Ahad, 18 March 2018 | 11:24am

MCA ingin menang atau sekadar mahu bertanding

DALAM pilihan raya lepas, Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan hanya menang empat kerusi Parlimen, termasuk Labuan dan Putrajaya.

Dua lagi kerusi tradisi milik UMNO, yakni Setiawangsa memang kubu kuat dan Titiwangsa yang dirampas semula daripada PAS.

Kerusi lain, Kepong, Cheras, Batu, Segambut, Seputeh, Wangsa Maju, Bukit Bintang, Bandar Tun Razak dan Lembah Pantai umpama jauh panggang dari api.

Pernah seketika dahulu sebelum Pilihan Raya Umum 1999, Wangsa Maju, Batu, Bandar Tun Razak dan Lembah Pantai, memang kubu kuat BN.

Sejak tsunami pengundi Cina melanda negara, pengaruh pembangkang, terutama DAP dan PKR makin mendapat tempat di ibu kota.

Sebelum PRU lepas, BN hanya dapat pertahankan Putrajaya, Labuan dan Setiawangsa, tetapi pada PRU-13 dapat tambahan kerusi Titiwangsa.

Kali ini, BN Wilayah Persekutuan yang diketuai Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Adnan Tengku Mansor sekali lagi terpaksa mengharungi cabaran menghadapi pengundi.

Khabarnya, Putrajaya dan Labuan tidak terlalu mencabar dengan laluan dikatakan agak mudah.

Setiawangsa dan Titiwangsa juga khabarnya sudah ada sebelah kaki, cuma perlu bekerja lebih keras untuk BN kekal berkuasa di dua kerusi itu. Tan Sri Zulhasnan Rafique yang kini Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat dijangka kembali semula di Setiawangsa.

Maknanya, empat kerusi sudah dalam tangan. Misi BN kali ini merampas semula Lembah Pantai, Wangsa Maju, Bandar Tun Razak serta Batu, kawasan yang sememangnya pernah milik BN.

Tengku Adnan sendiri akui kerusi berkenaan memang menjadi matlamat BN.

"Kita memang sasar empat lagi kerusi kali ini. Tetapi perlu ada kompromi daripada parti komponen.

"Yang penting kita menang, tak payah berebut kerusi nak ikut kuota. Lepas menang nanti kita bincang semula," katanya merujuk kepada MCA yang mahukan kerusi Bandar Tun Razak dan Wangsa Maju.

Memang dua kerusi itu pernah milik MCA. Tetapi sejak dua PRU lalu, pengundi terutama Melayu mahukan calon UMNO.

Di Wangsa Maju, Ketua UMNO Bahagian, Datuk Seri Shafei Abdullah dikatakan mampu menang, tetapi berlaku masalah dengan MCA yang mahukan kerusi berkenaan sehingga menjejaskan peluang BN ketika itu.

Begitu juga di Bandar Tun Razak, majoriti penyokong BN mahukan calon UMNO, tetapi MCA mahukan calonnya, Tan Kok Eng. Calon PKR, (kini Bebas) Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menang kerusi berkenaan.

Di Lembah Pantai, Ketua Umno bahagian, Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin sekali lagi akan dipertaruhkan dengan harapan kali ini lebih cerah berdasarkan majoriti tipis 1,847 Nurul Izzah Anwar pada PRU-13. Nurul Izah juga dikatakan bimbang dan mahu lari ke Pandan.

Di Batu, Dominic Lau dari GERAKAN dijangka sekali lagi membawa cabaran untuk BN dengan peluangnya dikatakan lebih cerah untuk merampas kerusi itu daripada Tian Chua.

Kerusi lain yang menjadi tradisi milik DAP tidak perlu diperkatakan. Biarkan sahaja pengundi yang menentukan.

Namun, bak kata Tengku Adnan atau Ku Nan, jika mahu tambah kerusi perlu ada kompromi. Dalam hal ini terserah kepada MCA, nak BN menang atau hanya sekadar mahu bertanding.

Berita Harian X