Khamis, 15 March 2018 | 7:10am
- Foto hiasan

Perbetulkan istilah, takrifan kurang tepat

FRASA 'betulkan yang biasa dan biasakan yang betul' sesuai digunakan dalam penggunaan istilah perundangan di negara kita. Dalam perjalanan menuju peradaban perundangan yang tersendiri, penggunaan istilah yang tepat amat penting.

Setiap istilah yang digunakan akan menghasilkan kefahaman tersendiri. Justeru, menjadi kewajipan untuk diperbetulkan istilah yang tidak tepat, walaupun sudah lama digunakan. Antara istilah penting untuk diperhalusi dan diberikan pengertian ialah 'mahkamah sivil' dan 'undang-undang sivil'.

Istilah 'mahkamah sivil' tidak digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan pada masa ia digubal pada 1957. Ia juga tidak terdapat dalam peruntukan berkaitan Badan Kehakiman pada Bahagian IX Perlembagaan Persekutuan.

Frasa 'mahkamah sivil' disebut dalam Perlembagaan Persekutuan selepas dimasukkan melalui pindaan Perlembagaan - A206 yang berkuat kuasa dari 1 Februari 1974. Ia berkenaan kuasa Yang di-Pertuan Agong berkaitan pengampunan.

Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan definisi mengenai istilah ini. Ia diandaikan oleh ramai sebagai mahkamah yang bukan Mahkamah Syariah. Walaupun begitu, andaiannya pindaan yang berkuat kuasa pada 1974 itu mengelirukan kerana frasa 'mahkamah sivil' tiada dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkaitan 'Badan Kehakiman' dalam Bahagian IX.

Justeru, istilah yang tepat untuk digunakan dalam Perkara 42(2) ialah 'Mahkamah Persekutuan' seperti ia digunakan pada Bahagian III, Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan (Butiran 5 dan 12) yang wujud sejak mula Perlembagaan Persekutuan digubal.

Mahkamah Persekutuan

Penggunaan istilah ini tidak akan terkeliru dengan 'Mahkamah Persekutuan' yang merujuk kepada mahkamah paling tinggi negara kita. Mahkamah paling tinggi itu merujuk kepada suatu nama khas yang menggunakan huruf besar pada permulaannya, iaitu 'Mahkamah Persekutuan', manakala mahkamah pada peringkat persekutuan bukan nama khas dan ia menggunakan huruf kecil pada permulaannya 'mahkamah Persekutuan'.

Sementara itu istilah 'undang-undang sivil' tidak sekalipun digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkataan yang lazim digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan ialah 'undang-undang Persekutuan' - yang disebut kira-kira 40 kali.

Istilah 'undang-undang Persekutuan' juga diberikan tafsiran di bawah Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan dan tiada 'undang-undang sivil' dalam tafsiran perkataan 'undang-undang' di bawah Perkara 160(2).

Walaupun perkataan 'sivil' beberapa kali digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan, semuanya merujuk kepada perkara 'sivil', iaitu perkara bukan 'jenayah', mengenai perkara yang membabitkan individu seperti dalam kes kontrak atau tort.

Oleh sebab tiada definisi perundangan yang diberikan kepada perkataan 'sivil' itu, rata-rata dianggap mudah dan dianggap sudah difahami.

Penggunaan istilah 'mahkamah sivil' dan 'undang-undang sivil' ini mengelirukan sehingga ia dianggap sebagai mahkamah dan undang-undang pada peringkat Persekutuan, dihalang daripada mengambil prinsip agama. Istilah ini juga dianggap mengasingkan antara agama dan mahkamah serta undang-undang pada peringkat Persekutuan.

Keadaan ini sudah semakin serius sehingga menggalakkan pemisahan agama daripada perundangan negara. Ia juga digunakan sebagai hujah untuk mengukuhkan sifat sekular sistem perundangan negara.

Elemen agama

Penggunaan istilah ini juga menjadikan undang-undang Persekutuan dianggap sebagai suatu perkara yang bercanggah dengan syariah. Kefahaman begini tidak tepat dengan kedudukan agama Islam dalam negara kita. Hakikatnya juga pelbagai undang-undang yang sedang diterima pakai di 'mahkamah sivil' itu juga mengandungi elemen agama.

Untuk mudah difahami oleh masyarakat umum, saya sering memberikan contoh mengenai undang-undang jalan raya. Undang-undang jalan raya mempunyai elemen agama Islam yang jelas kerana ia memudahkan urusan perjalanan, mengelakkan kesesakan dan pada masa sama berfungsi sebagai menjaga nyawa, supaya tidak berlaku kemalangan.

Begitu juga peruntukan berkaitan kesalahan terhadap agama yang terdapat dalam Bab ke-15 Kanun Keseksaan. Bab ini mempunyai beberapa peruntukan yang menjadikan perbuatan menghina agama, menceroboh rumah ibadat atau tanah perkuburan sebagai kesalahan yang boleh dihukum. Kesalahan yang dimuatkan dalam Bab Ke-15 ini bukan atas dasar ketenteraman atau keselamatan, tetapi ia kesalahan yang bertujuan menjaga agama serta sensitiviti agama.

Walaupun kita dapati frasa 'undang-undang sivil' digunakan dalam Akta Undang-Undang Sivil 1956, ia tidak diberikan sebarang tafsiran oleh akta itu sendiri. Analisis saya menunjukkan akta itu berkaitan 'undang-undang sivil', dalam maksud antonim kepada undang-undang jenayah dan bukan merujuk kepada undang-undang yang menolak nilai keagamaan. Jelas, Akta Undang-Undang Sivil mempunyai peruntukan berkaitan komersial dan tuntutan ganti rugi individu dan tidak membabitkan perkara jenayah.

Oleh yang demikian, tidak tepat untuk difahami bahawa undang-undang yang diterima pakai di 'mahkamah sivil' itu ialah undang-undang sivil yang tidak mempunyai elemen agama yang seterusnya menjadikan semua undang-undang di 'mahkamah sivil' itu sekular atau agensi pada peringkat Persekutuan tidak boleh mengambil kira prinsip agama.

Tiga sistem undang-undang

Dalam konteks sistem perundangan yang diamalkan di dunia, secara umumnya, ada tiga sistem undang-undang yang berpengaruh di dunia, iaitu common law, civil law dan religious law.

Civil law dalam konteks sistem perundangan merujuk kepada undang-undang bertulis dan hakim yang menafsir undang-undang. Civil law yang berasal daripada undang-undang Rom ini banyak diterima pakai di negara bukan Komanwel.

Perbezaan utama di antara common law dengan civil law ialah peranan prinsip duluan kehakiman. Common law mengutamakan duluan kehakiman, tetapi civil law mengutamakan undang-undang bertulis.

Justeru, istilah civil law umumnya merujuk kepada sistem perundangan yang bukan common law dan bukan merujuk kepada undang-undang yang tidak boleh menerima nilai agama.

Penulis ialah Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Berita Harian X