Ahad, 12 Ogos 2018 | 11:15am

Isu hak asasi atau mahu bebas laksana aktiviti

STATISTIK penghidap HIV/AIDS mutakhir ini telah menunjukkan satu perubahan yang ketara dari aspek mode of transmission iaitu cara jangkitannya.

Perubahan berkenaan amat membimbangkan walaupun secara tahunan, rekod menunjukkan kadar penurunan kes baharu membabitkan penyakit berkenaan.

Masalah yang lebih membimbangkan adalah berlaku peningkatansecara drastik kes HIV/AIDS yang berpunca daripada sexual transmission atau jangkitan secara seksual.

Jangkitan secara seksual berkenaan pula berpunca daripada sama ada menerusi aktiviti homoseksual atau heteroseksual.

Apabila masyarakat mengulas statistik yang dikeluarkan bermula pada 2016, maka secara tidak langsung ia berkait dengan isu golongan atau gerakan lesbian, gay, biseksual dan transeksual.

Seperti ramai sedia maklum, LGBT merujuk status orientasi songsang, sama ada naluri seksual mereka, hak bertukar jantina, hak berkahwin sejenis dan banyak lagi.

LGBT di Malaysia

Persoalannya, adakah salah dan tidak beretika apabila kita mengulas mengenai statistik ini dan kaitannya dengan LGBT?

Adakah gerakan mempromosi dan memperjuangkan hak LGBT di Malaysia bebas daripada konsep homoseksual dan heteroseksual?

Jika jawapannya adalah ‘ya’, maka lebih baik bagi golongan berkenaan tidak menggelarkan diri mereka sebagai golongan LGBT. Jika jawapannya adalah ‘ya’, lebih baik untuk mereka berjuang sahaja dengan naluri fitrah sebagai ‘hamba tuhan’.

Sebenarnya, tiada istilah diskriminasi (homophobia, heterophobia, transgender-phobia) yang cuba dibawa golongan hak asasi manusia di Malaysia bagi mensucikan golongan LGBT di negara ini.

Tidak salah saya katakan bahawa mereka yang bersuara untuk memperjuangkan hak LGBT adalah ‘duri dalam daging’ ke arah menjayakan program ‘National Strategic Plan Ending AIDS 2016- 2030’.

Mereka secara tidak langsung menggalakkan aktiviti seksual songsang, sama ada homoseksual atau heteroseksual yang menjadi penyumbang tertinggi kepada kes HIV/AIDS di Malaysia.

Bukan diskriminasi

Apabila kita menolak LGBT, bukan bermakna kita mendiskriminasi individu atau golongan berkenaan.

Sebenarnya sudah ramai orang perseorangan, kumpulan mahupun pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) giat menjalankan aktiviti sokongan sosial menjurus kepada bimbingan agama.

Usaha berkenaan akhirnya membawa kumpulan sasar ke arah mengenali kembali fitrah dan naluri asal suci sebagai seorang bergelar manusia.

Adapun tempelan palsu yang dikatakan turut memberi sokongan kepada gerakan itu, sama ada individu atau gerakan hak asasi manusia, ia hanyalah menjurus kepada pengiktirafan naluri songsang mereka.

Naluri songsang

Naluri songsang yang melindungi nafsu agar mereka bebas menjalankan aktiviti dan tidak rasa malu untuk mendapatkan akses rawatan.

Namun, jauh sekali untuk mengajak dan membimbing mereka ke arah mengenali semula orentasi

fitrah yang sebenar.

Oleh itu, aspek penerangan dan pendidikan kepada masyarakat adalah penting untuk melihat kesan negatif LGBT dengan menilai melalui angka-angka statistik terbabit.

Ia juga bukanlah satu bentuk diskriminasi atau hanya ingin membina persepsi buruk kepada gerakan penyokong atau kelompok LGBT.

Inisiatif berkenaan sebaliknya adalah satu usaha yang murni untuk membendung penularan budaya songsang ini daripada terus menyerang generasi muda mudi di negara kita, Malaysia yang tercinta.

Penulis ialah Aktivis Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)

110 dibaca
Berita Harian X