Ahad, 14 April 2019 | 10:00am
ANTARA menu masakan yang terdapat di Restoran Stesyen Wakaf Bharu. - Foto Mahzir Mat Isa

Ikan bekok pembuka selera

Ikan masin makan dengan nasi panas, memang ‘padu’ dan menambahkan selera. Bayangkan penulis begitu berselera menikmati ikan bekok yang terdiri daripada ikan gelama dengan nasi panas semata-mata hingga tidak mempedulikan lauk-pauk lain di depan mata.

Jika nasi ditambah dengan kicap lemak masin, keenakannya sukar diucap dengan kata-kata. Begitulah penangan ikan bekok yang begitu popular dalam kalangan penduduk Kelantan terutamanya di Tumpat.

Ikan bekok atau sebutan sebenarnya bengkak rasanya seperti ikan masin, tetapi ia bukan ikan masin kerana tidak dijemur lama di tengah panas. Apabila dijemur berhari-hari, baru ia menjadi ikan masin.

Rasa istimewa

Selain ikan bekok gelama, ikan bekok cencaru juga menampilkan rasa yang begitu istimewa. Kedua-dua jenis ikan ini yang direndam dengan air garam, akan dijemur atau dikeringkan selama dua hari sahaja, tidak perlu berhari-hari berada di bawah terik mata hari seperti penghasilan ikan masin.

Justeru, sekiranya anda ingin menikmati ikan bekok dan merasai cita rasa masakan Kelantan yang sebenar, berkunjung sahaja ke Restoran Stesyen Wakaf Bharu, B-11-G, Street Mall, Jalan Gerbang Wawasan 1, Bangi Gateway 2, Seksyen 15, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Penulis yakin kunjungan anda pasti berbaloi terutama mereka yang menggemari masakan Kelantan.

Wajib cuba

Premis makanan yang dibuka setiap hari , kecuali Isnin ini dimiliki Ahmad Mardzuqi Mokhtar, 51, dan berasal dari Wakaf Baru Kelantan. Kerjaya sepenuh masa beliau adalah peguam, namun pada masa sama mengusahakan perniagaan makanan apabila dibantu dua adik perempuannya yang bertindak sebagai tukang masak utama.

Semua menu Kelantan yang disajikan di restoran berkenaan adalah resipi istimewa daripada ibu mereka, Halijah Abu Bakar, 71.


PENGUNJUNG menikmati masakan yang terdapat di Restoran Stesyen Wakaf Bharu. - Foto Mahzir Mat Isa

“Balik dari sekolah, mak siapkan hidangan makan tengah hari, sungguh enak sajiannya terutama hidangan tradisional Kelantan seperti ikan bekok. Hari ini saya nak orang ramai merasai hidangan seperti mak buat dahulu, lalu membuka restoran ini.

“Salah satu menu istimewa dinamakan nasi ikan bekok dan sayur lemak,” katanya.

Di sini, anda juga wajib mencuba nasi kerabu kambing bakar, isi kambing diperap semalaman dan dibakar dengan ramuan resipi ibunya. Sebenarnya resipi yang ditampilkan lebih kurang sama dengan orang lain, tetapi mungkin kami tidak berkira soal rempah-ratus kerana yang penting orang makan mesti puas hati.

Justeru, anda perlu rasa set nasi lemak daging istimewa, selain sambal ikan bilis, tambahan sambal daging menampilkan rasa yang luar biasa. Penggemar hidangan Kelantan di sekitar Lembah Klang boleh berkunjung ke restoran ini tanpa perlu ke negeri Cik Wan Kembang.

FAKTA NOMBOR

* RM10

harga nasi kerabu kambing bakar

* 30 ekor

ikan bekok terjual sehari

INFO

-------

Stesyen Wakaf Bharu

* Asal sebuah Stesen kereta api Wakaf Bharu terletak di Wakaf Bharu, Kelantan

* Ikan bekok bermaksud bengkak apabila ikan berkenaan tidak dijemur lama

* Jika dijemur lama ia menjadi ikan masin

* Premis: Bangi Gateway 2, Seksyen 15, Bandar Baru Bangi, Selangor

400 dibaca
Berita Harian X