Ahad, 5 Mei 2019 | 9:00am
CONTOH periuk apollo yang mempunyai rak untuk meletakkan dulang beras dan dikukus.
CONTOH periuk apollo yang mempunyai rak untuk meletakkan dulang beras dan dikukus.

Nasi kandar periuk apollo lebih lazat

PEMANDUAN hampir satu jam menuju ke restoran Nasi Kandar Apollo, terletak di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) kerana sesat dari ibu kota, tidak mengecewakan penulis sebaik dijamu hidangan istimewa nasi kandar.

Sajian popular yang berasal dari pedagang India ini sering dianggap menu berat, namun membawa kelainan dengan gaya dan cita rasa Melayu, nasi kandar Apollo ini sini tidak seberat disangka.

Tekstur nasinya ringan, gabungan pelbagai lauk di dalamnya memberi rasa enak tidak terkata. Rahsia di sebalik keenakan itu ialah teknik mengukus beras di dalam dulang menggunakan periuk khas apollo.

Pemilik restoran, Sarina Shafie, periuk berbentuk silinder, tinggi dan muncung di hujungnya, peralatan memasak yang popular dalam kalangan penduduk Kedah.

Rata-rata masyarakat kampung di negeri Utara itu kata beliau, memilih periuk apollo memasak nasi sekiranya ingin mengadakan majlis kenduri-kendara.

Periuk berkenaan mempunyai 12 rak untuk meletak dulang beras. Sekali kukus, hasilnya boleh disajikan untuk 300 orang.

“Peralatan ini tidak seperti periuk biasa yang ada kalanya nasi mudah hangus, mentah dan berkerak. Tetapi, periuk apollo menghasilkan nasi yang lembut dan tidak berderai.

“Terlebih dulu, membangkitkan aroma rasa, beras dimasukkan dengan tumisan rempah empat serangkai, kulit kayu manis, bunga lawang, cengkih, buah pelaga serta bawang. Istimewa dari warna kuning pada nasi adalah pes jagung untuk memberikan rasa lemak,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Kari pekat memikat selera

Keenakan menu ini tidak dinafikan apabila tiga jenis kuah kari pekat istimewa iaitu kari ayam, kari ikan dan kuah hitam pedas dicurah ke atas nasi tadi.

Walaupun sajian kari yang dimasak di restoran ini dipermodenkan dan tidak menggunakan santan tetapi penulis dapat rasakan aroma lauk begitu menyelerakan.

Lebih sempurna sajian nasi kandar apollo dinikmati bersama ayam goreng masala yang rangup. Berbeza sajian masala lain, ayam goreng perasa ini terasa wangi selepas diperap dengan rempah ratus istimewa termasuk jintan putih.

Bergantung kepada selera pelanggan, selain ayam masala, nasi kandar ini juga boleh dinikmati bersama lauk pauk lain antaranya daging hitam, kari kambing dan juga telur sotong.

Dibuka sejak tiga bulan lalu, Sarina berkata tagline ‘Tak sedap, hantar balik’ diguna pakai bagi menggalakkan masyarakat Melayu mencuba sajian nasi kandar.

Selain itu, bertepatan dengan lokasi yang terletak di Laman Perikanan MAEPS, antara menu lain yang ditawarkan di restoran ini ialah kari mata tuna yellow fin, iaitu sajian mata ikan diambil dari Acheh ini dijadikan bahan dalam kari.

Rakam gambar makanan

Merakam kenangan ketika menikmati sajian enak di restoran ini dengan menggunakan telefon pintar HUAWEI P30, penulis teruja dengan kualiti gambar yang dirakam.



Setiap gambar kelihatan tajam dan jelas, warna yang terpancar dari restoran nampak terang dan menyerlah malah gambar sajian yang diambil cukup membangkitkan selera.

Menariknya, walaupun Sarina duduk membelakangkan cahaya, namun gambar yang dihasilkan begitu menarik dan tidak nampak gelap.

Sambil menikmati sajian, penulis tidak melepaskan peluang merakam kenangan pemandangan indah sungai dan rumah tradisional Melayu di sekitarnya.

Selain itu, pengunjung yang datang boleh merakam kenangan dengan mengambil gambar bersama teman dan keluarga di beberapa tempat menarik yang disediakan.

Info Nasi Kandar Melayu Apollo

Lokasi: Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS)

Operasi: 10 pagi - 10 malam (setiap hari)

Harga: Antara RM7 hingga RM15

Kapasiti: Lebih 100 orang pada satu masa

Kemudahan: Surau dan tempat letak kereta

8423 dibaca
Berita Harian X