Rabu, 24 Januari 2018 | 12:49pm
MENTERI Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Richard Riot mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan TVET Malaysia Peringkat Menteri Bil 1/2018 di Cyberjaya, minggu lalu. Turut bersama Menteri Pendidikan, Datuk Seri Idris Jusoh (kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Dr Mohd Gazali Abas (kiri). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Muafakat kementerian bolehkan guna tenaga diselaras

PENGUMUMAN suatu kementerian tunggal yang menguruskan Sistem Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), iaitu Kementerian Sumber Manusia (KSM) adalah satu transformasi TVET yang dinantikan oleh khalayak dalam bidang TVET dan Fakulti Teknikal dan Vokasional Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) khususnya.

Dengan pengumuman ini dan juga hasil muafakat kesemua kementerian iaitu KSM, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Kerja Raya serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mampu mewujudkan badan penyelaras bagi mengurus dan menyelia bidang TVET di Malaysia.

Penyelarasan ini akan membolehkan keperluan guna tenaga mahir negara akan diselaraskan di bawah satu kementerian dengan kerjasama kementerian lain bagi mencapai Transformasi Nasional 2050.

Pengiktirafan kelayakan

Selama ini TVET di Malaysia seringkali menjadi rujukan kepada komuniti pendidikan antarabangsa namun kepelbagaian sistem latihan dan pengiktirafan TVET di peringkat sijil, diploma dan ijazah seringkali mengelirukan masyarakat antarabangsa, pemain industri dan penyelidik tempatan.

Setiap pihak penyedia latihan TVET masing-masing berlumba-lumba meningkatkan pengiktirafan pensijilan mereka ke tahap antarabangsa dengan dwi atau tri pengiktirafan bagi memastikan kebolehpasaran graduan mereka dan memenuhi kehendak industri.

Namun kepelbagaian pengiktirafan ini juga mewujudkan jurang kualiti kemahiran yang ada sekali gus menyebabkan seringkali isu gaji rendah oleh majikan bermain dalam pemikiran pemain TVET di Malaysia.

Graduan separa mahir dan berkemahiran tinggi mendapat gaji permulaan yang rendah dan sama seperti pekerja asing walapun kerajaan telah memberi panduan gaji kepada majikan di industri.

Dengan wujudnya penyelarasan ini diharapkan majikan mengiktiraf kelayakan dan tahap kemahiran graduan TVET dengan memberikan gaji yang sesuai dengan kemahiran mereka. Isu penyedia latihan tidak diiktiraf oleh pemberi pengiktirafan di sebabkan oleh kepelbagaian agensi.

Optimum bajet

Jika selama ini setiap kementerian berlumba-lumba menyediakan program baharu, menambah prasarana sesuai dengan keperluan revolusi industri 4.0 dan pendidikan 4.0, namun dengan penyelarasan ini keberkesanan kos dapat ditingkatkan dengan setiap institusi menjadi pusat kecemerlangan kepada bidang masing-masing.

Bajet yang dikeluarkan dapat dioptimumkan kepada setiap institusi dan tidak bersaing di antara satu dengan yang lain dalam melahirkan graduan untuk keperluan negara.

Malaysia dapat membentuk pusat latihan TVET dengan menggunakan konsep lautan biru dengan setiap institusi latihan TVET mempunyai keunikan masing-masing dan kepakaran serta teknologi terbaik. Sebagai contoh jika sebelum ini setiap institusi latihan dibawah kementerian berbeza mempunyai bengkel automotif mereka sendiri namun jika diselaraskan bajet negara yang semakin terhad akan dapat dioptimumkan kepada satu institusi latihan dan prasarana terbaik dapat disediakan.

Selama ini setiap institusi dibawah kementerian berbeza akan mengambil pelatih mengikut unjuran masing dan menyediakan program mengikut hala tuju strategik kementerian masing-masing.

Melalui penyelarasan ini KSM boleh bertindak sebagai badan penyelaras guna tenaga negara melalui penyediaan data guna sumber tenaga negara dan diterjemahkan melalui unjuran kepada setiap institusi latihan TVET supaya pengambilan pelatih boleh diunjurkan berdasarkan keperluan industri dan kemajuan negara yang pesat.

Sehubungan itu, usaha penyelarasan ini oleh KSM dan pembentukan jenama TVET Malaysia harus disokong oleh semua pihak dan melihatnya dengan positif.

Usaha ini mungkin terhadap cabaran dan isu namun jika semua pihak bekerjasama dan mengganggap ini sumbangan kita bagi membantu negara dengan izin Tuhan bukan sahaja negara tercinta dapat melahirkan tenaga kerja mahir dan berkemahiran tinggi bertaraf dunia malahan mampu untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi dan diiktiraf global.

Penulis adalah Dekan Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

35 dibaca
Berita Harian X