Ahad, 21 April 2019 | 10:32am
MOHD Akbar (dua dari kiri) bersama pihak pengurusan Hit & Eat dari kiri Cef Eksekutif Izzuan Buly’a; Ketua Pegawai Kewangan, Ali Zolfaghari dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ieman Shahi Safdar menunjukkan menu yang dihidangkan di Hit & Eat, Solaris Mont Kiara. - Foto Rosdan Wahid

Gerai karavan tarikan pelancong

Bukit Kiara terletak berhampiran pusat bandar, Kuala Lumpur bukan sahaja lokasi penempatan elit, malah menjadi tumpuan pelancong kerana dikelilingi pelbagai kemudahan, perkhidmatan dan lokasi menarik di sekitarnya.

Lokasi berkenaan juga menawarkan banyak tempat tinggal dan sarapan, hotel mahupun pangsapuri bertaraf residen yang selesa dan lengkap pelbagai infrastruktur.

Selain Bukit Kiara atau Solaris Mont Kiara menempatkan pelbagai kafeteria yang menyediakan hidangan makanan dari seluruh dunia.

Setiap individu mempunyai pilihan selera berbeza dan pastinya mencari makanan ringkas tetapi yang terbaik untuk dinikmati.

Justeru, soal promosi tempat menarik, premis makanan juga penting untuk menarik dan memberi kemudahan kepada pelancong.

Penampilan gaya baharu

Lantas, penyediaan makanan yang dijual menggunakan karavan menjadi trend bagi memudahkan orang ramai mendapatkan pelbagai makanan dengan mudah. Kaedah sama diperkenalkan di kawasan Solaris Duta, yang mengambil inspirasi dari negara Eropah.

Pengarah Urusan Hit & Eat, Mohd Akbar Yasin, yang menyediakan konsep itu berkata, karavan adalah amalan gaya hidup dalam kalangan pelancong dan generasi sekarang yang mementingkan kualiti masa.

Katanya, karavan adalah gerai kekal yang biasanya ditempatkan di tengah-tengah bandar raya menjadi lokasi tumpuan ramai, termasuk pelancong. Berbeza gerai trak makanan, karavan tidak menggunakan enjin kenderaan untuk menyediakan makanan membuktikan kebersihannya lebih terjamin dan bersih.

“Badan karavan biasanya dihiasi dengan pelbagai hiasan mengikut konsep dan persekitarannya perlu bersih semua sudut supaya menjadi tarikan pengunjung yang mementingkan kualiti. Konsep yang mula diperkenalkan di negara Eropah sejak bertahun dulu adalah amalan gaya hidup bagi kerjaya profesional, termasuk pelancong yang mementingkan masa.

Jimatkan masa

“Mereka tidak perlu membazirkan masa sekiranya menjamu selera di restoran atau kafe, berbanding di karavan hanya tiga hingga lima minit. Konsep yang sangat efektif dan menyediakan makanan panas yang disediakan cef di hadapan mata dalam tempoh singkat, namun mengekalkan kualiti rasa.,” katanya memperkenalkan konsep itu sejak Februari lalu.

Akhbar berkata, pihaknya mendapat kerjasama baik dengan pihak berkuasa tempatan yang menyediakan lokasi strategik menempatkan karavan di tengah ibu kota sebagai kemudahan kepada pelancong untuk menikmati makanan.

“Sehingga ini, ada empat lokasi di Kuala Lumpur, manakala 11 lokasi lagi akan menyusul dalam masa terdekat. Kami menyasarkan 51 lokasi membabitkan 40 di Kuala Lumpur, tiga di Johor Bahru dan tiga di Pulau Pinang sepanjang tahun ini.

Memandangkan konsep yang pertama diperkenalkan di negara ini dan dikhabarkan pertama di ASEAN, dari aspek pelancongan ia sangat membantu kehadiran pelancong yang bertandang ke sini, justeru kerjasama yang baik sangat diperlukan daripada pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Antara lokasi terkini seperti di Lot 10, KLCC, Sogo/Dang Wangi, One Utama Damansara, Putrajaya, Jalan Telawi dan Kerinchi.

Info

Jualan Karavan

* 4 lokasi strategik di Kuala Lumpur

* Solaris Mont Kiara, Jalan Changkat, One Seri Petaling dan Taman Mutiara Cheras.

* Beroperasi selama 22 jam setiap hari (7 pagi - 5 pagi)

* Menghimpunkan lebih 100 menu tempatan dan Barat.

* Harga dari RM5 hingga RM25.

205 dibaca
Berita Harian X