Khamis, 18 April 2019 | 5:18pm
ETAK salai dimakan dengan nasi kerabu atau laksam Kelantan mengikut budaya masyarakat sebelum era 90an. - Foto Nor Amalina Alias

Etak perisa 'cheese'

BACHOK: Jika sebelum ini, etak salai tradisional hanya bersalutkan rempah, kini makanan eksotik itu mengalami evolusi dengan pelbagai perasa seperti BBQ, tomyam, paprika dan ‘cheese’ (keju).

Keunikan itu dicetuskan oleh penjual etak, Nor Atikah Zakaria, 25 yang menjualnya di Bukit Bunga, Jeli, sejak Oktober tahun lalu.

Atikah berkata, idea itu diilhamkan suaminya, Mohd Rejab Zamri, 28, sehingga jualan etaknya habis terjual 10 kilogram setiap hari.

“Saya cuba perasa baharu sebab nak etak saya lain daripada yang lain dan sambutan diterima sangat luar biasa.

“Cara saya masak etak sama saja, saya basuh bersih, salai atas api dan kemudian salut etak dengan perasa pilihan termasuk serbuk keju yang dijual RM3 sebungkus,” katanya ketika ditemui dalam Karnival Etak Salai Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok, di sini, hari ini.

Di karnival itu, lebih 100 kilogram etak dengan lapan perasa dipamer dan diagihkan kepada orang ramai membabitkan pengusaha etak daripada 14 kampung di negeri ini.


PENJUAL etak, Nor Atikah Zakaria. - Foto Nor Amalina Alias

Pengunjung, Suhaimi Mamat, 59, pula berkongsi keunikan cara menikmati etak salai yang dimakan dengan nasi kerabu atau laksam Kelantan mengikut budaya masyarakat sebelum era 90an.

“Cara makannya, suap nasi dan gigit etak sebagai lauk, memang begitulah cara orang zaman dahulu menikmati hasil laut ini selain di salai dengan rempah, bawang putih, halia, serai, halba dan garam.

“Walaupun sekarang etak dijual dengan pelbagai perasa, saya masih suka rasa asli etak salai,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UMK, Prof Dr Noor Azizi Ismail, berkata, UMK kini ke arah mewartakan etak salai sebagai makanan tradisi berasal dari Kelantan dan warisan dunia melalui pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu UNESCO.

“Berdasarkan kajian, antara masalah yang dihadapi adalah etak semakin pupus

“Antara inisiatif UMK adalah mengambil spesimen dan menjalankan kajian untuk menternak benih etak secara makmal, membantu memastikan etak tahan lebih lama melalui pembungkusan industri dan kaedah masakan yang lebih selamat daripada bakteria,” katanya.


PENGUNJUNG mencuba etak di Karnival Etak Salai Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok, hari ini. - Foto Nor Amalina Alias

1760 dibaca
Berita Harian X