Ahad, 7 April 2019 | 10:00am
SEBAHAGIAN menu yang terdapat di restoran Singgang Budu di Tasik Kenyir, Terengganu. - Foto Aswadi Alias.

Singgang budu menu popular di Terengganu

IKAN atau sotong masak singgang dengan gulai jernih dan aroma dicampur rebusan air bersama beberapa ramuan wajib, iaitu kunyit hidup, halia, bawang putih dan lengkuas ternyata membangkitkan selera.

Menu ini diperkenalkan berkurun oleh masyarakat Terengganu khususnya petani dan nelayan yang menjadikan singgang ikan sebagai bekalan makan tengah hari ke tempat kerja.

Keistimewaan sajiannya turut disenaraikan antara hidangan tradisi di negeri itu.

Bagi mereka yang berkunjung ke Kuala Terengganu, sajian singgang istimewa boleh dinikmati di Restoran Singgang Budu, di Jalan Air Jernih.


RESTORAN Singgang Budu di Tasik Kenyir, Terengganu. - Foto Aswadi Alias.

Penulis yang menyertai program Ekspresi Media Kenyir 2019 anjuran Tourism Malaysia dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, baru-baru ini sempat singgah menikmati keenakan masakan itu.

Walaupun terdedah dengan panas terik mencecah hampir 33 darjah celsius ketika merentasi Kampung Cina dan Pasar Payang, sajian singgang ikan yang dinikmati bersama nasi putih panas memang menyelerakan.

Gabungan menarik sajian singgang apabila disajikan bersama hidangan lain, iaitu ikan bakar kosong yang dicicah bersama budu.

Rasanya memukau deria rasa. Budu diperbuat daripada ikan bilis atau udang kering, enak dimakan bersama cili, limau nipis berserta bawang hiris.

Budu yang juga salah satu produk popular keluaran Pantai Timur itu dan dikatakan bagus untuk buang toksik dalam badan serta mengembalikan tenaga. Budu tidak sesuai bagi pesakit gaut.

Menurut pembantu restoran Singgang Budu, Ruzaizie Fitri, masyarakat tempatan tidak pernah bosan menikmati makanan itu, malah setiap seisi keluarga di Terengganu akan menyajikan ikan singgang setiap hari.

Ruzaizie berkata, memandangkan masyarakat Terengganu bersifat ‘sempoi’ penduduk di sini tidak memerlukan lauk-pauk yang banyak dan penuh di atas meja.

“Sajian singgang ikan saja sudah cukup membuka selera,” katanya.

Selain singgang ikan, restoran ini turut menyediakan singgang sotong, singgang daging putih dan singgang ayer.

Di sini juga lebih ada 30 jenis lauk-pauk panas seperti sayur masak lemak putih, gulai ayam kampung, ikan goreng, gulai telur itik, daging kerutuk, ayam cili api dan kacang panjang goreng petola.

Beliau berkata, bukan saja penduduk tempatan gemarkan sajian singgang, malah pelancong asing tidak akan melepaskan peluang menikmati menu sana sambil menikmati suasana alakampung.

Dekorasi ringkas kedai ini boleh memuatkan sehingga 100 orang pada masa sama.

INFO: Singgang Budu

* Lokasi: Jalan Air Jernih, Kuala Terengganu
* Harga antara RM8 untuk semangkuk singgang ikan yang boleh dimakan dua orang
* Dibuka setiap hari

Berita Harian X