Ahad, 28 April 2019 | 12:37pm
Roti Jantan Telur Gedik.

Roti jantan gedik menu istimewa di Bukit Larut

Hujung minggu di Bukit Larut, Taiping, Perak memberi peluang pengunjung bukan sahaja beriadah, malah menikmati sajian enak selepas mendaki dan menuruni bukit sambil menikmati kesegaran alam sekitar.

Pelbagai pilihan makanan dihidangkan beberapa lot kedai di Gerai Kaki Bukit Larut, Pusat Peranginan Bukit Larut, Taiping Perak, seperti roti bakar telur goyang, mi hoon sup dan nasi lemak.

Antaranya roti bakar telur goyang istimewa, selain dua biji telur separuh masak, kacang panggang dan dua sosej. Menu istimewa dikenali sebagai Roti Jantan Telur Gedik itu ternyata lebih enak dengan curahan sos cili, kicap dan keju cair.

Menu agak berat namun sesuai dinikmati selepas penat mendaki dan menuruni laluan sejauh 13 kilometer. Seawal jam 7 pagi pengunjung sudah datang, menikmati minuman sebelum memulakan pendakian.

Pelbagai menu menarik


Mee hoon sup.

Namun, tidak semua menghabiskan laluan sejauh 13 kilometer, mengikut kemampuan masing-masing.

Seorang pengunjung Datin Rozila Saibi, berkata gerai dilihat mampu menarik perhatian kerana sajian dihidangkan agak sederhana tetapi lazat seperti hasil air tangan ibu.

Nasi lemak ringkas dengan keropok ikan, papadam dan telur mata, mi hoon sup dan sambal kicap pedas sudah cukup menyelerakan.

“Memandangkan tempat ini popular dalam kalangan penduduk setempat dan pelancong asing, wajar jika sajian ini dihidangkan sekali gus mempromosikan makanan tradisional masyarakat setempat di sini yang dikenali sebagai Bukit Maxwell,” katanya.


Nasi lemak.

411 dibaca
Berita Harian X