Jumaat, 28 Disember 2018 | 4:27pm
Pemilik Bold Lab Cafe, Gan Ju Qi menunjukkan burger budu yang dijual di kafenya dengan harga RM20 sebiji. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Burger budu, burger budu

KOTA BHARU: Budu lazimnya dinikmati bersama ulam dan nasi bagi penduduk Kelantan serta Pantai Timur, namun kini ia dipelbagaikan apabila dijadikan sos untuk dimakan bersama burger.

Burger budu kedengaran agak pelik, namun makanan itu dianggap unik apabila budu dijadikan sebagai sos dan turut digaul bersama daging.

Pemilik Bold Lab Cafe, Gan Ju Qi, 33, berkata menu burger budu dicipta sendiri sejak dua tahun lalu kerana mahu makanan tradisi itu dipelbagaikan.

Katanya, burger budu mendapat sambutan dalam kalangan pelanggan kerana rasanya yang sedikit masin yang dimakan bersama ulam raja.

“Burger budu ini dijual dengan harga RM20 sebiji dan setakat ini semua pelanggan yang menikmati makanan ini berpuas hati dengan menu berkenaan.

“Orang luar mungkin pelik dengan menu ini, tapi bagi penggemar budu mereka menyukai makanan ini.

“Saya mahu menu ini dapat diperluaskan dan dikenali pelanggan bukan sahaja dari Kelantan, malah pengunjung luar,” katanya ketika ditemui di kafenya di Jalan Cherang, di sini.

Menurutnya, kafe dibuka setiap hari dari jam 11 pagi hingga 11 malam.

Katanya, kepada pengunjung yang mahu menikmati menu unik itu boleh mencubanya.

1985 dibaca
Berita Harian X