Isnin, 18 Jun 2018 | 7:35am
ORANG ramai menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Azim, Jalan Pandan Mewah, Kuala Lumpur. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Isu negara Islam, sekular kembali dibahaskan

KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu telah mengubah landskap politik di Malaysia.

Kejayaan Pakatan Harapan (PH) mengemudi Putrajaya dianggap sesuatu yang luar biasa dalam konteks politik negara kita. Kejayaan ini disusuli dengan komitmen PH untuk memenuhi janji dalam manifesto yang telah dibentangkan kepada rakyat.

Dalam konteks PH, mereka cuba membawa sesuatu berlainan dengan kerajaan terdahulu.

Menariknya, isu islam dan orang Melayu mula kembali disuarakan disebabkan parti DAP termasuk gabungan dalam PH. Orang mencurigai DAP yang selama ini dikatakan agak keras tentang kedudukan Islam.

DAP konsisten berpandangan bahawa Malaysia adalah bukan sebuah negara Islam, tetapi negara sekular. Artikel ini ingin membahaskan mengenai polemik sama ada Malaysia sebuah negara Islam atau negara sekular.

Islam dalam perlembagaan

Dalam tempoh lebih 60 tahun ini, begitu banyak isu mengenai Islam dalam perlembagaan diperbincangkan termasuk soal negara Islam, kebebasan beragama dan sebagainya.

Semua peruntukan Islam dalam perlembagaan mempunyai kesan menidak atau mengurangkan apa yang didakwa bersifat sekular negara ini.

Sifat utama negara sekular ialah menghalang penyertaan negara dalam soal agama, termasuk kedudukan istimewa, bantuan kewangan dan seumpamanya.

Peruntukan mengenai sekular boleh dilihat dalam Perlembagaan Amerika Syarikat dan India yang secara rasmi mengaku negara sekular. Mahkamah Agung India mengisytiharkan bahawa ciri itu adalah ciri penting perlembagaannya yang tidak boleh dipinda.

Mengenai perbahasan sesebuah negara itu sekular atau tidak, persoalan ini boleh dijawab dengan melihat kedudukan agama dalam sesebuah negara. Jika sesuatu agama itu tidak diberikan peranan atau tempat langsung oleh kerajaan, bolehlah negara itu dianggap sekular dalam erti kata sebenar.

Sebagai contoh di Malaysia, sambutan Aidilfitri, Aidiladha, Tahun Baharu Cina dan Deepavali diisytiharkan sebagai cuti umum. Sesetengah negeri pula turut memberi kelepasan am sempena sambutan lain seperti Israk Mikraj atau Nuzul al-Quran.

Hal sama juga dalam bidang ekonomi di mana Akta Perbankan Islam 1983 yang bertujuan agar usahawan boleh mengurus kewangan dan modal mereka menurut lunas syarak.

Begitu juga dengan Akta Takaful 1984 yang bertujuan mengawal selia aktiviti takaful di Malaysia. Walaupun persoalan ini dianggap kecil dan remeh, dari sudut Perlembagaan kewujudannya menekankan betapa negara ini tidak sekular sepenuhnya.

Piagam Madinah

Dari sudut ilmiah, apa yang dikatakan negara sekular itu ialah sebuah negara yang tidak memberikan tempat atau pengiktirafan kepada mana-mana agama dalam apa bentuk sekalipun.

Perlembagaan Persekutuan sendiri tidak menyebut istilah sekular dalam mana-mana peruntukannya. Bagaimanapun, persoalan sekular tidak terhenti di situ sahaja kerana dokumen yang ada khususnya berkaitan rundingan dan laporan Perlembagaan perlu dirujuk.

Ungkapan sekular hanya wujud dalam Kertas Putih yang membuat perakuan mengenai kedudukan Islam. Ini disebabkan faktor sejarah sewaktu perundingan kemerdekaan pada 1957, orang bukan Islam terutama British sangat bimbang terhadap tuntutan melaksanakan Islam.

Mereka mahukan jaminan perisytiharan Islam sebagai agama Persekutuan tidak mengancam sifat sekular negara ini. Di samping itu, ia juga untuk menjaga hati bukan Islam dalam Parti Perikatan yang terdiri daripada orang Cina dan India, walaupun perkara ini tidak perlu kerana Islam mengiktiraf kedudukan bukan Islam dalam sesebuah negara.

Contoh ini dapat dilihat dalam Piagam Madinah di mana setiap orang mempunyai hak masing-masing. Walaupun Malaysia tidak boleh dikatakan negara Islam dalam erti kata yang sebenar, ini tidak pula bermakna Malaysia menjadi negara sekular.

Jika dirujuk Perkara 3(1) yang mengatakan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan, ini telah mengurangkan ciri-ciri sekular. Ia ditambah lagi dengan Perkara 11(4) yang menyekat penyebaran agama, selain Islam kepada penganut Islam, menyebabkan ciri sekular itu semakin terhakis.

Namun, kedudukan Islam dalam Perlembagaan tidak harus dibataskan kepada polemik sama ada sebagai cara hidup atau upacara semata-mata atau bersifat sekular atau sebaliknya.

Hal yang sama juga berlaku apabila merujuk kepada Perkara 12(2) yang membenarkan penggunaan wang awam untuk tujuan agama melalui institusi dan jawatan dalam perkhidmatan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan mufti yang menunjukkan ia dibenarkan oleh undang-undang bagi perkara terbabit.

Begitu juga dengan media kerajaan seperti RTM yang membenarkan penyiaran program agama. Ini membuktikan bahawa kedudukan Islam dilebihkan daripada agama lain, walaupun perlembagaan menjamin hak kebebasan beragama.

