Jumaat, 20 Oktober 2017 | 10:27am
assisant pitfallsassisant pitfalls

Hasad penyakit hati bawa mudarat

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil): Sesungguhnya aku akan membunuhmu! (Habil) menjawab: Hanya Allah menerima (korban) daripada orang yang bertakwa."(Surah al-Maaidah, ayat 27)

Kisah dua anak Nabi Adam memberi gambaran sifat dengki telah wujud sejak zaman nabi lagi.

Kisah anak Nabi Adam yang didedahkan secara terbuka bertujuan memberi penjelasan keadaan yang sebenarnya berlaku disebabkan naluri dan tabiat manusia. Ibnu al-Jawzi mentakrifkan hasad ialah bercita-cita supaya hilang nikmat yang ada pada seseorang sekalipun nikmat itu tidak diperolehnya.

Tidak sepatutnya dengki Al-Quran banyak menyatakan sifat dengki golongan Yahudi sebagai satu penyakit menunjukkan

kewarasan fikiran mereka telah hilang. Apakah gunanya hasad kepada nikmat kenabian yang diberi Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW kerana nikmat serupa diberi kepada Nabi Ibrahim.

Daripada keturunan Nabi Ibrahim juga lahirnya raja dan pemimpin agung. Jika datuk nenek mereka adalah nabi, raja dan pemimpin, mengapa perlu dengki terhadap Nabi Muhammad SAW yang dibangkit menjadi nabi. Tidak sepatutnya mereka dengki kepada Nabi Muhammad SAW kerana mereka yang tidak memelihara nikmat itu dengan baik, merosakkan kepemimpinan dan tidak beriman kepada nabi yang diutuskan kepada mereka.

Sesungguhnya tabiat manusia suka menimbulkan perselisihan dan pertentangan yang akan melahirkan sifat dengki, zalim serta benci. Keadaan mereka tidak ubah seperti dua anak Nabi Adam yang berasa dengki sehingga timbul penganiayaan yang membawa kepada berlaku pembunuhan.

Al-Quran merakamkan sejarah silam bagaimana Qabil sanggup membunuh saudaranya Habil hanya kerana dengki dan cemburu. Begitu juga Nabi Yusuf dibuang ke dalam perigi buta oleh adik-beradiknya kerana dengki dan iri hati.

Perosak hidup

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa juga yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya." (Surah Ali-Imran, ayat 92)

Keinginan supaya nikmat atau kebahagiaan dimiliki seseorang lenyap sekalipun tidak berpindah kepada kita adalah perasaan dengki yang menjadi perosak dalam kehidupan. Kelakuan buruk itu mendorong kita melakukan apa sahaja untuk memuaskan nafsu yang telah mendominasi diri. Perkara itu dibimbangi Nabi Muhammad SAW yang bersabda: "Perkara yang paling aku takuti terjadi kepada umatku ialah banyaknya harta pada mereka, lalu mereka saling berdengki dan berbunuhan." (Riwayat al-Tirmizi)

Implikasi daripada hasad dan dengki boleh menyebabkan amalan baik yang dilakukan sirna tanpa sebarang nilai. Baginda Nabi Muhammad SAW diriwayatkan bersabda: "Kedengkian memakan kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar." (Riwayat Abu Daud) Cepat ubati penyakit hati Nabi Muhammad SAW mengingatkan umatnya supaya segera mengubati penyakit dengki dalam sabda Baginda: "Kamu diserang penyakit yang menimpa umat sebelum kamu, iaitu hasad dan dendam yang ibarat pisau cukur. Aku tidak katakan cukur rambut, tetapi cukur agama.

Demi Allah, diriku dalam tangan-Nya! Kamu tidak masuk syurga sehingga kamu beriman, kamu tidak beriman sehingga kamu berkasih sayang. Sukakah kamu jika aku tunjukkan jalan yang mengukuhkan kasih sayang kamu.

Sebarkan salam di antara kamu." (Riwayat Tarmizi) Amalan buruk hendaklah dijauhi kerana merosakkan hubungan silaturahim. Apa yang lebih membimbangkan, ia menyumbang kepada sifat buruk lain seperti dendam yang tidak berkesudahan dan saling berusaha untuk memburuk-burukkan serta memfitnah satu sama lain.

Berita Harian X