Ahad, 6 Januari 2019 | 12:03pm
Sup gearbox kambing, gabungan 30 herba istimewa - Foto- Osman Lisut
Mohd Affendi dan isteri Vivi Hartini, tawar sajian sup resipi istimewa. Foto - Osman Lisut

Sup gearbox tradisi Melayu-Mamak pembuka selera

Sup pastinya memikat selera semua, tidak kira apa pilihan sekali pun, daripada ayam, daging lembu, pilihan sayur-sayuran cendawan mahupun jagung.

Sajian pertama ini pastinya membangkitkan selera untuk menikmati hidangan seterusnya bagi melengkapkan sesuatu sajian.

Malah ramai yang menikmati sajian ini sebagai pembuka selera terutama bagi mereka yang tidak sihat badan, lesu dan kurang bertenaga.

Pilihan sup gearbox adalah yang terbaik, nikmati Sup Gearbox Kambing Abang Atan, pastinya badan terasa panas dan peluh mula membasahi muka. Penangan gerai sup yang terletak di Kota Damansara berhadapan dengan Uptown Damansara, di Petaling Jaya, Selangor.

Sajian diadun bersama hampir 30 herba tradisional diakui ramai pelanggan yang berulang-alik menikmatinya di sini.

Pengusahanya, Mohd Affendi Wan Teh, berkata resipi istimewa dihasilkan sendiri itu mengambil inspirasi bahan sup tradisional Melayu dan dicampur bahan sup tradisional Mamak.

Katanya, dalam penghasilan satu-satunya menu yang ada di gerai ini untuk memberi kepuasan kepada penggemar sup terutamanya dari bahan asasnya kambing.

“Saya sanggup mengeluarkan modal tambahan menyediakan apa saja herba yang berkhasiat sebagai ramuan istimewa sup supaya pelanggan menikmatinya merasa berbaloi dan puas.

“Saya mahu apa saja yang masuk ke dalam badan melalui makanan meninggalkan khasiat bukan sekadar kenyang. Malah saya meyakini keenakan daging kambing terutama pada bahagian rusuk kerana diambil daripada pembekal daging segar.

“Bahan asas itu kemudian dimasak selama tiga jam untuk mendapatkan daging yang empuk,” katanya yang sudah mula meminati perniagaan makanan sejak 1993 lagi,” katanya.

Sup tulang, daging segar

Perniagaan Mohd Affendi yang dibantu isterinya, Vivi Hartini Nordin, 43, baharu saja bermula enam bulan lalu, namun kerana banyak permintaan, mereka kini sudah memiliki dua cawangan iaitu di di The Food Bank, The Strand Mall, Kota Damansara.

“Sebelum ini saya bertugas sebagai jurutera hingga kini dan masih bertugas, namun kerana kecintaan terhadap dunia masakan sejak kecil menjadi semangat melebarkan usaha menyajikan sajian terbaik kepada pelanggan.

“Kepuasan bagi kami apabila pelanggan yang pernah menikmati sup gearbox kambing ini akan datang semula dan membawa keluarga atau kawan-kawan.

“Memandangkan hanya satu menu saja iaitu Sup Gearbox Kambing yang dimakan bersama roti atau nasi, kami mampu menghabiskan sehingga 100 kilogram seminggu bersamaan 80 mangkuk dalam tempoh itu. Jumlah itu sudah cukup memadai bagi kami,” katanya.

Info

* Sup Gearbox Kambing Abg Atan berurus niaga di bawah Restoran Tahu Bakar@ Station.

* Beroperasi setiap hari Isnin hingga Ahad dari jam 5.30 petang hingga 12.30 tengah malam.

* Menu dijual dalam tiga pakej set bermula RM12 hingga RM20.

298 dibaca
Berita Harian X