Jumaat, 26 Oktober 2018 | 9:26pm
Antara menu menjadi tarikan adalah ayam kampung biasa dan ayam kampung berempah.

Ayam kampung panas 'sokmo'

Hanya ditambah garam dan kunyit, isi ayam kampung yang manis serta pejal sudah cukup untuk membangkit selera.

Khasiat ayam kampung tidak perlu dipertikaikan. Berprotein tinggi tetapi rendah kandungan kolesterol menjadikan ia makanan sihat.

Tidak hairan semakin banyak restoran menawarkan ayam kampung sebagai menu istimewa mereka.

Jika anda penggemar tegar ayam kampung, Restoran De Sambal Ayam Kampung Panas Sokmo di Dataran Underground, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur perlu anda catatkan dalam senarai restoran patut dikunjungi.

Pemilik bersama restoran itu, Khairil Anuar Zainuddin, berkata sambutan terhadap ayam kampung sememangnya cukup menggalakkan sehinggakan setiap hari lebih 30 ayam diperlukan.

Katanya, restoran itu turut menyajikan kira-kira 30 menu tradisional yang dikendalikan bersama Mohd Aminuddin Ibrahim dan Mohd Rimi Ismail bagi menyediakan lima jenis masakan ayam kampung termasuk ayam kampung rempah, biasa, gulai, percik dan paprik.

“Ayam kampung cukup digemari kerana ia memberikan pelbagai khasiat.

“Untuk menggoreng, garam saja sudah cukup kerana ia memang sedap. Warna kuning tetap timbul secara semula jadi walaupun digoreng tanpa kunyit,” katanya.

Pelbagai menu

Khairil Anuar berkata, restoran itu menyediakan menu nasi campur dan masakan kampung selain tujuh jenis sambal yang turut menjadi tarikan utama restoran itu.

Katanya, padanan sambal belacan, budu, sambal kicap, tempoyak dan lain-lain turut menambah selera.

“Antara menu tradisional lain adalah gulai kawah daging, keli, telur itik masak lemak, siput sedut, lala, sotong goreng masak kunyit, sambal udang, gulai patin dan lain-lain.

“Selain pelbagai sayuran, jenis ulam ditawarkan adalah pegaga, petai, jering, kacang botol, bendi dan lain-lain,” katanya.

Khairil Anuar berkata, selain itu pelanggan juga boleh memesan nasi lemak, masakan panas dan barat mengikut cita rasa sendiri.

“Untuk ayam, kami menyajikan ayam kampung yang digoreng panas untuk pelanggan.

“Pelanggan boleh memesan menu nasi lemak, dan masakan panas sekiranya datang selepas jam 5 petang,” katanya.

Khairil Anuar berkata, kawasan restoran itu mampu memuatkan 500 orang, selain untuk majlis lain.

“Selain lokasi, kami juga menawarkan pakej perkahwinan lengkap untuk bakal pengantin yang mahukan suasana majlis selesa dan berhawa dingin,” katanya.

RESTORAN DE SAMBAL AYAM KAMPUNG PANAS SOKMO

  • Lokasi: Dataran Underground, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur
  • Waktu Operasi: 11 pagi hingga 10 malam
  • Lebih 30 menu masakan tradisional
  • Lima jenis masakan ayam kampung
  • Tujuh jenis sambal
  • Pelbagai ulaman
  • 34 dibaca
    Berita Harian X