Ahad, 8 September 2019 | 10:00am

Tidak percaya boleh meluncur di udara

MELIHAT dunia daripada mata burung. Itu diumpamakan kehidupan seorang peluncur para ketika berada di udara dapat melihat apa sahaja di darat, air mahupun udara.

Pengasas Amin Prosky Adventures, Mohd Amin Ismail, berkata apabila meluncur di udara pemandangan begitu mengasyikkan lebih-lebih lagi dapat melihat keindahan alam ciptaan Allah dari sudut 360 darjah.

Katanya, bermula dengan menyediakan peralatan, berlari di atas tebing tinggi dan melompat ke bawah bersama payung terjun yang mengembang, amat mengasyikkan.

“Kemudian terbang mengikut lawan angin dan ruang udara panas (thermal) yang akan melonjak kita ke kawasan yang lebih tinggi.

“Bagi mendapatkan pemandangan yang lebih menarik, kita menarik tali bagi mengawal arah sama ada untuk ke kiri atau kanan,” katanya ditemui di Kuala Kubu Bharu.

Kata Amin, pada awal pembabitannya dalam aktiviti luncur udara ini hanya sekadar menemani seorang rakan yang belajar di Kota Kinabalu, Sabah pada 2008.

“Saya ke Sabah untuk melakukan aktiviti selaman skuba, kemudian rakan mengajak mendaki Gunung Kinabalu dan turun menggunakan payung terjun. Risau juga ketika itu, ialah tidak pernah melakukannya.

“Rupanya kami dibantu seorang pilot yang bersama terjun dengan satu payung. Sejak itu, peserta mulai seronok dan setiap minggu atau ada masa lapang kami berdua melakukan luncur udara,” katanya.


Pengalaman hebat saksikan pemandangan indah dari angkasa. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Aktiviti paragliding di Taman Millenium, Kuala Kubu Bharu. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Sehingga kini selepas lebih lima tahun menceburi luncur udara, hampir separuh negara di dunia sudah dikunjungi beliau bagi memenuhi minat mendalam aktiviti mencabar.

“Ini termasuk di Eropah, Itali, Switzerland, Jerman, Taiwan, Nepal, Thailand, Indonesia dan Filipina. Selain mencuba lokasi baharu, saya menyertai banyak pertandingan luncur udara bagi mencari pengalaman.

“Minat mendalam meluncur udara membolehkannya menubuhkan aktiviti berkenaan bagi menyemarakkan minat penduduk kegiatan lasak. Ramai sudah menubuhkan kelab sendiri dan saya bersama rakan melatih mereka,” katanya.

Aktiviti luncur udara mampu menjadikan pendapatan untuk sektor pelancongan terutama pelancong luar negara yang mahukan kelainan apabila bercuti ke Malaysia.

“Pada 16 hingga 18 Ogos lalu dianjurkan pertandingan ‘Kuala Kubu Bharu Paragliding Accuracy Open 2019. Aktiviti disertai lebih 100 peluncur dari 15 negara.

“Ada peluncur berusia 17 tahun sudah membuat 500 luncuran yang mula dilakukan sejak berusia sembilan tahun,” katanya.


Amin (kanan) sedang memasang alat keselamatan pada peluncur udara di tapak perlepasan Bukit Kutu, Kuala Kubu Bharu. - NSTP/Nurul Syazana Rose

Meluncur di udara pemandangan begitu mengasyikkan. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Menarik tali bagi mengawal arah sama ada untuk ke kiri atau kanan. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Amin berkata, sekiranya kurang aktiviti paragliding di Kuala Kubu Bharu, beliau akan ke Sabah, membantu rakannya kerana permintaan di negeri di bawah bayu itu agak tinggi, terutamanya pelancong luar.

Bagi Nur Syahirah Nurman, 21, pengalaman pertama meluncur di udara membuatkannya begitu teruja apabila terbang umpama dron di udara.

“Dibantu jurupandu, Yusuf Mamat, 49, kami bebas bergerak sesekali payung terjun naik mengikut udara panas dan turun apabila menarik tali ketika turun.

“Pada mulanya takut, tetapi apabila sudah berada di udara semakin seronok,” katanya yang seakan tidak percaya terbang di udara.

Saat-saat indah berada di udara sempat diabadikan dengan merakam video menggunakan menggunakan kamera Go-Pro milik Yusuf.

Beliau sempat merakamkan foto beberapa bangunan seperti kompleks Institusi Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu, Masjid Darul Quran JAKIM, Stadium Millenium dan beberapa ikonik Kuala Kubu Baharu.


Merakam saat-saat indah meluncur di udara bersama jurupandu, Yusuf bersama Nur Syahirah menggunakan kamera Go-Pro.

Pemandangan menarik IKBN Peretak dan MRSM Kuala Kubu Bharu. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Katanya, beliau agak kekok kerana tidak pernah melakukannya sebelum ini, terutama di tapak permulaan yang tinggi.

“Paling menakutkan apabila terpaksa berlari sebelum terjun dari kawasan cerun. Tugas mengawal payung terjun dilakukan jurupandu bagi menggerakkannya ke arah yang ingin ditujui.

“Seperkara lagi, ketika mendarat turut mencabar kerana gagal mematuhi arahan jurupandu menyebabkan kita jatuh tersembam atau terhentak ke tanah yang boleh mendatangkan kecederaan,” katanya.


Berlari di atas tebing tinggi sebelum melompat ke bawah bersama payung terjun. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Tip menerbangkan luncur udara:

• Kawasan tinggi dan lapang bagi tujuan aktiviti meluncur serta mendarat.

• Kawasan berangin memudahkan pilot menerbangkan payung terjun dan bergerak ke lokasi dikehendaki.

• Cuaca panas memudahkan payung naik tinggi ke udara kerana pilot akan mencari thermal melakukan aksi.

• Perlu latihan asas kendalikan payung terjun dan belajar keadaan cuaca serta terbang bersama jurulatih.

• Yakin mampu melakukan penerbangan solo dibenarkan.

• Pakaian dan peralatan khas bagi elak kecederaan ketika aktiviti.


Sebelum berlepas dari tempat tinggi, peluncur memeriksa peralatan supaya tidak menghadapi masalah di udara. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Aktiviti paragliding di Taman Millenium, Kuala Kubu Bharu. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

INFO

• Empat hari belajar asas meluncur udara

• Lima kali penerbangan bersama jurulatih.

• Usia paling sesuai memulakan luncur udara : 10 ke atas

343 dibaca
Berita Harian X