Selain itu, ada lagi perkara yang secara keseluruhannya menidakkan dakwaan Malaysia adalah negara sekular. Satu daripada perkara yang jelas ialah kedudukan institusi beraja. Sukar untuk menolak bahawa institusi beraja mempunyai hubungan sangat akrab dengan hal ehwal Islam.

Tolak ciri sekular

Kedudukan ini dengan sendirinya menolak ciri sekular negara ini disebabkan institusi beraja tegak dan kekal atas alasan agama. Begitu juga dengan jawatan seperti mufti, kadi, hakim Mahkamah Syariah dan sebagainya.

Pandangan Hashim Yeop Sani mengenai negara Islam yang mana menurut beliau, adalah sah dari segi undang-undang untuk Malaysia menyatakan atau menganggap dirinya sebagai negara Islam walaupun tidak semua undang-undangnya berasaskan hukum Islam.

Perlembagaan memberi jaminan kebebasan beragama yang luas kepada setiap orang tanpa mengira sama ada warganegara atau tidak.

Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj pada mulanya menyebut Tanah Melayu sebagai negara sekular, tetapi telah mengubah pandangan beliau pada 1984 dengan mengatakan bahawa Malaysia bukan negara Islam, tetapi bukan negara sekular secara mutlak.

Pendapat ini selari dengan pendapat Wu Min Aun yang mengatakan Malaysia is not an Islamic State but a secular state with Islamic characteristic and bias.

Namun, pendapat Wu Min Aun kurang tepat kerana maksud sekular yang sebenarnya ialah meminggirkan atau mengkesampingkan terus unsur agama dalam sesebuah negara.

Pendapat sama juga diberikan oleh penulis seperti Kevin YL Tan dan Thio Li Ann yang menjelaskan Malaysia mempunyai confessional constitution yang berbeza dengan perlembagaan sekular.

Dalam perlembagaan sekular, negara mengambil pendirian berkecuali berhubung dengan agama. Dari segi teori perlembagaan Islam, nama dan bentuk negara Islam itu adalah tidak penting, yang penting ialah isi dan dasarnya perlu menepati kehendak Islam.

Penegasan dan memperbesarkan konsep negara sekular dalam Perlembagaan Persekutuan akan memperkukuhkan lagi pandangan sesetengah pihak yang ingin memisahkan atau mengurangkan peranan Islam dalam sistem perundangan negara.

Ternyata Perlembagaan Negara memberi kedudukan istimewa kepada Islam dan melaluinya, pelbagai perkara mengenai Islam dan kemajuannya, tercapai. Peruntukan berkaitan Islam dan ruang yang ada perlu digunakan sepenuhnya bagi mengatasi kekurangan yang ada dan seterusnya memartabatkan kedudukan Islam di Malaysia.

Jika diteliti, ciri-ciri negara sekular secara umumnya adalah seperti berikut:

i. Tiada agama rasmi bagi sebuah negara.

ii. Tiada peruntukan melalui dana negara untuk pembangunan institusi agama dan pendidikan agama.

iii. Undang-undang negara dibuat tanpa membabitkan badan penasihat agama.

Menurut Mohd Izhar Ariff Mohd Hashim dan Alias Azhar, takrif dan ciri-ciri negara Islam adalah perkara tidak disepakati ulama, sama ada yang terdahulu mahupun kontemporari dan tiada juga nas qat'i membincangkan secara khusus mengenai negara Islam yang sebenarnya.

Takrifan negara Islam

Takrifan negara Islam dibahagikan kepada dua kategori, iaitu ciri-ciri maksimum dan ciri-ciri minimum. Ciri-ciri maksimum sebuah negara Islam adalah seperti berikut:

i. Negara Islam harus terlaksana di dalamnya syariat dan syiar Islam dengan aman dan bebas.

ii. Ditadbir oleh al-Imam atau pemerintah yang tergolong daripada umat Islam.

iii. Keselamatan dan keamanan berpihak kepada umat Islam.

iv. Undang-undang Islam dilaksanakan secara total dalam kerajaan Islam.

Perkara (i) dan (ii) yang dinyatakan oleh ulama di atas adalah titik-titik persepakatan di antara ulama kontemporari dan ulama silam. Perkara (iii) dan (iv) pula titik perselisihan di antara ulama dua zaman kerana ada di antara mereka menyebut dan sebahagian lain tidak menyebutnya.

Ciri-ciri minimum yang perlu ada di dalam sebuah negara Islam adalah seperti berikut:

i. Negara itu haruslah didiami oleh majoriti umat Islam.

ii. Ketua negara dan timbalannya haruslah beragama Islam.

iii. Pentadbiran negara harus dikuasai oleh umat Islam.

iv. Syariat Islam bebas dilaksanakan oleh umat Islam dengan penuh keamanan.

v. Umat Islam berasa aman sejahtera bila berada di dalam negara terbabit.

Jelas, ulama tidak berselisih bahawa negara Islam pula perlu meletakkan al-Quran dan sunah sebagai sumber undang-undang tertinggi. Maka, jika berhujah menggunakan takrifan ini, ternyata Malaysia bukan negara Islam.

Kesimpulannya, perbahasan Malaysia sebuah negara Islam atau sekular berdasarkan takrifan yang digunakan oleh seseorang.

Jika seseorang itu, untuk berhujah menggunakan takrifan sekular, maka jelas Malaysia adalah negara Islam dan sebaliknya jika menggunakan takrifan negara Islam, jelas Malaysia bukan sebuah negara Islam.

Kedua-dua hujah ini betul berdasarkan takrifan yang diguna pakai dalam membahaskan Malaysia adalah sebuah negara Islam atau tidak.

Penulis adalah Pensyarah Pusat Citra, Universiti Kebangsaan Malaysia

1256 dibaca
Berita Harian X