Sabtu, 4 November 2017 | 6:45am
TOMBIRUO meletup dengan aksi dan pertarungan hebat, sinematografi mahal dan dengan CGI yang 'gempak'. - Foto Amirudin Sahib

Filem Melayu kian hilang wajah, jiwa

ALLAHYARHAM Tan Sri P Ramlee idola saya dan idola kepada jutaan orang lain. Beliau adalah 'tanda' kepada golongan seni yang tinggalkan bakti kepada masyarakat dengan karya yang berjiwa dan bukan hanya hiburan semata mata.

Ceritanya dekat dengan jiwa masyarakat, lawaknya tembus ke hati dan sedihnya menusuk kalbu setiap orang. Tetapi, 'tanda' ini tidak diikuti pembikin ketika ini. 'Tanda' kejayaan ini hanya dibiarkan sepi. Malah, ada yang mengutuk 'tanda' ini, memperkecilkan bakat anugerah dan langsung tidak menoleh kepada 'tanda' ini sedangkan inilah yang mengharumkan dan membuatkan orang luar kenal negara kita dan menyanjung bangsa kita. Sepatutnya 'tanda' ini dijadikan aras untuk pembikin melihat apa yang dibawanya. Ciri apakah dalam karyanya yang buat penonton terpesona dan terbuai. Memang zamannya telah berlalu tetapi tak salah kalau kita sama-sama mengambil apa yang terbukti dan kita canai 'content' atau isinya mengikut zaman kita pula.

Isi dan jiwa seperti filemnya kini seakan langsung tiada lagi dalam drama dan filem kita sedangkan televisyen dan filem harus meninggalkan impak kuat kepada masyarakat. Penceritaan yang ku-at yang boleh jadi bahan rujukan penonton harus ditekankan. Biar orang datang menonton sebab mahukan apa yang filem itu dapat sampaikan ke hati mereka bukan hanya lawak dan tawa semata-mata. Filem adalah medium yang boleh jadi ubat kepada masyarakat kita.

Tetapi, isi dan penceritaan yang seperti ini amat jarang ditemui. Adakah ini menjadi punca hanya segelintir filem sahaja laku di pasa-ran? Isi filem kita semakin lemah? Penceritaan kita terlalu jauh daripada kotak pemikiran? Dahulu filem P Ramlee boleh dijunjung ke pentas antarabangsa dan dibanggakan tetapi filem kita kini semakin payah dilihat memenangi anugerah besar seperti filem terbaik. Kenapa?

Drama Korea, Indonesia, Thailand dan Filipina terus membanjiri slot di stesen kita. Drama ini dapat rating tinggi menunjukkan penonton kita amat meminati. Kenapa agaknya penonton kita terlalu taksub dengan drama ini? Mungkin terpesona dengan pelakonnya atau mungkin termakan isi penceritaannya? Mana satu? Hero dan heroin kita juga tak ada kurangnya tetapi hanya beberapa kerat sahaja drama dapat rating yang tinggi. Adakah ini juga kerana pelakonnya yang 'top' ataupun isi ceritanya hebat? Apakah rating tinggi dan meletup di Twit-ter dan Instagram boleh dijadikan penanda aras bahawa drama seperti ini yang mereka mahukan dan patut produser berikan. Adakah kejayaan drama ini membawa isi cerita begitu besar isunya? Apakah ini menunjukkan kualiti dramanya? Alangkah bagus jika sebuah drama penuh dengan isi bermaruah, sekali gus mendapat rating tinggi di stesen, bukan kerana populariti pelakonnya semata-mata tetapi juga kerana isi mengagumkan yang mengangkat drama ini dan dibawakan oleh pelakon penuh isi lakonan di dada. Barulah rating tadi dapat dibanggakan.

Filem berat bimbing masyarakat

Filem Bisik Pada Langit adalah contoh filem berat dengan mesej, yang begitu kuat ceritanya mengenai kukuhnya kasih sayang adik beradik, kasih ayah pada anak harus sentiasa ada dan filem begini harus sentiasa diberi peluang untuk mengembalikan kegemilangan filem berat yang sarat mesej dan isi seperti filem Datuk Rahim Razali, Tan Sri Jins Shamsuddin, Datuk Sarimah Ahmad termasuk filem Abang, Matinya Seorang Patriot, Ranjau Sepanjang Jalan dan trilogi filem Esok.

Filem begini boleh dibanggakan dan dijadikan panduan kepada pengkarya baharu memberikan nafas dan karya yang boleh bimbing masyarakat, sekali gus mengangkat nama Malaysia di mata dunia.

Jika kita hanya dihidangkan dengan filem lawak yang kosong dan tidak ada apa-apa maka kita hanya akan dapat tawa kosong dan pulang juga kosong.

Sampai bila filem begini harus memenuhi kotak penonton filem kerana filem seperti ini tidak tahan usianya. Suatu ketika dahulu kecenderungan beberapa produser mengetengahkan filem santai dan lawak kosong laku di pasaran tetapi hanya bertahan beberapa tahun saja kerana penonton mulai bosan dengan isinya yang lemah hingga akhirnya tidak laku lagi.

Penonton harus disedarkan dan disegarkan minda supaya menonton filem berat yang boleh beri motivasi, mengangkat akhlak dan maruah diri selain boleh membendung melakukan perkara tidak baik. Paling tidak mereka terhibur tetapi dalam masa sama mereka terkesan dengan isi yang menyentuh hati dan perasaan. Filem berat begini wajib ada.

Contohnya, Indonesia yang suatu ketika dahulu hanya pemerhati dan belajar daripada pembikin kita, dulu mereka melihat dan mereka mempelajari dan kini mereka telah atasi kita bukan sahaja dari segi pembikinan tetapi juga dari segi isi amat cemerlang dan dekat dengan penonton. Isinya adalah isi hati rakyat marhaen, dekat dengan jiwa dan siapa mereka.

Tetapi, filem kita sudah semakin hilang identiti dan Melayunya. Orang mahu tonton filem penuh jiwa sesebuah bangsa dan negara itu. "Wajah dan jiwa kita sudah tiada dalam filem Melayu kini" membuatkan bukan sahaja orang luar tidak mahu menonton tetapi orang kita sendiri pun tidak mahu menonton kerana pembikin gagal menarik jiwa mereka datang menonton.

Kini Tombiruo meletup dengan aksi dan pertarungan hebat, sinematografi mahal dan dengan CGI yang 'gempak'. Adakah filem genre ini yang kita mahu untuk isi ketandusan filem kita, angkat ke mata dunia? Semua jenis filem boleh mewarnai panggung kita tetapi biarlah ada kuota, mesti diwajibkan filem membawa mesej berat, mutu lakonan yang tinggi dan yang membawa keutuhan dan keteguhan bangsa ke persada dunia dan biarlah ia filem yang 'simple' dan kecil tetapi isinya besar dan boleh diangkat ke pentas dunia tanpa rasa malu dan segan.

Ia perlukan kerjasama, terutama FINAS, FDAM (pengarah), Produser dan boleh mewujudkan badan khusus hasilkan filem sebegini walaupun dalam jumlah kecil tetapi cukup mengecutkan hati dan jiwa orang menyaksikannya. Tanpa gabungan seperti ini dan tanpa had yang dikenakan FINAS maka setiap tahun amat sukar mencari filem mendukung bangsa dan maruah negara untuk mewakili kita.

Penulis adalah sutradara

Berita Harian X