Sabtu, 10 Februari 2018 | 7:37am

Viral bentuk baharu buli siber

SEMEMANGNYA sifat semula jadi manusia menggemari sesuatu yang mengujakan, melucukan ataupun menyentuh emosi.

Sifat ini biasanya disusuli dengan tolakan yang kuat untuk menyebar dan menghebahkannya akibat teruja untuk berkongsi perasaan yang sama.

Mungkin di sini bermulanya kebanyakan video, gambar dan cerita yang viral dalam masyarakat hari ini.

Kewujudan alam tanpa sempadan atas nama internet, media sosial dan seangkatan dengannya pula menjadi katalis bagi fenomena ini.

Pada minggu awal persekolahan tahun ini, media sosial dihujani dengan video lucu gelagat anak murid di sekolah.

Kebanyakannya datang dengan tema yang kononnya lucu dan menghiburkan, ditambah perisa dengan coretan jenaka.

Ia termasuk video kanak-kanak yang gagal membaca dengan betul, menangis dalam kelas dan mengungkap kata-kata yang melucukan bagi sesetengah orang dewasa.

Tidak kira siapa yang merakam atau menyebarkannya, apa yang kita tahu ialah ia viral ke segenap kumpulan media sosial dan laman web seperti Facebook, Twitter dan sebagainya.

Ia disambut dengan senyuman, tawa dan akhirnya kembali viral.

Namun, pada sisi lain fenomena ini yang sering kita terlepas pandang ialah akibat dan kesannya kepada mangsa yang dirakam.

Dalam kes video lucu membabitkan gelagat murid sekolah, mangsanya adalah kanak-kanak itu sendiri.

Perbuatan merakam dan menyebar tanpa izin bukan sahaja menyalahi sempadan privasi individu, malah lebih teruk, memberi kesan secara langsung kepada subjek yang dirakam.

Dimalukan, menjadi bahan tawa dan diejek adalah komplikasi yang lumrah hasil tangan manusia itu sendiri.

Apa yang lebih malang, semuanya akan kekal dalam simpanan alam siber sehingga kanak-kanak berkenaan dewasa.

Inilah bentuk baharu buli siber yang jelas, sebagaimana yang digariskan dalam definisi buli siber itu sendiri.

Raskauskas dan Stolz (2007) mendefinisikan buli dalam kategori ini sebagai sebarang serangan bukan fizikal.

Ia termasuk menghina, mengejek, menipu, mempersenda, menyebar berita palsu atau mengancam seseorang menggunakan medium siber.

Beri kesan lebih serius

Nyata dalam kes ini, buli berlaku tanpa segan silu dalam bentuk memalukan mangsa, tidak kira apa juga niat pembuli berkenaan.

Sekalipun tidak ada sebarang kecederaan fizikal yang ditinggalkan dalam kes ini, apa yang nyata adalah kajian secara konsisten menunjukkan buli siber boleh memberi kesan yang lebih serius berbanding fizikal.

Ia termasuk mengganggu perkembangan emosi kanak-kanak, menyebabkan rasa rendah diri dan risiko mengalami masalah mental yang serius seperti kemurungan dan keinginan untuk membunuh diri.

Peningkatan kes masalah mental dan bunuh diri oleh mangsa buli siber di luar negara juga dikhuatiri merebak ke Malaysia akibat fenomena yang sama.

Ia tidak menghairankan kerana laporan Kajian Kebangsaan Mengenai Keselamatan Siber Sekolah di Malaysia sendiri menunjukkan lebih 70 peratus pelajar sekolah, berusia antara 13 hingga 15 tahun, terbabit dalam buli siber.

Kajian oleh Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat pada 2017 pula menunjukkan hampir 40 peratus belia berusia 19 hingga 30 tahun mengaku pernah menjadi mangsa buli siber.

Teknologi seharusnya menjadi alat pemacu pembangunan manusia dan bukannya pemusnah kepada nilai kemanusiaan.

Garis panduan dan etika manusia jelas menggariskan kepentingan menjauhi sifat merendah-rendahkan orang lain.

Seperti maksud firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 11: "Hai orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang lelaki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik daripada mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik".

Perlu perhatian serius

Kes buli siber dalam bentuk penyebaran keaiban kanak-kanak dan pelajar sekolah seharusnya mendapat perhatian serius pihak berkuasa bagi mengelakkannya daripada berulang.

Sekolah bukan sekadar medan perkembangan kognitif dan akademik kanak-kanak, ia juga tempat berlakunya proses perkembangan sosial, emosi dan psikologi golongan berkenaan.

Sekolah juga harus menjadi tempat yang meraikan kepelbagaian perkembangan kanak-kanak yang unik, termasuk anak yang mengalami masalah gangguan perkembangan neuro seperti autisme dan ADHD.

Apabila mereka terdedah kepada kecelaruan akibat kealpaan sebahagian kecil dewasa yang tidak bertanggungjawab, maka kita perlu mengambil tindakan memperbaiki keadaan ini.

Semua pihak perlu mengambil inisiatif menghentikan budaya penyebaran perkara yang tidak positif seperti ini dalam media sosial.

Penulis ialah Pensyarah dan pakar psikiatri Universiti Islam Antarabangsa Malaysia / Ikatan pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim (I-Medik)

Berita Harian X