Ahad, 28 Oktober 2018 | 12:22pm
MASAKAN warisan yang menambat selera ditawarkan di kedai makan Abang Tukang Masak. - Foto NSTP/Mahzir Mat Isa
IKAN patin tempoyak

Konsep makanan ala kenduri-kendara

SEBAIK melangkah masuk ke kedai makan Abang Tukang Masak (ATM), pengunjung pasti terasa seperti menghadiri kenduri yang menjadi amalan masyarakat ini.

Irama moden dan tradisional berkumandang, menghiburkan pengunjung selain kakitangan wanitanya cantik berbaju kurung beraneka warna.

Dekorasi dalaman kedai ini menarik perhatian dengan lampu hiasan diletakkan di atas meja yang diperbuat daripada rotan.

Tambah menarik, hidangan dibawa dengan dulang tin yang biasa digunakan di kebanyakan majlis kenduri masyarakat Melayu.

Ketua Pegawai Eksekutif Halaman Nurani Sdn Bhd, Shahrul Nizam Kamal, berkata ATM sengaja membawakan suasana meriah kenduri yang menjadi adat Melayu selaras dengan konsep makanan yang ditawarkan.


NASI kerabu daging bakar berempah.

“ATM menyediakan hidangan tradisional menjadi kegemaran masyarakat dan resipi asal dikembalikan bagi memberikan cita rasa unik.

“Antaranya kangkung celur tidak lagi dimasukkan sebagai bahan ke dalam kebanyakan nasi lemak dan sambal berempah jarang didapati kini, dihidangkan bersama nasi kerabu, daging bakar, telur asin yang dimakan bersama solok lada,” katanya.

Hidangan enak lain seperti nasi dagang bersama ikan tongkol, kelapa sangai dan jelatah nanas, ikan patin masak lemak tempoyak yang pekat kuahnya cukup menyelerakan.

Peminat asam pedas, jangan lepaskan peluang mencuba asam pedas ikan pari dan ayam masak merah yang semestinya menjadi hidangan mesti ada dalam kebanyakan kenduri-kendara.

Ayam masak merah itu menjadi makanan paling diminati dan paling laris di ATM terutama hidangan tengah hari.


NASI dagang ikan tongkol dan kelapa bakar bersama sambal khas.

“Di ATM, kita menyediakan pelbagai jenis kerabu sebagai tarikan turut menjadi hidangan digemari pelanggan seperti kerabu perut, mangga dan sotong.

“Setiap Jumaat, ATM menyediakan hidangan istimewa berkonsep nasi Arab seperti nasi mandy kambing dan ayam sebagai menu tambahan,” katanya.

Pemanis mulut seperti kuih-muih tradisional dan pastri seperti brownies dan aneka puding.

Menu makan malam adalah hidangan panas makanan tempatan berkonsep Asia Ala Carte disediakan seperti bihun goreng, char kuey teow dan tom yam.

Pelanggan boleh membuat tempahan tujuh hari lebih awal atau sekurang-kurangnya dua hari awal sekiranya menginginkan hidangan tertentu seperti nasi minyak, nasi Arab dan nasi daging.

ATM bakal menyajikan hidangan barat sebagai menu tambahan yang dijangka bermula November ini selain perkhidmatan katering.

Info

Lokasi: Plaza Suria, C-G01 Block C, Jalan PJU10/4C, Damansara Damai.

Waktu operasi: 7 pagi hingga 10 malam

28 dibaca
Berita Harian X