Rabu, 17 April 2019 | 10:38am
Durini menunjukkan hidangan Nasi Kerabu Tuo (kanan) dan Nasi Khosari. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Nasi Kerabu Tuo hasil ramuan 7 campuran tumbuhan

KOTA BHARU: Campuran tujuh jenis daun dan ulam yang ditanak bersama beras menghasilkan nasi kerabu unik terutama warna dan rasanya.

Tujuh tumbuhan itu adalah daun ulam raja, selom, kesum, serai kayu, kunyit, limau purut serta mentimun dihiris halus sebelum dicampurkan ke dalam adunan beras untuk menghasilkan Nasi Kerabu Tuo (tua).

Lazimnya, warna biru untuk nasi kerabu terhasil daripada perahan air bunga telang. Namun ramuan daripada tujuh tumbuhan itu menghasilkan warna biru seakan hijau dengan bau serta rasa yang berbeza malah lebih enak.

Idea untuk menghasilkan Nasi Kerabu Tuo dicetuskan seorang tukang masak di sebuah hotel di sini, Durini Abdullah.

Durini berkata ramuan itu adalah resepi dahulu kala yang menggunakan banyak daun dan ulam sebagai asas dalam masakan.

Katanya, ia dinamakan sedemikian bagi mengingati resepi asal yang dihasilkan oleh orang tua zaman dulu.

“Nasi Kerabu Tuo yang saya hasilkan ini hanya berbeza dari segi nasinya saja kerana menggunakan ramuan istimewa berasal daripada orang zaman dulu.

“Dari segi lauk pauknya pula seperti biasa iaitu dimakan bersama daging bakar, telur masin, ikan celup tepung, bawang jeruk, kerabu, sambal tumis dan tidak ketinggalan budu sebagai bahan paling penting,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, hidangan ini disediakan di sebuah hotel di bandar ini untuk berbuka puasa sempena Ramadan pada bulan hadapan.

“Hidangan ini antara yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pengunjung di hotel untuk berbuka puasa

“Ramai pengunjung memberi maklum balas positif kerana mempunyai rasa berbeza dengan nasi kerabu biasa,” katanya.

647 dibaca
Berita Harian X