Rabu, 23 Januari 2019 | 10:31am
HIDANGAN siput sedut yang terdapat di restorang Izi Stesen. - Foto Rosela Ismail

Siput cairan keju resipi hebat sajian eksotik

Lazimnya dipanggil siput sedut namun ada juga menggelarkan spesies ini belitung, antara sajian istimewa yang begitu digemari.

Bagi penggemar siput air tawar, sedutan mengeluarkan isi di dalamnya, sudah cukup memberi kenikmatan sajian enak.

Rasa manis, sedikit pahit dan lemak, dipalit rasa masam lemon, membuatkan siput sedut diadun dengan bancuhan keju sudah cukup membangkit selera.

Menu yang hanya terdapat di restoran Izi Stesen, di Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor menggamit kehadiran pengunjung sekitar Lembah Klang.

Lebih menyelerakan, menu istimewa ini memiliki selera tempatan kerana pedas hasil taburan halus cili padi serta memiliki aroma daun kari.

Resipi istimewa dilimpahi kepingan dan cairan keju dibakar dan kaedah masakan tersendiri daripada cef dapur sememangnya menjanjikan kepuasan ketika menikmati sajian.

Biarpun kaedah penyediaannya agak rumit kerana setiap hujung cengkerangnya perlu dipotong satu persatu hasilnya begitu menakjubkan.

Siput sedut perlu direbus terlebih dulu, selepas dimasak dengan mentega, susu, ditabur keju dan dibakar bersama serbuk cili.


Nur Syairah Zainal Abidin dan suami, Mohd Izzudin Samsudin bergambar bersama hidangan yang terdapat di Izi Stesen. - Foto Rosela Ismail

Cipta resipi berbeza

Pemiliknya, Nur Syairah Zainal Abidin, berkata beliau mendapat ilham membuat menu menarik berkenaan kerana mahukan kelainan selain memberi peluang pelanggan tempatan berpendapatan sederhana merasai hidangan itu.

“Menu inspirasi daripada sajian mewah, sesiapa yang pernah makan siput dari Barat seperti escargot masak keju mesti tahu harga sepinggan hidangan ini.

“Harganya sangat mahal dinikmati jadi saya cari bahan lain yang boleh menggantikan siput itu dan terfikir untuk menggunakan siput sedut lebih murah kos dan cipta resipi guna keju. Kiranya, ini selera barat dan tempatan diadun dalam satu rasa istimewa.

“Walaupun sukar mendapatkan siput, itu bukan halangan menyediakan menu ini. Saya ambil 30 kilogram untuk stok kerana siput sedut bermusim,” katanya yang mendapat bekalan daripada pemborong di Kuala Selangor.

Beliau yang dibantu suami, Mohd Izzudin Samsudin, 32, berkata sepinggan siput sedut berharga RM19 dan lebih sesuai diratah begitu saja, selain menyediakan hidangan ‘shell food’ asam pedas pertama di negara ini.

Hidangan “shell food” asam pedas berharga RM35 untuk dua orang atau RM60 untuk set nasi untuk tiga hingga empat orang sangat berbaloi.

Menu lain antaranya asam pedas, mentega susu dan lada hitam boleh dinikmati dengan pilihan nasi dan pasta, selain kerang bakar, “baby crab” dan brokoli goreng.

INFO

Izi Stesen

No. 3,4,5, Gerai MBSA, Jalan Kuala Selangor/Sungai Buloh, Selangor

* Lebih 30 kg siput sedut tempatan dimasak

* Habitat siput sedut ini boleh ditemui di paya bakau.

977 dibaca
Berita Harian X