Ahad, 17 Februari 2019 | 10:01am
Hakim Azhar menunjukkan sebahagian daripada menu Gaucho Argentina Steakhouse, di Subang Jaya. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Stik ringkas ala koboi pikat selera warga kota

SESUAI konsep masakan ala-ala koboi, sajian ringkas ini tetap membangkitkan selera. Menikmati keenakan sajian daging stik panggang di dalam restoran serba ringkas dengan dendangan muzik tango Argentina, seolah-olah anda berada di negara Latin Amerika.

Sajian stik istimewa di Restoran Gaucho Argentina Steakhouse, di Subang Jaya dinikmati dalam suasana santai, hiasan dalaman minimalis persis kedai makan koboi.

Pilihan makanan laut disediakan bagi membangkitkan selera sajian makan malam. Menu paling popular iaitu daging lembu, menggunakan bahagian ‘ribeye’.

Daging diimport dari New Zealand dipanggang separa atau ‘medium well’ bagi memberi rasa jus daging segar. Stik lembut bersama lemak daging menambah aroma dengan curahan kuah sos mentega lada hitam resipi istimewa.

Aroma stik koboi

Selain stik, penggemar hidangan antarabangsa boleh menikmati Gaucho BBQ Ribs iaitu rusuk lembu dipanggang berperasa barbeku selain Crispy Lamb Ribs (rusuk kambing). Kedua-dua menu itu mempunyai aroma dan rasa unik tersendiri.

Pemilik restoran, Hakim Azhar Mohd Johar, berkata selepas kali pertama melancong ke Argentina beberapa tahun lalu, beliau jatuh cinta dengan keunikan sajian makanan masyarakat koboi di situ, lebih dikenali sebagai Gaucho.

“Sejarah membuktikan masyarakat koboi atau Gaucho di benua Amerika Selatan, adalah bangsa makan daging terbanyak di dunia. Mereka suka makan daging lembu dengan hanya memanggang secara ringkas.

“Saya mengekalkan cara penyediaan stik asli mengikut secara tradisional mereka iaitu dengan hanya memanggang bersama lada hitam dan garam tanpa sebarang ramuan tambahan.

“Pilihan daging lembu biasa, iaitu bahagian ribeye sahaja,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Selain daging, rusuk lembu dan kambing, restoran ini juga menawarkan sajian makanan laut gaya barbeku. Antaranya udang galah panggang termasuk sajian popular lain iaitu Chilli Crab atau ketam masak cili.

Sebahagian daripada menu Gaucho Argentina Steakhouse, di Subang Jaya. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Status restoran halal

Isi ketam mudah dimakan kerana bahagian badan sudah dipecahkan terlebih dulu. Kaya dengan kuah cili istimewa dan rasa pedas, manis ketam dan sedap dinikmati bersama roti mentega bawang putih.

Antara menu istimewa lain ditawarkan ialah ayam panggang garing, kepingan ikan salmon, dan menu sampingan sup isi ketam. Setiap sajian dilengkapi menu tambahan iaitu kacang panggang, kentang bakar dan sosej.

Hakim Azhar berkata, walaupun bahan mentah kebanyakan diimport seperti daging lembu dan kambing dari New Zealand, udang galah (India) dan ketam (Indonesia) dengan harga berpatutan.

“Tiada menu sarat disediakan bagi memudahkan pelanggan membuat pilihan dan mengekalkan kualiti rasa. Pelanggan Islam tidak perlu was-was kerana tidak menjual minuman keras dan berstatus halal,” katanya.

Ruang restoran agak terhad, hanya muat 20 orang pada satu masa, selain mahu menampilkan konsep lebih peribadi sesuai untuk keluarga dan pasangan yang ingin mengadakan majlis keraian seperti menyambut ulang tahun kelahiran. Restoran itu menyediakan 11 menu pada harga lebih murah.

INFO: Gaucho Argentina Steakhouse

• 20 orang kapasiti pelanggan pada satu masa

• Konsep dalaman ringkas

• Menggunakan mesin jahit pada kaki meja menampak unik

• Waktu operasi : Jam 5 petang - 12 tengah malam

• Harga: Antara RM15 - RM70

Berita Harian X