Ahad, 25 Ogos 2019 | 10:30am
‘Underwater Gallery Coral Incubation TM Coral Tree' dari pemandangan udara di Pulau Bidong. - Foto Rosela Ismail
TM menyediakan sebanyak 65 meja karang bagi program inkubator dan penjagaan karang di 'Underwater Gallery Coral Incubation TM Coral Tree' dengan hasil kerjasama Telekom Malaysia (TM) dan Yayasan Coral Malaysia (YCM) edisi ke-3 Corals Malaysia Incubator bagi memulihara ekosistem marin di Pulau Bidong. - Foto ihsan TM

Keindahan terumbu karang di Pulau Bidong

PERJALANAN dari Jeti Merang, Setiu, Terengganu dengan menggunakan bot laju ke Pulau Bidong mengambil masa kira-kira 30 minit membelah perairan pantai Merang menuju ke sana.

Di sini terletaknya Pulau Bidong yang menyimpan sejarah negara semakin dilupakan. Sejak 1978 hingga 1991, lokasi yang tidak berpenghuni itu menjadi tumpuan dunia apabila dijadikan kem sementara bagi pelarian Vietnam berikutan Perang Vietnam meletus sehingga membawa mereka ke sini.

Ramai pelarian mencari perlindungan di negara kedua dan kerajaan Malaysia ketika itu menerima mereka untuk ditempatkan sementara di pulau terbabit sebelum mereka dibawa ke negara ketiga selepas mendapat suaka politik.

Dianggarkan lebih 200,000 pelarian orang hanyut Vietnam pernah mendiami pulau ini menyaksikan pelbagai kemudahan dibina sama ada oleh kerajaan Malaysia dan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), selain inisiatif pelarian Vietnam sendiri.

Justeru, pulau itu terbabit lengkap dengan infrastruktur seperti pasar, klinik, rumah ibadat dan sekolah bagi memberi kemudahan kepada pelarian Vietnam yang berlindung di situ.


Lukisan keadaan di Kem pelarian Vietnam ketika dulu di Pulau Bidong yang dilukis oleh seorang pelarian Vietnam yang dikenali dengan panggilan Los disimpan sebagai kenangan. - Foto Imran Makhzan

Namun, apabila Pulau Bidong ditutup sebagai penempatan pelarian Vietnam pada 1991, ia terus terbiar tanpa sebarang usaha pemuliharaan dilakukan hingga kini.

Hal ini menyebabkan semua tinggalan binaan dan struktur di Pulau Bidong rosak dan musnah.

Kini, yang masih ada hanya sisa struktur rumah ibadat dan tapak perkuburan pelarian, selain tugu peringatan dibina sebagai monumen bagi memperingati kehadiran pelarian Vietnam di pulau terbabit.

Walaupun tinggalan sejarah di Pulau Bidong hampir semuanya lenyap, ia tetap menjadi lokasi persinggahan bagi sesetengah pelancong yang ingin melihat pulau ini terletak berdekatan dengan pulau pelancongan lain seperti Pulau Redang dan Pulau Lang Tengah.

Kehadiran pengunjung ke Pulau Bidong juga disebabkan keindahan pantai dan perairannya yang masih belum terusik sehingga menggamit peminat aktiviti selam skuba dan snorkeling untuk melihat keindahan dasar lautnya yang dihiasi dengan terumbu karang.


TM menyediakan sebanyak 65 meja karang bagi program inkubator dan penjagaan karang di 'Underwater Gallery Coral Incubation TM Coral Tree' dengan hasil kerjasama Telekom Malaysia (TM) dan Yayasan Coral Malaysia (YCM) edisi ke-3 Corals Malaysia Incubator bagi memulihara ekosistem marin di Pulau Bidong. - Foto ihsan TM

‘Underwater Gallery Coral Incubation TM Coral Tree' dari pemandangan udara di Pulau Bidong. - Foto Rosela Ismail

Di perairan Pulau Bidong juga menempatkan galeri dasar laut yang pertama seumpamanya di Asia yang menempatkan tukun tiruan seperti replika Gerbang Terengganu, Batu Bersurat, Tengkolok, Tepak Sirih.

Pulau Bidong turut menempatkan stesen penyelidikan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Yayasan Coral Malaysia (YCM) yang diberikan tapak di pantai itu untuk mengusahakan konservasi terumbu karang.

Justeru, usaha pembangunan Pulau Bidong dilihat sebagai jalan terbaik untuk terus menarik kehadiran pelancong ke pulau ini.

Pengerusi YCM, Jamhariah Jaafar, berkata sekiranya kerajaan negeri berhasrat membangunkan Pulau Bidong, ia harus dilakukan sebaik mungkin untuk memastikan segala khazanah termasuk yang berada di dasar laut terus terpelihara.

Katanya, kerajaan mungkin boleh menggunakan konsep yang digunakan oleh kerajaan Sabah membangunkan Pulau Sipadan untuk memastikan kelestarian alam sekitarnya terus terpelihara daripada kerosakan.


Peserta program Corals Malaysia Incubator 2019, Sharifah Nurizni Wafa Syed Naguib Wafa menunjuk terumbu karang yang dipotong kepada bahagian yang kecil menggunakan peralatan khusus, karang yang sudah dipotong dilekatkan pada substrak simen sebelum dimasukkan kembali ke dalam tangki semaian pada program Telekom Malaysia (TM), dan Yayasan Coral Malaysia (YCM) melancarkan edisi ke-3 Corals Malaysia Incubator bagi memulihara ekosistem marin di Pulau Bidong. - Foto Rosela Ismail

“Kerajaan negeri perlu mengehadkan pembangunan di Pulau Bidong termasuk kemasukan pengunjung ke pulau terbabit supaya tidak terlalu sesak dengan orang ramai.

