Jumaat, 8 Februari 2019 | 6:15pm
ANTARA menu di Restoran Gajah Mada, di pusat beli-belah Mytown, Cheras. - Foto Saifullizan Tamadi

Cita rasa menu Nusantara

Oleh Hidayah Mohammad

hid_mohd@bh.com.my

Keenakannya tidak terkata. Pelbagai rasa masam, manis, masin, pahit, berlemak dan pedas memukau, semua cita rasa itu dinikmati ketika menjamu selera di Restoran Gajah Mada.

Uniknya, restoran terletak di pusat beli-belah MyTown, Cheras, Kuala Lumpur itu menampilkan cita rasa memukau dari empat negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam di bawah satu bumbung.

Mudah kerana pelanggan tidak lagi perlu berkunjung ke restoran berlainan bagi memenuhi cita rasa yang pelbagai.

Mewakili masakan negara Gajah Perang yang paling digemari penulis ialah menu daging kari hijau.

Sajian berkuah santan asli memukau selera apabila dinikmatinya bersama nasi putih hingga terasa aroma rempah kari dan tumisan bawang serta cili padi.

Tom yam putih berlemak atau tom kha gai juga enak.

Sajian Indonesia popular, ayam cabe ijo, gulai kari ayam padang, rendang daging dan ikan goreng talapia memikat selera.

Ayam cabe ijo direbus terlebih dulu disaji bersama sambal cili hijau membangkitkan rasa pedas hingga ke telinga.

SUP istimewa, di Restoran Gajah Mada - Foto Saifullizan Tamadi

Sajian lauk kering paling digemari ramai ialah Majapahit Mini Flying Fish iaitu ikan talapia yang dipotong cantik sebelum digoreng rangup, selain rendang daging Padang lembut serta tidak liat harus dicuba.

Menu Premium Signature Plates pula, antaranya nasi goreng kampung dihidang bersama telur mata sebagai pelengkap selera hidangan tempatan.

Resipi Majapahit mini flying fish, nasi putih disajikan bersama sambal udang jawa bersama petai segar dan sambal kering tempe, cucur jagung, kerupuk emping, sup kosong dan sambal kicap, pasti digemari pada mereka yang suka cita rasa masakan dari Indonesia.

Penggemar cita rasa sajian Vietnam pula boleh memilih sajian ‘ki sab kab khaw sd’ atau nasi goreng yang disajikan bersama ayam cop, spring roll dan pomelo salad.

Menampilkan 50 menu termasuk pisang goreng disalut keju dan coklat sebagai pencuci mulut, selain pelbagai jenis minuman.

Pegawai eksekutif pemasarannya, Nur Farah Aini Mohd Noor, kesemua hidangan adalah inspirasi dari Restoran The Majapahit yang dibuka syarikat The GreatFUN Lifestyle di Mont Kiara sejak tujuh tahun lalu.

NUR Farah Aini bersama hidangan ditawarkan di restoran Gajah Mada. - Foto Saifullizan Tamadi

“Berkonsep eksklusif atau ‘fine-dining’ khusus untuk pelanggan yang mementingkan gaya mewah, Gajah Mada pula bersifat santai bagi memberi peluang kepada masyarakat menikmati santapan ‘ala di raja’ pada harga lebih berpatutan.

INFO:

Gajah Mada

* Lokasi tingkat bawah, MyTown Shopping Centre

* Operasi setiap hari

* Dibuka 10 pagi - 10 malam

Berita Harian X