Khamis, 8 Ogos 2019 | 4:41pm
Keenakan semua menu yang disajikan di Meet&Dine memang sedap dan menyelerakan. - Foto Aziah Azmee

Burger daging wagyu cairan keju di Meet&Dine

Keenakan daging wagyu dengan warna kemerah-merahan dan coklat keemasan selepas dipanggang, membuatkan pencinta makanan itu berulang kali mengunjungi restoran digemari.

Di restoran Meet & Dine, di Kajang menghidangkan sajian istimewa burger wagyu dengan rasa lebih mantap.

Wagyu bermaksud baka lembu Jepun. ‘Wa’ bermaksud Jepun sementara ‘Gyu’ bermakna lembu, tetapi daging wagyu di restoran ini diimport dari Australia bagi memberi aroma serta cita rasa lebih mewah.

Daging wagyu ini terlebih dulu dicincang kasar menggunakan pisau khas sebelum digaul bersama telur serta diperap seketika bersama garam dan lada hitam untuk dijadikan patty burger.

Burger wagyu dengan cairan keju ini antara hidangan popular di sini. - Foto Aziah Azmee

Daging berkualiti

Hirisan bawang, tomato dan jeruk timun menjadi pelengkap kepada sajian burger ini. Lebih mengiurkan penggemar burger, sajian ini menggunakan dua jenis keju iaitu chedar dari England dan gouda (Belanda) bagi memberi persembahan keju cari yang menyelerakan.

Gabungan menu ini begitu sempurna apabila disertakan dengan kentang goreng dan coleslaw iaitu sayur campuran kobis dan lobak bermayonis yang mengenyangkan

Cef yang juga Pengarah Operasinya, Cef Bo, berkata burger wagyu antara daging berkualiti dan paling mahal dalam pasaran.

“Daging wagyu mempunyai lima gred (A1 hingga A5) yang diukur berdasarkan marbling iaitu corak lemaknya yang berwarna putih atau serat ototnya.

“Bagaimanapun kita menggunakan wagyu gred A4 itu tetapi rasanya juga lebih lembut berbanding daging lembu yang ada,” katanya.

'Salmon Rolls' pembuka selera. - Foto Aziah Azmee

Konsep fusion

Penyediaan patty daging burger wagyu ini mengambil masa sehingga dua jam malah kepingan daging itu dipanggang di atas api perlahan supaya tidak membunuh rasa keenakan, kemanisan dan kesegaran asli.

Restoran beroperasi sejak tahun lalu menampilkan konsep hiasan dalaman bergaya mewah ala-Australia. Hidangan yang ditawarkan berkonsep fusion.

Hidangan lain seperti lamb shank masala dinikmati bersama nasi hujan panas. Daging kambing direbus bagi memberi rasa lembut dan dikeringkan, kemudian diperap enam jam bersama rempah ratus istimewa.

Sos kuah masala dimasak bersama rempah beriani secara berasingan, sebelum dihidang bersama yogurt, timun dan papadom.

Sajian enak lain spicy corn beef (iaitu dalam kategori pasta dan me) dan salmon rolls (pembuka selera). Sajian ringkas berasaskan sayur iaitu salad balsamic soy mushroom gaya Mediteranean.

Salad segar antaranya bayam, loloroso, lobak merah, feta cheese, kacang pine, cranberries dan cendawan liar digaul bersama sos balsamic vinegar untuk rasa masam selain pelbagai kek untuk pencuci mulut.

INFO: Restoran Meet & Dine

  • Lokasi: Jalan Budiman, Budiman Business Park, Bandar Sungai Long, Kajang, Selangor
  • Waktu operasi: 11 pagi hingga 11 malam (setiap hari)
  • Harga antara: RM RM8 hingga RM88
  • Kek kurma curahan sos karamel istimewa enak dimakan dengan aiskrim perasa vanilla. - Foto Aziah Azmee

    Berita Harian X