“Malah resort tidak dibenarkan dibina di situ dan pengunjung yang datang tidak boleh bermalam atau menginap di sini, sebaliknya lawatan untuk sehari saja.

“Sistem pelupusan sampah dan bekalan air juga perlu dilakukan dengan betul untuk memastikan alam sekitarnya terus terpelihara,” katanya.

Lantas, sistem kuota kemasukan pelancong ke pulau itu juga patut dilaksanakan bagi mengurangkan kesan kepada kerosakan khazanah laut di pulau itu.

“Isu alam sekitar sememangnya penting kerana sekiranya tidak dijaga daripada awal boleh merosakkan pulau dan perairannya.


Mejar (B) Alias Mohamed, 76,menunjukkan lukisan di jeti yang dilukis oleh seorang pelarian Vietnam yang dikenali dengan panggilan Los di kem pelarian Vietnam di Pulau Bidong ketika dulu. - Foto Imran Makhzan

‘Little Saigon’ mampu pikat pelancong

PULAU Bidong sememangnya meninggalkan kenangan dan pengalaman sukar dilupakan oleh bekas pegawai tentera, Mejar (B) Alias Mohamad, 73.

Beliau pernah berkhidmat di pulau terbabit sebagai penguasa kem pelarian Orang Hanyut Vietnam di bawah Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa Malaysia, menjalani kursus peralihan selama tiga sebelum bersara dalam perkhidmatan ketenteraan dan kemudiannya ditawarkan sebagai penguasa kem pelarian orang Hanyut Vietnam di pulau itu.

Alias antara individu terakhir meninggalkan Pulau Bidong sebelum ditutup sebagai kem pelarian orang hanyut Vietnam pada 1991.

Disebabkan perkhidmatan dalam misi kemanusiaan termasuk mengendalikan pelarian Vietnam yang terdampar di pulau itu, Alias menerima sijil penghargaan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Tetapi saya sedih melihat sisa sejarah di pulau itu musnah. Ini satu kerugian terhadap industri pelancongan negara jika dibiarkan tanpa sebarang perancangan kerajaan negeri selepas ia ditutup,” katanya.

Alias berkata, sebelum ini sudah banyak kali kedengaran kerajaan negeri mahu membangunkan pulau terbabit, namun ia berlalu begitu sahaja.


Lukisan di jeti Kem pelarian Vietnam di Pulau Bidong yang dilukis oleh seorang pelarian Vietnam yang dikenali dengan panggilan Los disimpan sebagai kenangan. - Foto Imran Makhzan

“Mungkin sudah terlambat kerajaan membangunkan kembali Pulau Bidong kerana banyak tinggalan yang sudah roboh dan musnah kerana sudah dimakan usia serta rosak disebabkan vandalisme.

“Sekiranya kerajaan berhasrat membangunkan sebagai pulau pelancongan sejarah, ia boleh dibina semula sebagai perkampungan replika supaya pelancong mendapat gambaran jelas ketika didiami pelarian Vietnam,” katanya.

Sepanjang berkhidmat perasaan Alias bercampur-baur antara kagum dan simpati melihat kesungguhan serta semangat dimiliki pelarian ditempatkan di pulau terbabit.

“Saya kagum daripada sebuah pulau tidak berpenghuni dan penuh semak samun dan hutan berubah menjadi sebuah bandar kecil sehingga dikenali sebagai ‘Little Saigon’ yang cukup lengkap dengan segala kemudahan.

“Dalam kalangan pelarian Vietnam terbabit, bukan saja daripada orang miskin, tetapi juga ada golongan profesional dan berkemahiran yang membantu membangunkan pulau terbabit ketika itu,” katanya.

Alias mengakui sehingga ini, memori itu masih terpahat dalam minda apabila melihat potret lukisan dirinya dan lukisan pemandangan Pulau Bidong yang tergantung di dinding rumahnya, hasil lukisan pelarian Vietnam dikenali sebagai Los.


Lukisan Kem pelarian Vietnam di Pulau Bidong yang dilukis oleh seorang pelarian Vietnam yang dikenali dengan panggilan Los disimpan sebagai kenangan. - Foto Imran Makhzan

Walaupun kehidupan di pulau pelarian itu boleh dianggap berjalan dengan baik dan aman, tetapi wujud kebimbangan dalam dirinya dan pasukan keselamatan serta sukarelawan yang berkhidmat di situ ketika itu terhadap ancaman keselamatan.

Katanya, sepanjang berkhidmat di pulau terbabit, beliau sentiasa ditemani oleh penolong dan jurubahasa kenali sebagai Kong yang akan melindunginya sekiranya wujud ancaman daripada kumpulan pelarian Vietnam.

Namun, wujud perasaan takut dan bimbang dengan keselamatan diri terutama pada waktu malam kerana tidak tahu sekiranya wujud gerakan kumpulan pelarian untuk menyerang anggota keselamatan dan sukarelawan yang berkhidmat di pulau itu.

Kira-kira dua minggu beliau memulakan perkhidmatan di Pulau Bidong, berlaku demonstrasi membabitkan pelarian Vietnam yang tidak berpuas hati kerana mendakwa ada pelarian Vietnam maut selepas didakwa terjun ke laut dari tebing tinggi.

“Keadaan boleh dikatakan agak genting kerana pelarian Vietnam itu ada yang bertindak mogok lapar dan ada mencederakan diri,” katanya.

Berita Harian X