Selasa, 24 April 2018 | 12:07am
SEBAHAGIAN pelanggan yang menjamu selera di BBQ Lamb Cafe di Taman Rekreasi Ipoh River Front. - Foto Balqis Jazimah Zahari
LAMB Shank yang menjadi antara menu menarik yang disediakan di BBQ Lamb Cafe di Ipoh River Front. - Foto Balqis Jazimah Zahari
HIDANGAN Family Set. - Foto Balqis Jazimah Zahari
LAMB Rice. - Foto Balqis Jazimah Zahari
DAGING kambing yang dimasak di dalam 'Traditional Kazakhstan Clay Oven' di BBQ Lamb Cafe di Ipoh River Front. - Foto Balqis Jazimah Zahari
MENU Beef Short Ribs. - Foto Balqis Jazimah Zahari
Lamb Loin. - Foto Balqis Jazimah Zahari

Panggang kambing dalam tanah liat gaya Kazakhstan

IPOH: Menu berasaskan daging kambing sama ada yang dibakar atau dipanggang, sering kali dikaitkan dengan masakan Arab.

BBQ Lamb Cafe milik Ahmad Md Saad, 58, yang terletak dalam kawasan rekreasi Ipoh River Front atau dikenali sebagai People's Park, di sini, antara destinasi popular yang menyediakan menu berasaskan daging kambing itu.

Uniknya, kafe berkonsepkan santai dan selesa di tengah bandar raya ini menampilkan kelainan apabila daging kambing dipanggang menggunakan ketuhar khas diperbuat daripada tanah liat, mengadaptasi kaedah tradisional daripada Kazakhstan. 

Tidak hairanlah daging kambing dihidang memiliki keunikan rasa kerana lebih enak serta memiliki aroma tersendiri, sekali gus menarik lebih ramai pengunjung, khususnya peminat tegar menu berasaskan daging kambing.

Mengulas keunikan kafe miliknya itu, Ahmad atau lebih dikenali Pak Adie mengakui ilham mencipta ketuhar berkenaan tercetus selepas beliau menonton rancangan 'Spice Routes' yang ditayangkan sepanjang Ramadan. 

Katanya, pada awalnya dia hanya tertarik melihat teknik masyarakat di Kazakhstan memanggang seekor unta di dalam ketuhar besar yang mencapai ketinggian sehingga enam meter. 

"Saya memikirkan sekiranya mereka (masyarakat di Kazakhstan) boleh membakar seekor unta (menggunakan kaedah itu), maka tidak mustahil kita juga boleh membakar seekor kambing. 

"Mengambil mekanisme pembuatan ketuhar daripada Kazakhstan itu, saya membina dan mereka bentuk sendiri ketuhar seperti itu di kafe milik saya ini dan syukur ia menjadi," kepada BH Plus.


PAK Adie mengeluarkan daging kambing yang sudah dimasak menggunakan 'Traditional Kazakhstan Clay Oven. - Foto Balqis Jazimah Zahari

Beef Brisket. - Foto Balqis Jazimah Zahari

HIDANGAN Fish & Chips. - Foto Balqis Jazimah Zahari

Sedia lebih 22 menu

BBQ Lamb Cafe di Jalan Sultan Iskandar di sini, menyediakan lebih 22 menu dengan 17 daripadanya berasaskan kambing dengan kadar harga berpatutan.

Setakat ini, kafe itu turut menerima pengunjung luar negara seperti daripada Sudan, Kuwait, Arab Saudi, Turki, Sweden, Amerika Syarikat, India, Jerman, United Kingdom, Australia, Kanada, Afrika, China, Indonesia dan Singapura. 

Pak Adie berkata, selain daging kambing kafe miliknya turut menyediakan menu berasaskan daging lembu, itik dan ayam yang mana semuanya dimasak secara 'smoke'

antara empat hingga 12 jam mengikut jenis daging dan tidak dipanggang secara terus menggunakan api. 

"Kelebihan teknik ini adalah daging tidak akan menjadi kering dan lebih lembut, kerana ia dapat mengekalkan kandungan jus pada daging. 

"Sebagai pemilik kafe, saya mahu pengunjung khususnya penduduk Ipoh benar-benar dapat merasai kesedapan dan nikmat sebenar memakan daging kambing," katanya. 

Mengenai menu kambing disediakan, katanya antara yang terbaik dan mendapat perhatian pengunjung adalah Lamb Ribs, Lamb Shank, Lamb Rack, Lamb Skewer, Lamb Loin, Lamb Leg dan Sup Kambing. 

"Kita turut menawarkan set menu bagi keseluruhan bahagian kambing, nasi kambing serta ayam organik, chilled salmon, smokey duck dan fish and chips," katanya. 


PAK Adie bersama 'Traditional Kazakhstan Clay Oven' yang direkabentuk khas bagi memasak daging kambing secara 'smoke'. - Foto Balqis Jazimah Zahari


LAMB Rack, yang menjadi antara menu menarik yang disediakan di BBQ Lamb Cafe di Ipoh River Front. - Foto Balqis Jazimah Zahari

Bekalan daging terus dari Australia

Mengenai bekalan, Pak Adie berkata beliau memerlukan sekurang-kurang 30 hingga 40 kilogram (kg) daging kambing dari Australia bagi memenuhi permintaan pelanggan setiap hari, yang diterima melalui stokis di negara ini yang dihantar terus ke kafe.

"Apa yang menarik, kita akan menentukan setiap menu dan bentuk potongan daging...jadi kebanyakan hidangan kambing di sini sememangnya tidak akan ditemui di mana-mana restoran di luar sana," katanya. 

Bercerita mengenai cabaran dalam mengembangkan perniagaan, Pak Adie mengakui menerima pelbagai kritikan hebat serta pengalaman jatuh bangun, namun tidak pernah berputus asa untuk menampilkan kelainan. 

Katanya, kafe yang dibuka sejak empat tahun itu diusahakan bersama isterinya, Rosliza Idris, bermula dengan tahun pertama di Langkawi, kemudian berpindah di Jalan Ampang di sini, sebelum berpindah sekali lagi ke lokasi lebih strategik di Ipoh River Front, tiga bulan lalu. 

"Ketika di Langkawi, saya pernah ditawarkan oleh seseorang untuk mengambil tempat sebesar galeri seni bagi menjalankan perniagaan. Sejak itu saya sudah mula mengembangkan kerjaya dan mencipta menu sendiri. 


HIDANGAN Smokey Duck. - Foto Balqis Jazimah Zahari


MENU Lamb Soup. - Foto Balqis Jazimah Zahari

Kafe sebagai tarikan pengunjung

"Bermodalkan RM6,000 dan berbekalkan usaha yang gigih, syukur saya berjaya menjalankan perniagaan ini dan tidak menyangka menu dapat diterima dan disukai ramai, manakala perniagaan juga dapat berkembang dengan cepat," katanya. 

Pak Adie berkata, beliau diberi kepercayaan penuh oleh Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man, untuk mengembangkan perniagaannya di lokasi kendalian Majlis Bandaraya Ipoh itu, dengan modal sehingga RM40,000 sebagai satu tarikan pengunjung ke bandar raya itu. 

INFO:

BBQ Lamb Cafe

  • Dibuka jam 5 petang hingga 11 malam setiap hari kecuali hari Selasa.
  • Menyediakan pelbagai jenis menu menarik bermula daripada harga RM13 hingga RM60.
  • Mempunyai 13 pekerja iaitu lima chef dan selebihnya pembantu dapur.
  • Pengunjung boleh menjamu selera di samping berkelah di sekitar taman rekreasi People's Park.
Berita Harian X