Ahad, 10 Jun 2018 | 10:30am
Pemilik restoran Red Chairs, Mohd Noorhisham Omar bersama isterinya, Wan Farzanah Wan Abdul Halim mempromosikan hidangan masakan panas Set Nasi Ikan Patin Tempoyak dan Set Nasi Patin Bakar Tempoyak di restorannya di Wangsa Delima. - Foto Nik Hariff Hassan

Patin tempoyak naga, pedas berapi

AROMA campuran bau tempoyak dan bunga kesum semerbak menusuk hidung cukup membayangkan menu apa yang bakal dinikmati penulis ketika mula melangkah masuk ke Restoran Red Chairs, di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Bau masakan gulai patin tempoyak ternyata membangkitkan selera sesiapa saja yang melintasi kedai yang terletak di tengah Pusat Bandar, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Bagi pemilik restoran Wan Farzanah Wan Abdul Halim, 41, menu sajian istimewa itu diperoleh daripada ibu mentuanya, Ratana Nordin, 65.

Kata Farzanah, gulai patin tempoyak naga dan patin bakar tempoyak naga (pais), dua daripada tiga menu utama diperkenalkan restoran itu.

"Awalnya ada satu menu saja, iaitu nasi ayam naga sejak 10 tahun lalu. Ini adalah perniagaan warisan daripada arwah bapa mentua, iaitu Omar nasi ayam yang sudah diusahakan sejak 1979.

"Lapan tahun lalu, saya dan suami menyambung perniagaannya di Felda Chini, Kuantan, Pahang.

"Cuma sejak berhijrah ke Kuala Lumpur dua tahun lalu, kami membawa menu nasi ayam ini menjadi nasi ayam naga yang mengalami sedikit keenakan sambal lebih pedas sesuai kehendak masyarakat di sini," katanya.

Sambutan luar biasa

Ternyata nasi ayam naga menjadi sebutan ramai apabila hampir 40 ekor ayam dihabiskan sehari untuk melayani tempahan khususnya untuk pelanggan syarikat besar di sekitar Kuala Lumpur.

Dua menu terbaharu iaitu gulai patin tempoyak naga dan patin bakar tempoyak naga yang baharu diperkenalkan tidak sampai setahun mendapat sambutan luar biasa.

Suaminya Mohd Noorhisham Omar, berkata mereka belajar menu masakan gulai patin tempoyak daripada ibunya sejak dua tahun lalu.

"Saya tidak menjangka air tangan isteri seperti ibu saya. Sebelum ini ramai ke Temerloh untuk makan masakan ini, sekarang dah ada di sini," katanya mengambil nama naga sempena tempat kelahirannya di Felda Chini yang terkenal dengan kisah dongeng Naga Tasik Chini


Promosi hidangan masakan panas Set Nasi Ikan Patin Tempoyak, Set Nasi Patin Bakar Tempoyak dan Nasi Ayam dari restoran Red Chairs, Wangsa Delima. - Foto Nik Hariff Hassan

Info

  • Red Chairs di No. 10 Jalan Wangsa Delima 6, Wangsa Maju, Setapak.
  • Ikan patin dari Temerloh.
  • Perkhidmatan penghantaran dan katering
Berita Harian X