Ahad, 19 Mei 2019 | 10:02am

'SHUKOOR Kembali Lagi' tarikan unik di KSGCC

SETIAP kali Ramadan, pastinya berlumba-lumba pengusaha restoran mengetengahkan juadah istimewa masing-masing sebagai tarikan kepada pengunjung.

Tidak ketinggalan Kota Seriemas Golf & Country Club (KSGCC), Nilai apabila menawarkan ‘SHUKOOR Kembali Lagi’ iaitu daging Shuwa, dengan kambing dan pelbagai daging yang dipanggang di dalam tanah dalam ketuhar Shuwa, satu gaya masakan dari Semenanjung Arab.

Kambing atau daging akan disalut dengan pelbagai ramuan rempah-ratus yang berbeza, sebelum dibalut dan dimasukkan ke dalam lubang bawah tanah yang dimasukkan bara sangat panas.

Apabila kambing atau daging yang dibalut ini diangkat keluar, terhasillah satu rasa yang istimewa, lazat di mana kesemua bahan yang dipanggang sudah bercampur baur di dalamnya, dengan satu lapisan rempah tebal yang garing terbentuk di bahagian luar daging.

Tarikan lain menu secara bufet ini BBQ Beef Rib, Brazillian Black Mussels dan ayam pasu. Ayam, daging dan makanan laut dipanggang secara berterusan, bagi memudahkan pengunjung mengambil terus makanan daripada dapur panggang.

Sudah tentu, mana-mana bufet tidak lengkap tanpa pilihan istimewa masakan kampung. Bufet ‘SHUKOOR Kembali Lagi’ KSGCC, akan menyediakan menu pilihan masakan kampung berbeza pada setiap hari seperti gulai kawah Kelantan, ayam masak merah, daging salai masak lemak cili api, rendang udang Minang, daging dendeng Perak, ayam kuzi, daging kurma, ayam mendhi, ikan patin masak lemak tempoyak dan banyak lagi.

Bercakap pasal makanan kampung, tidak ketinggalan juga disediakan pilihan kerabu dan ulam-ulaman berserta pelbagai jenis sambal seperti sambal belacan, sambal tempoyak, sambal ijo, serta sambal kelapa.

Bufet kali ini menyaksikan KSGCC memperkenalkan beberapa menu baru seperti kari kambing bakar, nasi ayam, masakan dapur Korea termasuk kimchi, bibimbap dan spicy yangnyeom-cikin, pepes ayam bakar, lidah goreng panggang dan coconut shake.

Bagi pengunjung yang suka menikmati makanan ringan terlebih dahulu, gerai-gerai KSGCC menawarkan mee rebus, roti prata dan murtabak, manakala sudut sup campur power dan makanan goreng-goreng seperti cekodok, keropok lekor dan cucur bilis pastinya mengiurkan.

Bagi pencuci mulut, pengunjung boleh merasai keenakan bubur lambuk, kuih-muih tradisional dan pelbagai manisan serta buah-buahan yang disediakan, termasuk satu menu istimewa tahun ini, iaitu durian goreng.

Pastinya menyelerakan apa melihat akan setiap makanan yang dihidangkan. Semuanya bernilai RM70 bagi dewasa, kanak-kanak (RM30) dan baucar RM58.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi Belle/Alyaa menerusi emel: belle.hamzah@pnbdevt.com & e-mel: alyaa@pnbdevt.com

Berita Harian X