Jumaat, 6 Julai 2018 | 7:21am
- Foto hiasan

Instrumen maqasid syariah sebagai teori hukum Islam

KESEDARAN orang ramai mengenai sistem ekonomi dan kewangan Islam mendorong ilmuwan Islam untuk meneroka kembali khazanah keilmuan mereka yang menjadi warisan umat Islam.

Ulama juga telah menyusun kembali serta mengubah suai bentuk instrumen yang didapati daripada kitab al-Quran.

Fungsi asas sesebuah bank ialah menerima dan mengumpul simpanan atau deposit, selain melaburkan deposit yang diterima untuk mendapatkan keuntungan. Satu daripadanya ialah menerusi pinjaman atau pembiayaan, sama ada pembiayaan ekuiti mahupun pembiayaan hutang.

Islam sebenarnya menyediakan produk pembiayaan yang cukup banyak seperti mudarabah, musyarakah mutanaqisah, bai bithaman ajil, tawaruq dan sebagainya.

Apa yang penting ialah penerokaan dan pengubahsuaian oleh ulama masa sekarang untuk diamalkan oleh masyarakat.

Memenuhi keperluan

Sistem perbankan Islam boleh didefinisikan sebagai suatu sistem perbankan yang prinsip perjalanan dan amalannya berlandaskan hukum Islam atau dalam bahasa Arab disebut sebagai syariah.

Hal ini bererti segala operasi di bank, sama ada urusan penyimpanan wang, mahupun urusan pembiayaan dilakukan berlandaskan hukum-hakam syariah atau sekurang-kurangnya tanpa melanggar larangan diterapkan Allah SWT melalui hukum syariah.

Penggunaan prinsip ini juga meliputi transaksi bank yang lain, seperti urusan kiriman wang, surat jaminan, surat kredit dan tukaran wang asing.

Faktor utama yang membezakan bank Islam dengan bank konvensional ialah segala urusan mesti dikendalikan tanpa membabitkan sebarang unsur faedah atau bunga hutang. Ini disebabkan Islam menghalang umatnya daripada memberi atau mengambil dan memakan riba.

Selain itu, objektif utama penubuhan bank Islam adalah untuk memenuhi keperluan umat Islam dalam urusan bank.

Asas pengendalian perniagaannya juga berdasarkan ketetapan al-Quran dan sunah, iaitu berdasarkan konsep adil dan saksama demi kepentingan masyarakat keseluruhan.

Ramai kalangan kita yang keliru dengan keuntungan atau dividen yang kita peroleh hasil simpanan di bank, sama ada ia dianggap riba atau bukan dan adakah ia haram atau halal.

Hal ini disebabkan oleh kekeliruan dalam membezakan antara perbankan Islam dan perbankan konvensional.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan". (al-Hujurat 49:01)

Bukan tujuan artikel ini untuk membandingkan sistem perbankan Islam dengan sistem perbankan konvensional.

Buka tetingkap Islam

Pada hakikatnya, sistem perbankan Islam yang bersumberkan wahyu Allah SWT adalah yang terbaik dan tiada tolok bandingnya dengan sistem perbankan konvensional ciptaan manusia.

Hal ini selari dengan firman Allah SWT. yang bermaksud: "Dan siapakah yang lebih baik sabdanya daripada Allah? Dan hanya kepada-Nyalah kami menyembah". (al-Baqarah 2:138)

Perlu ditegaskan di sini bahawa kedua-dua sistem ini sangat berbeza. Ia bukan sahaja berdasarkan persoalan untung dan rugi semata-mata, malah sebenarnya menjadi benteng pemisah di antara syurga dan neraka.

Allah SWT menjanjikan balasan dosa dan neraka kepada pengamal sistem berteraskan riba serta menjanjikan pahala dan syurga kepada pengamal sistem ekonomi-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "... Dan sesiapa yang mengulangi lagi (mengambil riba), maka mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya". (al-Baqarah 2:275)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apabila riba dan zina menjadi-jadi di sesebuah kampung (negeri), maka sesungguhnya mereka telah membenarkan mereka itu diazab oleh Allah". (Riwayat al-Hakim)

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: "Setiap daging yang tumbuh dari harta kotor (haram), maka neraka lebih layak untuknya". (Riwayat at-Tabari)

Dahulu, kita mungkin tiada pilihan untuk menggunakan produk kewangan Islam dalam aktiviti kewangan seperti perbankan, pajak gadai, insurans dan sebagainya.

Namun, dewasa ini ada pelbagai institusi perbankan Islam dan juga bank konvensional yang membuka 'tetingkap Islam' dengan menawarkan produk perbankan Islam kepada mereka berminat, terutama umat Islam.

Antara produk kewangan Islam yang berada di pasaran semasa ialah pajak gadai Islam yang dikenali sebagai 'al-rahnu', takaful dan sukuk.

Dalam keterbatasan dan situasi darurat, kita mungkin akan memberi alasan tiada alternatif lain melainkan sistem kewangan konvensional. Hal ini memaksa kita menggunakan kaedah itu sama ada secara rela atau tidak.

Asas pembiayaan kewangan

Bagaimanapun, apabila sudah ada alternatif produk kewangan Islam di hampir semua institusi perbankan di negara ini, di samping kecaman oleh Allah SWT dan rasul ke atas pengamal riba, adakah kita masih memilih untuk menggunakan sistem kewangan konvensional berasaskan riba dan mengabaikan sistem kewangan Islam?

Maqasid syariah adalah ilmu yang mengalami perkembangan seperti ilmu lain dan ia adalah asas kepada pembiayaan Islam.

Ilmu ini juga asas kepada segala perlakuan muamalat dan menjadi panduan bagi menggerakkan aktiviti manusia dalam rangka merealisasikan kepentingan umum, iaitu memberikan manfaat dan menghindarkan kerosakan bagi mencapai keredaan Allah.

Ulama perundangan Islam membuat ketetapan wujud tertib antara lima jenis maslahah asasi terbabit.

Kepentingan agama diletak pada kelas pertama dan lebih utama berbanding kepentingan jiwa, kepentingan jiwa mesti diutamakan berbanding kepentingan akal, kepentingan akal mestilah diutamakan berbanding kepentingan keturunan dan kepentingan keturunan pula perlu diutamakan berbanding kepentingan harta.

Oleh itu, dalam merealisasikan tanggungjawab sebagai hamba, tidak dapat dinafikan instrumen maqasid syariah sebagai teori dalam hukum Islam.

Ia dijadikan piawaian yang digunakan dalam usaha untuk mencari kebaikan di samping menolak segala keburukan dan mengangkat segala kesulitan yang mengganggu dan menggugat agenda kehidupan manusia.

Penulis adalah Sarjana Kewangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Presiden Komuniti Pejuang Maqasid Syariah

42 dibaca
Berita Harian X