Ahad, 19 Mei 2019 | 10:15am
Cef Rossham bersama sajian pilihan yang ditawarkan Hotel Sunway Putra Kuala Lumpur. - NSTP/Zunur Al Shafiq
Antara sajian istimewa di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur. - NSTP/Zunur Al Shafiq
- NSTP/Zunur Al Shafiq

Sajian kampung Dari Dapur Ummi

TEMA Dari Dapur Ummi yang menjadi pilihan Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur apabila mempromosikan bufet Ramadan, menjurus kepada penggunaan bahan semula jadi dan segala jenis rempah-ratusnya adalah asli, tiada kandungan bahan perasa.

Pelanggan akan teringat keenakan masakan ibu sekali gus mengembalikan nostalgia sajian kegemaran ketika dinikmati di kampung dan apabila menjelang Ramadan.

Paling istimewa ialah sajian ikan kembung asam rebus yang menjadi pilihan Cef Eksekutif, Rossham Rusli, memilih mengekalkan segala nutrisi dalam 120 sajian disediakan.

Baginya, cara masakannya ringkas, namun beliau sentiasa memastikan zat makanan dalam sajian tidak hilang begitu sahaja.

“Cara penyediaannya kira-kira jam tujuh lebih, kami mula masak jam 5 petang. Kami akan memastikan hidangan segar apabila disajikan kepada tetamu. Masukkan ikan kembung dengan air panas ke dalam kuah asam rebus dan dimasak dengan api perlahan.

“Apabila hidangan sedia dimakan, khasiat ikan kembung kekal dan sedap dinikmati bersama nasi panas,” katanya.

Menu lain yang menambat selera penulis ialah udang masak lemak dengan belimbing buluh dan bunga kantan. Hidangan menggunakan udang harimau dengan saiz sederhana besar iaitu satu kilogram sekitar 25 ekor udang.

Hidangan berkenaan adalah menu istimewa dari Negeri Sembilan.

“Kami tak tumis udang berkenaan, sebaliknya dicampur rempah basah dan santan,” katanya.

Belimbing buluh digunakan untuk memberi rasa masam kepada hidangan. Apabila ditambah bunga kantan, ia sekali gus ‘menambat’ cita rasa sajian. Dalam kalangan tukang masak, bunga kantan dianggap magis rempah-ratus.

“Selain menampilkan rasa udang yang enak, nutrisi atau zat hidangan berkenaan, tidak hilang. Rasanya berkali ganda sedap,” jelasnya.

Hidangan lain ialah paru goreng berlada merah. Paru direbus dan dihiris nipis lalu digoreng. Hidangan menggunakan banyak cili merah besar, berbanding cili kering hanya sedikit.

Cili dikisar dan dimasak bersama bawang merah serta sedikit asam limau, dimasak dengan suhu sederhana, selain nutrisi makanan dikekalkan.

Berita Harian X