Jumaat, 19 April 2019 | 11:38am
Rajali menunjukkan hidangan pisang Ketuk Sabah atau Sanggar Pappek yang akan disediakan sempena menyambut Ramadan. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Rajali (dua dari kiri) menunjukkan hidangan nasi ulam kampung. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Pisang ketuk pembuka selera

KOTA BHARU: Pisang Ketuk Sabah atau Sanggar Pappek adalah sajian tradisi Bugis dan sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat di Sabah.

Idea untuk menyediakan Pisang Ketuk Sabah dicetuskan seorang tukang masak di sebuah hotel yang berasal dari Sabah, Rajali Punong.

Rajali berkata, bagi menghasilkan hidangan ini, pisang muda seperti pisang abu atau pisang batu adalah menu utama yang diperlukan untuk membuat pisang ketuk.

“Pisang muda dipilih kerana tidak mahu pisang yang akan diketuk menjadi hancur dan dalam masa sama untuk memastikan bahagian isinya benar-benar masak apabila digoreng.

“Sebelum itu, pisang muda perlu dikupas dan direndam dalam larutan air garam sekurang-kurangnya 15 minit supaya garam meresap ke dalam pisang dan mempunyai rasa lemak masin,” katanya.

Menurutnya, hidangan itu disediakan di sebuah hotel di bandar ini untuk berbuka puasa sempena Ramadan pada bulan hadapan.

Katanya, hidangan pisang ketuk itu juga dimakan bersama sambal pedas yang disediakan.

“Antara menu yang diperlukan untuk membuat sambal adalah udang kering, belacan, gula melaka, lada kering, bawang putih, bawang Holland dan kesemua bahan ini dikisar serta ditumis di atas api perlahan,” katanya.

Katanya, hidangan yang disediakan itu adalah menu pertama kali yang dihidangkan dalam sajian berbuka puasa.

442 dibaca
Berita Harian X