Ahad, 4 November 2018 | 3:53pm
NASI Dagang Kak Ros, jadi tumpuan pengunjung di Kuala Terengganu.

Nasi dagang, teh ais ombak rindu menu sarapan tradisional Terengganu

Keadaan warung nasi dagang di tepi jalan itu kelihatan agak uzur, ditambah dengan pemandangan pokok rimbun berusia puluhan tahun bersebelahannya, tiada siapa menyangka di situlah letaknya premis makanan tradisional Terengganu dianggap lazat.

Penangan warung Kak Ros Nasi Dagang di Kuala Terengganu mengundang ratusan pengunjung seawal jam 6.30 pagi kerana tidak mahu melepaskan peluang menikmati hidangan berkenaan.

Walaupun mereka terpaksa berbaris panjang untuk menikmati nasi itu bersama ikan tongkol dan sebiji telur rebus.

Bagi mereka yang datang dari luar Kuala Terengganu, pelawaan jom sarapan di warung Kak Ros Nasi Dagang boleh membuatkan anda terpinga-pinga.

Mungkin tidak pernah mendengar nama warung berkenaan disebut sekalipun oleh penduduk tempatan.

Pelanggan beratur 6.30 pagi

Apabila menyebut warung Nasi Dagang Atas Tol Tepi Kubur Kuala Terengganu, pasti terbayang ketika bersarapan, menikmati nasi dagang bersama gulai ikan tongkol yang pedas.

Keenakannya berganda apabila dinikmati bersama minuman popular di warung berkenaan iaitu teh tarik ais buih meleleh seperti ombak, lalu menu itu dikenali teh tarik ais Ombak Rindu, sebuah judul filem popular.

Berpeluh kepala menahan pedas gulai ikan tongkol yang sangat lazat. Nasi Dagang Atas Tol Tepi Kubur boleh dikatakan antara hidangan atau makanan tradisional paling sedap pernah dinikmati di Terengganu.

Pengusaha warung itu, Rohana Yusof atau lebih dikenali Kak Ros berkata, pelanggan mula beratur di depan gerainya seawal jam 6.30 pagi dan berbaris panjang terutama, pada Jumaat dan Sabtu.

Lazimnya semua hidangan disediakan pada hari berkenaan habis terjual sebelum jam 11 pagi. Datang lambat, alamatnya tinggal periuk.

“Berdasarkan pemerhatian, ikan tongkol atau ikan aya (dalam bahasa Terengganu) digunakan adalah jenis ikan aya hitam dan paling sedap dibuat gulai untuk dinikmati bersama nasi dagang. Manakala ikan aya putih pula sedap apabila dimasak singgang,” katanya.

Aroma nasi memikat

Beliau menggunakan beras panjang apabila menyediakan nasi dagang untuk mendapatkan rasa lebih enak.

Santan perlu banyak dan campuran beberapa jenis herba untuk menaikkan aroma nasi berkenaan, selain gulai ikan tongkol menggunakan campuran rempah istimewa dan menambah kelazatan.

“Teh tarik ais Ombak Rindu mempunyai buih yang banyak meleleh hingga ke piring sering menjadi perhatian hingga ramai pelanggan ke dapur untuk melihat proses penyediaannya” katanya.

FAKTA NOMBOR

-----------------------

* 1,500 orang

anggaran pelanggan sehari

* 200kg

ikan tongkol diperlukan sehari

INFO

------

* Keenakan nasi dagang air tangan Rohana mendorong saluran dokumentari antarabangsa, National Geographic membuat liputan mengenainya sedikit masa lalu

* Gara-gara populariti berkenaan, warung Kak Ros Nasi Dagang turut dikenali dengan gelaran Nasi Dagang Nat Geo

85 dibaca
Berita Harian X