Selasa, 24 April 2018 | 8:36am

Usah tawar manifesto janji kosong

SETIAP kali tibanya musim pilihan raya, antara perkara yang kita sebagai rakyat akan sering saksikan ialah pelbagai tawaran dikemukakan oleh parti politik yang bertanding demi mendapatkan mandat.

Ada yang menamakannya manifesto dan ada merujuknya sebagai aku janji atau ikrar untuk melakukan sesuatu perkara apabila diberi kuasa.

Dalam Islam, tiada larangan atau tegahan untuk seseorang itu berjanji atau berazam melakukan sesuatu perkara. Cuma Islam memandang serius sejauh mana pihak berkenaan menyempurna atau mengotakan janjinya selepas mendapat apa yang dimahukan.

Orang yang sering mengkhianati janji adalah kelompok sangat dipandang keji di dalam Islam sebab ia adalah antara sifat buruk yang acap kali diulang dalam al-Quran, iaitu 'kazab' atau penipu.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad bin Muhammad bin Ahmad, dari Shafwan bin Salim diceritakan, suatu ketika Rasulullah SAW ditanya: "Ya Rasulullah, apakah mungkin seorang Mukmin itu kedekut? Jawab Rasulullah "Ya mungkin". Apakah mungkin seorang Mukmin itu penakut? Jawab Rasulullah "Ya, mungkin." Apakah mungkin seorang Mukmin itu pembohong? Jawab Rasulullah "Tidak!". (riwayat Ahmad)

Oleh kerana terlalu kejinya sifat orang yang tidak menyempurnakan janji, Allah SWT menjadikan sifat itu antara ciri utama seorang munafik, yang membezakannya dengan seorang Mukmin.

Pada masa sama, Allah SWT apabila ingin membicarakan ciri orang yang beriman, antara sifatnya yang menonjol ialah dia seorang yang menyempurnakan janjinya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya". (Surah al-Mukminun: 8)

Bahkan sifat itu juga disebut oleh Allah SWT sebelum sifat memelihara solat untuk menggambarkan bahawa besarnya kedudukan sifat menyempurnakan amanah dan janji bagi seorang Mukmin.

Kesungguhan tunai janji politik

Perkara pertama yang sepatutnya difikirkan pemimpin politik saat mereka mula merangka manifesto atau janji ialah sejauh mana kesungguhan untuk menyempurnakan janji berkenaan selepas diberi kuasa kelak.

Janganlah manifesto terbabit sekadar janji manis untuk mendapatkan kuasa dan apabila kuasa itu diperoleh, janji diabaikan begitu sahaja.

Ingatlah satu kisah yang diceritakan di dalam al-Quran mengenai Qarun, seorang manusia yang bermanifesto untuk melakukan kebaikan jika diberikan kuasa dan kekayaan.

Diriwayatkan bahawa awal kehidupan Qarun sangatlah miskin dan memiliki ramai anak.

Pada satu hari, dia meminta Nabi Musa yang juga anak saudaranya untuk mendoakan kepada Allah SWT agar dia diberikan kekayaan untuk melakukan kebaikan. Akhirnya, Allah SWT mengkabulkan permintaan itu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Qarun adalah dari kaum Nabi Musa, kemudian dia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka". (Surah al-Qasas: 76)

Saat permintaannya dikabulkan, dia terus bongkak serta langsung tidak mengambil kisah segala janji yang dia pernah taburkan dahulu, bahkan dengan angkuh berasakan segala kekayaan dan kekuasaan dimilikinya adalah atas kehebatan dirinya sendiri, bukan kurniaan Allah SWT.

Lalu dengan kesombongan inilah, akhirnya dia diazab oleh Tuhan Pemilik Alam Semesta.

Kisah Tsa'labah

Kisah sama juga berlaku pada zaman Rasulullah SAW, berkisar seorang sahabat Baginda, iaitu Tsa'labah bin Hatib al-Ansori.

Beliau sangat miskin dan meminta Rasulullah SAW mendoakan supaya dia diberikan harta supaya dapat melakukan amal kebajikan, namun dia turut berubah seperti berubahnya Qarun sehinggakan apabila turunnya ayat kewajipan membayar zakat, dia enggan membayarnya.

Lalu turunlah firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan di antara mereka, ada yang membuat janji dengan Allah dengan berkata: "Sesungguhnya jika Allah memberi kepada kami dari limpah kurnia-Nya, tentulah kami akan bersedekah dan tentulah kami akan menjadi orang yang soleh". Kemudian setelah Allah SWT memberi mereka dari limpah kurnia-Nya, mereka bakhil dengan pemberian Allah itu serta membelakangkan janji dan sememangnya mereka orang yang sentiasa membelakangkan (kebajikan). Akibatnya Allah menimbulkan perasaan munafik dalam hati mereka (berkekalan) hingga ke masa mereka menemui Allah kerana mereka telah memungkiri apa yang mereka janjikan kepada Allah dan juga kerana mereka sentiasa berdusta." (Surah al-Taubah: 75-77)

Semoga semua kisah ini memberi pengajaran dan peringatan terhadap pemimpin politik ketika mereka sibuk menabur janji.

Ingatlah setiap apa yang dijanjikan itu bukan sekadar akan dipersoalkan oleh rakyat, tetapi ia akan turut dinilai oleh Tuhan pemilik segala isi langit dan bumi.

Sesungguhnya azab itu benar seperti mana rahmat itu juga benar.

Penulis adalah pegawai Penyelidik Majlis Ulama Isma

Berita Harian X