Selasa, 10 April 2018 | 7:15am
- Foto hiasan

Kuasa Agong lantik Jemaah Menteri sementara

Pelbagai pihak memberi pandangan dan memperkatakan status Kerajaan Persekutuan dan negeri apabila Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Kerajaan Persekutuan pada hakikatnya ialah Yang di-Pertuan Agong dan Jemaah Menteri baginda.

Kebanyakan pandangan membahaskan kewujudan kerajaan sementara atau ada yang mempopularkannya sebagai a caretaker government berdasarkan amalan Westminster dan di negara Komanwel apabila Parlimen dibubarkan.

Penulisan ini berbeza kerana menonjolkan prerogatif, iaitu hak khusus atau istimewa Yang di-Pertuan Agong dalam Perlembagaan Persekutuan.

Prerogatif Yang di-Pertuan Agong hendaklah dihurai berdasarkan adat Melayu, bukan tertakluk kepada amalan Westminster.

Prerogatif ialah manifestasi daripada kedaulatan dan menurut Laporan Jawatankuasa Kerja Penggubalan Perlembagaan 1946, kedaulatan Raja-Raja Melayu itu hendaklah menurut adat Melayu.

Dalam buku Kedaulatan Raja-Raja Melayu: Jurisprudens, Governan & Prinsip Perlembagaan (2018), dihujahkan bahawa Seksyen 3 Akta Undang-Undang Sivil 1956 memperuntukkan: "Dengan syarat bahawa common law dan kaedah ekuiti dan statut pemakaian am akan terpakai sejauh yang diizinkan oleh keadaan di negeri dalam Malaysia dan penduduknya dan tertakluk pada penyesuaian seperti yang diperlukan oleh keadaan tempatan".

Ia menunjukkan kedudukan prinsip perundangan Islam, adat Melayu dan agama orang Melayu hendaklah terlebih dahulu diambil kira sebelum mengimport common law dan kaedah ekuiti dari luar.

Prinsip di atas selaras dengan pandangan Hakim Sproule dalam Kes Re Yap Kwan Seng's Will (1924) 4FMSLR 313.

Hakim Sproule berkata: "Dengan itu, sudah dihujahkan kepada saya bahawa satu sebab penting pengambilan kaedah terbabit di Tanah Jajahan itu tidak wujud di sini, berasaskan hakikat bahawa negeri ini tidak diserahkan kepada British dan bukan wilayah yang baik diduduki, tetapi adalah negeri yang melalui perjanjian meminta sedikit sebanyak perlindungan dan pengawalan British.

"English Common law tidak dibawa ke mari atau diambil pada bila-bila masa jua pun. Apa yang dikatakan ialah beberapa bahagian daripada undang-undang itu dimasukkan oleh perundangan yang mengambil bukan undang-undang Inggeris, tetapi mengambil prinsip Inggeris dan model bagi undang-undang tempatan".

Prerogatif Yang di-Pertuan Agong

Justeru, apabila Parlimen diperkenankan untuk pembubaran oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, kuasa baginda untuk menubuhkan Jemaah Menteri sementara, perlu dilihat dari sudut prerogatif baginda yang tidak dibataskan oleh Perlembagaan Persekutuan apabila berlaku sebarang kesamaran.

Jemaah Menteri juga terbubar bersama-sama pembubaran Parlimen, namun kedudukan Yang di-Pertuan Agong tidak terjejas walaupun baginda juga salah satu organ Parlimen.

Oleh kerana prinsip Perlembagaan menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong melaksanakan pemerintahan negara berdasarkan nasihat eksekutif, kecuali perkara yang jatuh di bawah budi bicara baginda, dalam tempoh pembubaran Parlimen itu sehingga Ahli Dewan Rakyat terpilih, baginda perlu membentuk Jemaah Menteri sementara.

Kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Jemaah Menteri sementara adalah berdasarkan kedaulatan dan prerogatif baginda yang termaktub dalam Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan.

Kedaulatan dan prerogatif Yang di-Pertuan Agong adalah apa yang dimiliki Raja-Raja Melayu kerana baginda wakil pemerintah Raja-Raja Melayu pada peringkat Persekutuan.

Perkara 181(1) berbunyi: "Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini, kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja sebagaimana yang sudah ada dan dinikmati hingga kini adalah tetap dan tidak terjejas".

Justeru, apabila peruntukan Perlembagaan Persekutuan tidak membataskan, prerogatif sedia ada kekal pada Yang di-Pertuan Agong.

Dalam Perlembagaan Persekutuan, pelantikan Jemaah Menteri termaktub dalam Perkara 43(2) melalui dua keadaan.

Pertama, dalam tempoh hayat Parlimen bersumberkan peruntukan yang berbunyi: "Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti yang berikut: (b) atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik menteri-menteri lain dari kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen".

Kedua, dalam fasal sama, seterusnya terdapat situasi pelantikan dibuat ketika Parlimen terbubar.

Peruntukan itu berbunyi: "Tetapi jika sesuatu pelantikan dibuat ketika Parlimen terbubar, seseorang yang menjadi Ahli Dewan Rakyat yang lepas boleh dilantik, tetapi tidak boleh terus memegang jawatan selepas permulaan penggal Parlimen yang berikutnya melainkan jika dia sudah dilantik menjadi Perdana Menteri, dia ialah Ahli Dewan Rakyat yang baharu itu dan dalam apa hal-hal lain, dia ialah Ahli sama ada bagi Dewan Rakyat atau Dewan Negara".

Peruntukan Perkara 43(2) perlu dibaca bersama-sama prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Syarat lantikan

Apabila Parlimen dibubarkan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Jemaah Menteri sementara, sama ada memperkenankan Jemaah Menteri yang lepas atau membentuk Jemaah Menteri baharu.

Ia bersama dengan syarat, keanggotaannya adalah dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat sebelum pembubaran Parlimen, bagi maksud untuk menyempurnakan nasihat di bawah Perkara 40(1).

Perkara 40(1) berbunyi: "Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini".

Oleh sebab Jemaah Menteri itu bersifat sementara, sudah sewajarnya ia hanya memiliki kuasa terhad bagi maksud untuk menyempurnakan nasihat dalam hal yang mustahak semasa tempoh pembubaran Parlimen.

Perlu dinyatakan juga bahawa dalam tempoh itu, jentera pentadbiran Kerajaan Persekutuan masih berfungsi untuk meneruskan keputusan yang sah dibuat oleh Jemaah Menteri dalam penggal Parlimen sebelumnya.

Kesimpulannya, dalam konteks di atas, fungsi Jemaah Menteri sementara perlu ditafsirkan.

Penulis adalah Peguam Syarie dan pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Undang-Undang Perlembagaan (Konsep Kedaulatan Raja-Raja) dari Universiti Kebangsaan Malaysia

430 dibaca
Berita Harian X