Khamis, 25 Januari 2018 | 7:21am
ORANG ramai membuat pendaftaran pemilih yang dilakukan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) di Pejabat Pos, KLCC. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Pembangkang berdepan dilema hadapi PRU-14

RAMAI menganggap, pakatan pembangkang pada hari ini sudah berubah daripada matlamat asal perjuangan yang diasaskan pada 1999. Laungan reformasi sudah hilang taringnya apabila Tun Dr Mahathir Mohamad kembali.

Situasi ini menyebabkan ramai ahli pakatan pembangkang yang kecewa dan melihat, matlamat menghalalkan cara perjuangan menjadi satu agenda utama. Situasi ini boleh difahami apabila agihan pembahagian kerusi seluruh Malaysia, Parti Amanah Negara (PAN) hanya mendapat 27 kerusi jika dibandingkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mendapat 52 kerusi. DAP pula mendapat 57 kerusi iaitu 38 kerusi sedia ada di Semenanjung, manakala 19 kerusi di Sabah dan Sarawak.

PKR pula mendapat 99 kerusi iaitu 51 kerusi di Semenanjung, 19 di Sarawak dan 29 kerusi di Sabah. Jadi, apakah persepsi rakyat ke atas PAN nanti. Lebih teruk, PAN akan bertanding di kubu kuat PAS dan mempunyai peruntukan terhad. Peluang untuk menang tipis kerana ada pertindihan kerusi antara parti dalam pakatan pembangkang dan menyukarkan siapa yang mengetuainya.

Suara peringkat akar umbi PAN yang ingin memohon penyemakan semula agihan kerusi turut tidak dipandang. Sebaliknya, PAN turut diberikan amaran supaya tidak mengungkit akan pengagihan kerusi.

Rakyat hari ini juga mempersoalkan apa akan berlaku ke atas Malaysia jika pakatan pembangkang menang. Ini disebabkan suami adalah Perdana Menteri dan isteri, Timbalan Perdana Menteri jika Dr Mahathir sedia memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Gagal menegak keadilan

Pakatan pembangkang gagal menegak keadilan secara telus dan saksama dalam soal pembahagian kerusi. Apatah lagi PKR secara rakus membolot banyak kerusi. Ada kala terdapat simptom terlalu melindungi pihak tertentu dalam pakatan pembangkang. Apakah perubahan akan berlaku di Malaysia seperti diharapkan oleh pengundi yang melihat akan perebutan kerusi sesama parti dalam pakatan pembangkang. Menuju ke arah kebaikan atau sebaliknya dalam politik Malaysia.

Rakyat tidak mahu menanggung kerugian di atas undi nanti. Lihatlah apa yang berlaku kepada PAN. Apabila Pakatan Rakyat berpecah dan pakatan pembangkang mula ditubuhkan, siapakah bertungkus lumus menghidup dan mempertahankan pakatan pembangkang sebelum kemasukan Dr Mahathir?

Menurut ahli Pakatan Amanah yang kecewa, ada ahli DAP turut membantah formula pelantikan Perdana Menteri sedemikian. Ini terbukti apabila anak mendiang Karpal Singh turut memberi amaran bahaya sindrom Mahathirisme.

Tetapi segala-galanya tidak diendah lagi kerana berlakunya tempoh bulan madu antara pakatan Anwar dan Dr Mahathir. Lebih teruk lagi, terdapat kumpulan tertentu melabelkan mereka yang tidak bersetuju dengan formula pelantikan ini dengan berbagai amaran. Seolah-olah tidak ada suara demokrasi dalam pakatan pembangkang.

BN tetap menjadi pemerintah

Yang menakutkan, apabila banyak kajian dilaksanakan menunjukkan, berlaku penyusutan kerusi UMNO, tetapi BN tetap menjadi pemerintah dan PAS tercorot. Kajian itu menunjukkan, pakatan pembangkang hanya berharap pada undi Cina. Bagaimanakah dengan undi Melayu dan India?

Contohnya, perubahan undi Melayu dan India hanya berlaku lima peratus di Selangor. Kalau begitu maksudnya, peluang untuk Parti Amanah menang di negeri lain turut terjejas. Ini disebabkan benarkah pengundi yang menyokong Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) dan PRU-13 masih setia untuk mengundi pakatan pembangkang pada PRU-14 nanti. Sedangkan, politik hari ini sudah menampakkan beberapa perubahan yang ketara sama ada dari segi aliran pemikiran mahupun corak permainan.

Serangan ke atas BN adalah tidak sebegitu kuat berbanding serangan ke atas PAS. Ini menyebabkan kumpulan tegar Pakatan Rakyat kini mulai mengundur apabila melihat penyertaan semula Dr Mahathir dalam politik Malaysia. Mereka beranggapan berlakunya konspirasi mantan ahli UMNO yang menyertai pakatan pembangkang dengan BN. Maka tidak menghairankan apabila sampai masa PRU-14 nanti, akan berlaku serpihan ahli Pakatan Rakyat yang bertanding melawan kembali pakatan pembangkang.

Mereka adalah kumpulan yang tidak bersetuju dengan hala tuju pakatan pembangkang hari ini. Mereka bukan ahli PAS mahupun UMNO atau BN. Mereka adalah pejuang sejati pembangkang yang tidak bersetuju dengan penerapan idealisme BN ke dalam pakatan pembangkang.

Jika ingin membuat perubahan perlu mendasari aspirasi generasi muda dan calon Perdana Menteri perlu daripada anak muda. Bukannya taksub kepada pemimpin yang sudah dikenali zamannya.

Ada di antara ahli Pakatan Harapan memberikan pendapat, bahawa PPBM tidak akan berfungsi tanpa adanya Dr Mahathir. Begitu juga PKR tidak akan berfungsi tanpa adanya Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mahu tidak mahu, PPBM dan PKR perlu bersatu untuk menguatkan kedudukan blok Melayu dalam Pakatan Harapan.

Tetapi adakah dengan adanya gabungan ini akan mengurangi perselisihan faham antara ahli Pakatan Harapan. Apa yang penting adalah dasar agenda Melayu Islam perlu dikembalikan jika ingin mendapatkan sokongan Melayu Islam. Adalah sukar pada hari ini untuk melaksanakan Islamisasi ke atas Pakatan Harapan disebabkan adanya pertentangan dalam sesama kumpulan Harapan.

Islamisasi sebenarnya menguatkan perpaduan negara ini dan bukannya membawa perpecahan. Reformasi berjaya pada zaman Pakatan Rakyat kerana wujudnya Islamisasi. Inilah kelemahan utama dalam Pakatan Harapan hari ini.

Penulis adalah Pengerusi Biro Politik, Majlis Perundangan Melayu Malaysia

Berita Harian X