan. Dalam keadaan ekonomi lemah, golongan yang hanya bergantung kepada pendapatan akan berdepan risiko pengurangan atau hilang mata pencarian.

Sebaliknya, mereka yang mempunyai tahap pemilikan aset yang tinggi mampu mencairkan aset berkenaan untuk mempertahankan kualiti hidup mereka sementara menunggu ekonomi pulih.

Satu lagi sudut yang harus diberi perhatian ialah dari segi kawalan sektor korporat.

Walaupun penguasaan pemilikan ekuiti dalam syarikat senarai awam oleh Bumiputera berada pada tahap 22 peratus pada nilai par (ASLI berkata pemilikan itu adalah setinggi 40 peratus pada dasar nilai pasaran), namun hakikatnya kawalan Bumiputera terhadap syarikat senarai awam hanyalah pada tahap 7.3 peratus berbanding kaum Cina yang memiliki ekuiti 36 peratus, tetapi kawalan 59 peratus.

Agihan kekayaan

Rata-rata tentu memahami bahawa kawalan adalah segala-galanya kerana ia menentukan dasar syarikat dari segi pengambilan pekerja, pemilihan pembekal dan kontrakror serta strategi pelaburan.

Ketidaksamarataan pengagihan kekayaan ini harus menjadi tumpuan kongres dan inisiatif yang baharu serta kreatif harus diutarakan untuk mengurangkan jurang perbezaan yang wujud sekarang. Kita tidak mahu lagi melihat pemilikan kekayaan diidentiti oleh kaum.

“Sekarang ini, kalau mahu lihat kesihatan ekonomi masyarakat Cina, kita hanya perlu lihat kren di atas pencakar langit yang sedang dibina. Lagi banyak kren, lagi sihat pertumbuhan ekonomi masyarakat Cina.

“Kalau kita mahu mengukur kedudukan ekonomi Melayu pula, lihat kepada jenis lauk yang disajikan di warung nasi lemak. Kalau kurang jenis lauk pauk yang dipamerkan, kesimpulannya ekonomi Melayu ketika itu sedang meleset,” kata seorang kontraktor dengan nada sinis.

Penulis ialah Bekas Pengarang Ekonomi Berita Harian

138 dibaca
Berita Harian X